Jumaat, 1 April 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Johor: Peluang kedua

Posted: 31 Mar 2011 01:02 PM PDT

Wilayah

 DUA  tahanan  mengikuti program parol  bekerja  di ladang ternakan lembu.

DUA tahanan mengikuti program parol bekerja di ladang ternakan lembu.

Program parol bantu disiplinkan tahanan sebelum dibebas

KLUANG: Walaupun kini terpaksa bangun seawal jam 5.30 pagi untuk memulakan hari kerja yang agak membebankan, namun tahanan yang berpeluang mengikuti program parol di sini, bersyukur kerana pelaksanaan sistem itu membantu mendisiplinkan mereka.

Orang yang diparol selepas 17 tahun menjalani hukuman penjara kerana kesalahan dadah, Wai Kiong, 53, berkata program yang diikuti sejak empat bulan lalu itu mempunyai peraturan agak ketat, namun beliau menerima cabaran itu kerana bertekad untuk berubah sepenuhnya. Katanya, beliau berharap baki lagi sembilan bulan untuk dihabiskan dalam program berkenaan dapat dicapai tanpa sebarang halangan sebelum memulakan kehidupan baru bersama isteri dan anak perempuannya yang kini berada di Ipoh, Perak.

"Saya amat merindui mereka dan berharap dapat bertemu dengan keluarga, walaupun kini sudah terputus hubungan sejak lebih setahun lalu. Untuk itu, saya berjanji pada diri sendiri tidak akan kembali kepada perbuatan lama lagi (menagih dadah).

"Selama terbabit dengan dadah, saya sudah keluar masuk penjara sebanyak lima kali, kira-kira 17 tahun jumlahnya. Saya menghargai kesabaran serta keikhlasan pihak parol menjaga kami dengan baik sepanjang program ini," katanya yang mengakui mula mengambil dadah seawal usia 11 tahun.

Beliau ditemui Berita Harian ketika menjalani parol secara bekerja di sebuah ladang ternakan lembu di sini. Antara lain rutin hariannya mereka termasuk mandi, memberi makan serta memastikan kawasan ternakan terbabit berada dalam keadaan baik. Di ladang itu, kedua-duanya diamanah bersama enam lagi pekerja untuk menguruskan lebih 200 lembu tenusu setiap hari.
Meskipun tidak lagi berada dalam penjara, namun menerusi program parol yang sedang dijalani, mereka tetap diawasi pegawai parol menerusi lawatan ke kediaman dan tempat kerja, selain diberi kaunseling dan menjalani ujian kencing secara mengejut bagi mengelak kembali terbabit dengan pengambilan dadah.

Orang yang diparol, Kim Heng, 53, berkata pengalaman bergelumang dengan dadah selama 11 tahun sejak berusia 25 tahun nyata memberi kesan mendalam terhadap dirinya.

"Seluruh hidup saya mungkin sudah musnah akibat dadah, namun saya bersyukur kerana dengan mengikuti program parol menjadikan kehidupan saya semakin pulih dengan bantuan dan bimbingan kakitangan parol yang sentiasa membantu ketika diperlukan.

"Saya hanya mampu berdoa supaya kehidupan saya selepas ini lebih terjamin apabila bebas sepenuhnya nanti dan berharap tidak akan terjebak lagi dengan najis dadah kerana ia bukan saja merosakkan diri, malah boleh membunuh," katanya yang gembira mempunyai majikan yang baik hati.

Penolong Pegawai Parol Daerah Kluang, Ibrahim Abdul Rahman, berkata dua lelaki terbabit adalah antara 16 tahanan yang diberi peluang menjalani parol di seluruh Johor sejak awal tahun ini sehingga 29 Mac lalu, dalam usaha menyesuaikan diri mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat selepas menamatkan hukuman kelak.

Beliau berkata, masyarakat tidak harus sesekali memandang rendah terhadap tahanan parol yang kini menjalani kehidupan di kalangan mereka, sebaliknya memberikan mereka peluang menjalani kehidupan biasa.

"Dalam menjayakan parol, kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan persepsi masyarakat yang menghakimi pesalah terbabit meskipun hakikatnya mereka sudah insaf terhadap kesalahan yang dilakukan serta ingin kembali ke pangkuan masyarakat.

"Penolakan ini juga menyebabkan kebanyakan bekas tahanan kembali melakukan kesalahan lampau kerana tekanan daripada masyarakat yang sukar menerima kehadiran mereka," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sentral: Simpang maut

Posted: 31 Mar 2011 01:01 PM PDT

Wilayah

SIMPANG empat kawasan perumahan dekat Jalan Ayer Molek-Jasin sentiasa sibuk.

SIMPANG empat kawasan perumahan dekat Jalan Ayer Molek-Jasin sentiasa sibuk.

Laluan masuk taman perumahan tiada lampu isyarat

MELAKA: Penduduk di Rumah Awam Ayer Molek dan Taman Desa Molek dekat sini, berdepan risiko kemalangan setiap hari kerana persimpangan masuk ke taman itu sering sibuk dengan kenderaan tanpa kemudahan lampu isyarat.

Keadaan bertambah bahaya apabila laluan itu dilalui semua jenis kenderaan berat termasuk lori yang menghala ke Jalan Ayer Molek-Jasin, tidak jauh dari simpang berkenaan. Penduduk, Zaleha Abdul Rahman, 50, berkata lampu isyarat perlu dipasang segera di persimpangan berkenaan bagi mengurangkan kemalangan yang didakwa berlaku hampir setiap hari.

Beliau berkata, jalan yang lurus itu menyebabkan pemandu sering memandu laju hingga menyebabkan kemalangan, khususnya membabitkan motosikal, basikal dan pejalan kaki.

"Disebabkan kemalangan kerap berlaku dan ada menyebabkan kematian, penduduk tempatan menyifatkannya sebagai simpang maut.

"Kami bimbang akan berlaku lebih banyak kemalangan, sebab itu lampu isyarat wajar dipasang di situ," katanya ketika ditemui di sini.
Tinjauan Sentral mendapati simpang yang turut menjadi laluan pintas bagi kebanyakan pengguna sentiasa sibuk apabila kawasan itu mempunyai beberapa rumah kedai, gerai makanan dan stesen minyak.

Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak, lebih-lebih lagi ketika ibu bapa menghantar dan mengambil anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, selain segelintir pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di bahu jalan tanpa mematuhi peraturan lalu lintas.

Rasidah Mohd Seh, 49, berkata pemasangan lampu isyarat di simpang empat taman berkenaan akan mengurangkan kemalangan yang kerap berlaku.

"Jika ingin ke arah bertentangan dari persimpangan stesen minyak, saya perlu berhati-hati kerana pengguna dari laluan utama gemar memandu laju tanpa memikirkan bahaya.

"Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak boleh membiarkan hal ini berterusan. Lampu isyarat perlu disediakan sebelum berlaku kemalangan maut di persimpangan terbabit," katanya.

Norrohida Mohd Eros, 44, berkata, kemalangan biasanya berlaku setiap bulan kerana persimpangan itu tiada lampu isyarat.

Katanya, pihak berkuasa perlu memasang lampu isyarat di simpang empat itu kerana bilangan kenderaan yang menggunakan laluan itu bertambah dari semasa ke semasa.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan