Isnin, 8 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Stadium Shah Alam dipilih venue perlawanan akhir Piala Malaysia

Posted: 08 Oct 2012 06:51 AM PDT

KUALA LUMPUR: Stadium Shah Alam sekali lagi dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 pada 20 Okt ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Amin berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keadaan rumput dan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang tidak mengizinkan perlawanan itu diadakan di situ.

"Keadaan rumput yang masih baru dan permukaan padang yang tidak rata boleh mengundang risiko kecederaan kepada pemain.

"Setelah mengambil kira faktor tersebut dan nasihat daripada jurutera Perbadanan Stadium Negara, kita membuat keputusan mengubah venue perlawanan akhir Piala Malaysia ke Stadium Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas ke-20 JKPT, FAM di sini, hari ini.


Pada tahun lepas, Stadium Shah Alam dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia menggantikan Stadium Nasional Bukit Jalil berikutan kerja-kerja penyelenggaraan trek di sekitar stadium itu.


Beliau berkata pengurusan Stadium Shah Alam telah dimaklumkan tentang perkara itu dan mereka akan membuat persediaan termasuk melakukan kerja penyelenggaraan sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia itu berlangsung.

Stadium Shah Alam merupakan stadium kedua terbesar di negara ini dan boleh menampung kapasiti 80,000 penonton berbanding Stadium Nasional yang boleh memuatkan 100,000 penonton.

Hamidin berkata pihak Perbadanan Stadium Negara terpaksa mengosongkan sementara padang Stadium Nasional daripada sebarang aktiviti kerana rumput yang ditanam pada awal September lepas bagi saingan Piala AFF Suzuki 2012, masih belum matang.

Stadium Nasional menjadi salah satu venue perlawanan Piala AFF Suzuki 2012 selain daripada venue utama di Stadium Rajamangala di Bangkok, Thailand yang mana kejohanan berkenaan dijadual berlangsung dari 24 Nov hingga 22 Dis. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Pendaftaran BR1M 2.0 bermula 1 Nov: Ahmad Husni

Posted: 08 Oct 2012 05:18 AM PDT

PUTRAJAYA: Pendaftaran mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bagi pemohon baru dan orang bujang yang layak akan dibuka mulai 1 Nov ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata pendaftaran boleh dibuat dengan mengisi borang yang disediakan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pejabat daerah serta pejabat pembangunan persekutuan, selain dalam talian.

Bagi penerima BR1M yang lalu, mereka tidak perlu lagi memohon kerana akan layak secara automatik menerima BR1M 2.0 yang dijangka diagih awal tahun depan, katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

"Namun kami tetap buat pemeriksaan, mungkin ada yang perlu pengubahsuaian, mungkin ada kes-kes penerima BR1M tahun ini yang dah meninggal dunia. Kalau ketua keluarga dah meninggal, isteri masih boleh ambil (BR1M 2.0)," katanya.


Pada pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BR1M 2.0 yang turut diperluas kepada orang bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000 yang melayakkan mereka menerima RM250.


Bagaimanapun pelajar institusi pengajian tinggi tidak layak menerima BR1M 2.0, sebaliknya mereka akan menerima Baucar Buku 1Malaysia juga bernilai RM250.

BR1M tahun ini menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.2 juta isi rumah membabitkan peruntukan kira-kira RM2.2 bilion, manakala BR1M 2.0 membabitkan peruntukan RM3 bilion dengan tambahan penerima kira-kira 2.7 juta individu bujang.

Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata mereka yang tercicir daripada senarai BR1M yang lalu juga layak memohon BR1M 2.0.

Bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menerima BR1M 2.0, kementerian itu akan membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan LHDN, kata Ahmad Husni. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Tiada ulasan:

Catat Ulasan