Jumaat, 10 Jun 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


16 pelatih ditahan semula

Posted: 10 Jun 2011 05:20 PM PDT

Nasional

SALLEH (kanan) melihat kenderaan dirosakkan pelatih yang merusuh  di PUSPEN, Ledang, semalam.

SALLEH (kanan) melihat kenderaan dirosakkan pelatih yang merusuh di PUSPEN, Ledang, semalam.

21 larikan diri selepas merusuh, bakar dua bangunan di PUSPEN

LEDANG: Seramai 16 pelatih berjaya ditangkap awal pagi semalam, manakala lima lagi diburu polis selepas melarikan diri ketika rusuhan penghuni Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) Muar yang menyaksikan dua bangunan termasuk pejabat pentadbiran pusat itu dibakar mereka yang merusuh, malam kelmarin.

Usaha memburu lima pelatih dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). PUSPEN Muar yang terletak dekat Sengkang itu menempatkan 377 penagih seluruh negara yang diperintah menjalani pemulihan. Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Salleh Abdul Razak, berkata tiga daripada pelatih ditahan semula ketika bersembunyi di kilang perabot berhampiran pusat terbabit kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, 13 lagi ditahan ketika bersembunyi di bawah Jambatan Panchor yang menghubungkan Bukit Serampang dengan Pagoh, lapan kilometer dari pusat itu kira-kira jam 9 pagi semalam.

"Kita melancarkan gerakan mengesan pelatih yang melarikan diri sejurus menerima laporan berhubung rusuhan di pusat terbabit dan hasilnya, 16 daripada 21 pelatih berusia 30-an berjaya ditahan semula.

"Mereka berhasil dijejaki hasil bantuan agensi berkaitan dan maklumat orang awam," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat berkenaan di sini, semalam.
Salleh berkata, pihaknya kini berusaha memburu saki baki pelatih menggunakan khidmat anjing pengesan Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

"Meskipun keadaan sedikit kelam-kabut, kita sedang mengenal pasti mereka yang masih dalam pelarian itu. Semua pihak yang terbabit dalam operasi sedang bertungkus-lumus mengesan pelatih yang masih melarikan diri.

"Tiada kecederaan menimpa kakitangan pusat terbabit ketika rusuhan, bagaimanapun lapan kereta dan dua motosikal dirosakkan penghuni pusat yang merusuh," katanya.

Salleh berkata, polis kini mengumpul maklumat kejadian itu dan menyiasat motif rusuhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kedudukan pelatih yang melarikan diri supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam kejadian jam 8.40 malam kelmarin, sekumpulan pelatih pusat merusuh dan membakar sekurang-kurangnya dua bangunan termasuk pejabat pentadbiran pusat berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pelatih menunaikan solat Isyak di pusat yang menempatkan 377 penghuni.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat turut dikejarkan ke pusat itu untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin.

Rusuhan ini adalah yang kedua berlaku di pusat pemulihan terbabit selepas kejadian pertama pada 1999.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Sifat PM macam arwah ayahnya'

Posted: 10 Jun 2011 05:18 PM PDT

Nasional

Najib kerap turun padang, prihatin masalah rakyat

KUALA LUMPUR: "Perdana Menteri sekarang tak ubah macam arwah ayahnya (Tun Abdul Razak), langsung tak kekok bertemu rakyat. Inilah contoh pemimpin yang kita sokong, suka ambil berat masalah rakyat," kata Ahmad Tamjis, 75.

Warga emas yang juga pesara Hospital Kuala Lumpur itu antara individu bertuah yang dikunjungi Datuk Seri Najib Razak sempena program turun padang bertemu rakyat di Parlimen Setiawangsa dan Gombak di Taman Permata, di sini, petang semalam. Ahmad yang pernah berkhidmat dengan Tentera British mengakui bersyukur kerana sempat melihat pelbagai perubahan besar yang dibawa kerajaan pimpinan Najib untuk memajukan negara.

"Rakyat sudah nampak kesungguhan Najib. Selalu turun padang bertemu rakyat, maknanya dia prihatin terhadap nasib rakyat," katanya selepas dikunjungi Perdana Menteri di rumahnya di sini.

Hakikat itu disokong seorang lagi penduduk, Bahadza Judin, 77, yang menegaskan pendekatan bertemu rakyat itu suatu amalan bagus kerana pemimpin akan mendapat maklumat tepat daripada akar umbi.

"Dia sama macam arwah ayahnya. Sebab itulah rakyat suka," katanya.
Seorang lagi penduduk, Noraini @ Selamah Mohd Noor, 64, yang mengalami masalah tulang reput dan sukar untuk bergerak hampir menitiskan air mata apabila melihat Perdana Menteri memasuki rumahnya dan bertanya khabar.

Najib meluangkan masa hampir sejam melawat beberapa rumah penduduk di situ sebelum menunaikan solat Asar berjemaah di surau At-Taqwa.

Ketika berucap pada majlis bersama rakyat itu, Najib mengakui pendekatan turun padang itu diterima baik pelbagai lapisan masyarakat dan beliau sendiri terharu dapat bertemu secara bertentang mata dengan rakyat bawahan.

"Saya dapat bertemu, bersalam, bertanya khabar dan melihat dengan mata sendiri apa yang rakyat alami. Saya dapat melihat sendiri keadaan setempat tanpa perlu melalui protokol yang ketat," katanya.

Najib juga turut mengumumkan peruntukkan RM2 juta untuk menaik taraf surau At-Taqwa selepas menerima sendiri permohonan daripada ahli jawatankuasa surau berkenaan.

Sementara itu, dalam tinjauan mesra ke Kuala Ampang kemudian, Najib tidak jemu-jemu melayan orang ramai yang mahu bertemu dan bersalam dengannya dan mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi pembinaan gelanggang bola keranjang berbumbung di situ, yang disambut tepukan gemuruh mereka yang hadir.

Perdana Menteri disambut dengan persembahan tarian singa dan laungan '1Malaysia' sejurus tiba di kawasan itu dengan ribuan orang ramai beratur panjang untuk bertemu dengannya seawal jam 5 petang.

"Ini lawatan bersejarah," kata rakan sekolah Najib, Soon Kan Lee mengulas lawatan Perdana Menteri ke Kuala Ampang itu.

Pemilik kedai runcit berusia 61 tahun itu berkata Najib adalah Perdana Menteri pertama melawat kawasan itu yang terletak di pinggir segi tiga emas Kuala Lumpur, sejak 60 tahun lalu.

"Setahu saya, tidak ada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri pernah menjejakkan kaki ke kawasan kami ini sejak 60 tahun lalu. Saya amat gembira kerana Najib bekas pelajar St.John, tempat di mana saya belajar, kira-kira 50 tahun lalu," katanya memakai baju batik berwarna kuning semata-mata untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Seperti Najib, Kan Lee mendapat pendidikan awal di sekolah sama iaitu St John Institution di ibu negara pada pertengahan 1960-an.

Dalam tinjauan mesra selama kira-kira setengah jam bermula jam 6.30 petang semalam, Perdana Menteri sempat meluangkan masa bertanyakan khabar Kan Lee di kedai runcit Tick Huat yang diwarisi daripada bapanya, walaupun mereka berdua tidak saling mengenali sebelum ini.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan