Isnin, 29 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kementerian Kewangan kesan kes penipuan BR1M

Posted: 29 Oct 2012 02:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mengesan kes penipuan membabitkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang cuba memohon bantuan wang tunai sebanyak RM500 itu di beberapa negeri lain.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Donald Lim Siang Chai berkata, penerima sama dikesan cuba memohon bantuan itu di lima negeri.

"Perbuatannya dapat dikesan menerusi nombor kad pengenalan yang terdapat di dalam sistem. Rakyat Malaysia tidak sepatutnya cuba untuk menipu. Jika layak, anda boleh memohon sekali saja," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Mengenai pengagihan BR1M 2.0 mulai Januari depan, Lim berkata kementerian menjangkakan pemohonan meningkat 10 peratus kali ini yang turut membabitkan kira-kira 2.7 juta ibu tunggal dan individu belum berkahwin.

Beliau berkata, pendaftaran akan bermula pada 1 November dan borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri iaitu www.hasil.gov.my

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam pembentangan Bajet 2013 mencadangkan sumbangan bantuan di bawah BR1M 2.0 secara tunai sebanyak RM250 kepada ibu tunggal, individu yang belum berkahwin berumur 21 dan ke atas, yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan.

Ketika ditanya kemungkinan pemberian BR1M 2.0 ini diberi lebih awal menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun depan, Lim berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pelajaran dalam masa terdekat.
"Kita memang hendak bantu rakyat yang memerlukan bantuan ini untuk digunakan oleh pelajar sekolah rendah termasuk pemberian lebih awal RM100 untuk seorang murid," katanya.

- BERNAMA

Shamsubahrin gagal batalkan lima pertuduhan menipu terhadapnya

Posted: 29 Oct 2012 02:10 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail gagal untuk mengetepikan dan membatalkan lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Kamardin Hashim turut menolak permohonan Shamsubahrin bagi tujuan yang sama (mengetepikan dan membatalkan) berhubung 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta yang dihadapinya.

Kamardin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding hari ini.

"Mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan ini, jadi mahkamah menolak permohonan itu dan mengarahkan perbicaraan kes yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen diteruskan," katanya.

Pada 10 September lalu Shamsubahrin memfail permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan dan membatalkan kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Dalam permohonan itu, pemohon (Shamsubahrin) menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk membuat pembayaran kepada mana-mana pegawai polis seperti mana dinyatakan di dalam pertuduhan yang dihadapinya.

Shamsubahrin menghadapi lima pertuduhan menipu Dr Mohamad Salleh membabitkan RM1.755 juta untuk diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat pihak polis berkaitan NFC.
Shamsubahrin juga menghadapi 17 pertuduhan di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) membabitkan jumlah sama.

Sebelum itu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin berhujah bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk membatalkan dan mengetepikan pertuduhan dan pendakwaan terhadap Shamsubahrin.

Sementara itu, Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa berhujah bahawa tatacara permohonan itu adalah tidak tepat dan menyalahguna proses mahkamah.

Beliau berkata, tiada peruntukan undang-undang kepada Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan sebelum kesemua keterangan dikemukakan.

"Hakim tiada kuasa membatalkan pertuduhan ataupun mengarahkan pihak pendakwa menarik balik pertuduhan.

"Malahan hakim dalam keadaan tertentu tidak boleh mengarahkan pihak pendakwa menutup kes," katanya.

Perbicaraan di Mahkamah Sesyen sejak 10 September lalu menyaksikan seramai 10 orang saksi pendakwaan memberi keterangan dan perbicaraan akan disambung 5 November ini.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan