Selasa, 21 Jun 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


AMAH bakal dapat perlindungan insurans

Posted: 21 Jun 2011 03:33 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Dengan bayaran serendah RM70 setahun, pembantu rumah Indonesia bakal mendapat perlindungan dan layak menerima pampasan sehingga RM40,000 sahaja jika ditimpa kemalangan ketika berkhidmat apabila skim insurans untuk mereka diperkenalkan tidak lama lagi.

Dua syarikat insuran Etiqa Takaful Bhd dan Takaful Ikhlas akan menawarkan beberapa faedah kepada pembantu rumah Indonesia termasuk khairat kematian, bayaran bil hospital dan kos perubatan di bawah skim itu yang dilaksanakan di bawah Program Hal Ehwal Pembantu Rumah (Helper).

Pengerusi Saba Islamic Domestic Help Advisory (SAIDHA), Sabariah Abdullah, berkata perlindungan insurans tersebut mendapat kerjasama daripada Kedutaan Indonesia di sini dan kerajaan Malaysia serta disokong oleh 33 badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Jemaah Islam Malaysia (JIM). "Insurans ini dibiayai oleh majikan," katanya selepas majlis pelancaran program Helper dan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara SAIDHA, Kedutaan Indonesia dan rakan-rakan strategik.

Beliau berkata, program insurans ini yang akan dilaksanakan tidak lama lagi turut melibatkan dua institusi kewangan, Maybank Bhd dan CIMB Bhd bagi memudahkan pembayaran gaji pembantu rumah dibuat setiap bulan.

Turut hadir Atase Ketenagakerjaan Kedutaan Indonesia di sini Agus Triyanto dan Presiden Amah Malaysia (MAMA), Engku Fauzi Engku Muhsein.

Sementara itu, Engku Fauzi berkata, pihaknya menyokong penuh usaha itu sebagai tanda tanggungjawab berdasarkan kontrak kerja antara majikan dan pembantu rumah.
"Kebanyakan majikan tidak mengetahui hak mereka. MAMA berperanan sebagai platform untuk majikan menyuarakan hak mereka dan mengadukan masalah berkaitan pembantu rumah," katanya.

Program Helper yang diumumkan pada 10 Jun lalu, berperanan bagi memperbaiki mutu kerja dan tahap perkhidmatan pembantu rumah dari Indonesia melalui program orientasi dan latihan amali selain memantau keselamatan pembantu rumah dengan mengaplikasikan kaedah pemantauan keganasan. - BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Polis tahan 3 lelaki, rampas revolver dan dadah

Posted: 21 Jun 2011 02:12 AM PDT

Mutakhir

MELAKA: Polis menahan tiga lelaki dan merampas sepucuk revolver serta dadah bernilai kira-kira RM10,000 di sebuah rumah di KM20 Kampung Paya Redan dekat sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Sallehhudin Abd Razak, berkata lelaki berkenaan berusia antara 24 dan 28 tahun ditahan kira-kira 12.30 malam.

"Polis merampas sebuah beg yang didalamnya terdapat sepucuk revolver jenis Black Guardian Eastern Patent yang berisi tiga kelongsong peluru dan tiga kotak berisi 18 butir peluru," katanya kepada pemberita hari ini. Beliau berkata, polis turut menemui empat paket plastik disyaki berisi heroin, satu paket plastik disyaki syabu serta enam pil Eramin 5.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis diketuai Sarjan Mejar Hassan Asmat dari Balai Polis Tiang Dua berikutan maklumat orang awam mengenai sebuah motosikal yang disyaki dicuri kelihatan di rumah tersebut.

Motosikal tersebut dilaporkan hilang di kawasan Bukit Baru tahun lalu.

Sallehhudin berkata, polis yang menjalankan ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine.
"Ketiga-tiga suspek akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kes mencuri motosikal yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda," katanya.

Beliau berkata, bagi kes memiliki senjata api, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan rotan tidak kurang enam sebatan.

"Manakala bagi kes narkotik, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan