Sabtu, 27 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Mutakhir


Bekalan elektrik terputus di KKIA disiasat: Kong

Posted: 27 Oct 2012 12:22 AM PDT

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha hari ini mahu siasatan dijalankan berhubung punca bekalan elektrik terputus di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Khamis lalu yang menyebabkan penerbangan dibatalkan dan ramai penumpang terkandas.

Beliau berkata kementerian tidak akan melindungi sesiapapun dalam siasatan ini dan memberi amaran tindakan tegas terhadap "pihak yang cuai" tanpa mengira sama ada ia merupakan individu, pihak berkuasa tempatan atau pengendali lapangan terbang.

"Jika hasil siasatan menunjukkan ada unsur sabotaj, maka laporan polis akan dibuat untuk tindakan undang-undang selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Kong berkata beliau merasa amat dukacita atas kejadian itu yang menimbulkan keresahan dan kemarahan di kalangan orang ramai yang bakal meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Beliau juga berharap pengendali lapangan terbang dapat memastikan wujudnya Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) jika perkara sebegini berlaku pada masa akan datang.

KKIA ditutup pada malam Khamis selepas lampu landasan tidak berfungsi sehingga memaksa beberapa penerbangan masuk dan keluar dibatalkan atau dijadual semula menyebabkan ramai penumpang terkandas. - BERNAMA

Jual aset PKNS: Khalid terus dicabar beri penjelasan

Posted: 27 Oct 2012 12:01 AM PDT

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus dicabar untuk tampil memberi penjelasan berhubung cadangan negeri itu menjual lima aset Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bernilai RM321 juta.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Abdul Khalid terutamanya perlu menjelaskan rasional cadangan penjualan itu khusus mengenai kesannya ke atas golongan usahawan Bumiputera yang menjalankan perniagaan di premis-premis terlibat.

"Bolehkah kerajaan negeri Selangor memberi jaminan bahawa bakal pemilik baru lima aset berkenaan akan menjaga kebajikan usahawan yang berada di premis-premis terbabit dalam penjualan tersebut kelak?" katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengulas kontroversi cadangan penjualan aset terbabit oleh kerajaan Selangor yang dikhuatiri merugikan rakyat negeri itu khususnya golongan Bumiputera.

Lima aset berkenaan ialah Menara PKNS, Petaling Jaya; SACC Mall, Shah Alam; Kompleks PKNS Shah Alam; Kompleks PKNS Bangi; dan Wisma Yakin, Jalan Masjid India.

Rosnah berkata sebagai bekas ahli korporat, Abdul Khalid seharusnya berfikiran lebih matang dalam meningkatkan pembangunan negeri dan rakyat tanpa mengakibatkan penganiayaan terhadap mereka.

"Tan Sri Abdul Khalid tidak boleh menganggap pentadbiran negeri Selangor sebagai satu perniagaan yang hanya mementingkan keuntungan dan pembangunan tanpa memikirkan kebajikan rakyat.
"Adakah penjualan lima aset tersebut merupakan jalan terbaik? Mengapa keputusan tersebut dibuat sekarang? Adakah PKNS menghadapi masalah kewangan? Semua persoalan ini menjadi tanya tanya dan perlu dijelaskan," katanya.

Katanya, PKNS sepatutnya berusaha menambah pegangan aset miliknya dan bukan mengurangkannya dengan cara menjual (hartanya) kepada pihak lain. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan