Ahad, 7 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Filipina, MILF setuju akhiri keganasan

Posted: 07 Oct 2012 04:41 PM PDT

Usaha Malaysia jadi orang tengah bawa keamanan di Mindanao berjaya

Kuala Lumpur: Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mencapai keputusan bersejarah, kelmarin untuk mengakhiri pertumpahan darah dan mewujudkan wilayah Bangsamoro di kawasan separuh autonomi di Mindanao. Rangka Kerja Perjanjian mengenai wilayah Bangsamoro yang ditandatangani wakil Kerajaan Filipina dan pemimpin MILF di ibu negara itu, membuka jalan kepada perjanjian damai yang bakal dimeterai pada 15 Oktober ini di Manila.

Realisasi perjanjian bersejarah

"Saya amat gembira kerana menerusi perjanjian bersejarah ini, hak, maruah dan kemakmuran masa depan penduduk Bangsamoro akan dilindungi manakala pada masa sama, kedaulatan dan perlembagaan Filipina tetap terpelihara," Benigno S Aquino, Presiden Filipina

Inisiatif Malaysia khususnya Datuk Seri Najib Razak untuk merealisasikan perjanjian bersejarah itu diumumkan serentak oleh Presiden Filipina, Benigno S Aquino di Manila dan wakil Kerajaan Filipina, Marvic Leonen pada sidang media di sini.

Leonen menandatangani bagi pihak kerajaan Filipina manakala Mohagher Iqbal untuk MILF di hadapan fasilitator Malaysia, Datuk Tengku Ab Ghafar Tengku Mohammed.

Mengulas kejayaan bersejarah itu, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak menunjukkan hasrat mereka untuk menamatkan keganasan yang berlaku selama berdekad dan memuji usaha mereka mencapai persetujuan meskipun berbeza pendapat.

"Pujian patut diberikan kepada Presiden Benigno Aquino kerana komitmen beliau yang tidak berbelah-bahagi untuk mewujudkan keamanan di Filipina.
"Saya amat gembira kerana menerusi perjanjian bersejarah ini, hak, maruah dan kemakmuran masa depan penduduk Bangsamoro akan dilindungi manakala pada masa sama, kedaulatan dan perlembagaan Filipina tetap terpelihara," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pegang teguh komitmen

Najib berkata, penting bagi semua pihak berpegang teguh dengan komitmen mereka dan berusaha ke arah era baru yang aman di Filipina selain memastikan Bangsamoro menikmati keamanan yang sememangnya menjadi hak mereka.

Perdana Menteri berkata, beliau berbesar hati Malaysia dapat membantu memudahkan rundingan itu sejak 2001 dan meneraju Pasukan Pemantau Antarabangsa sejak 2004.

Najib berkata, beliau akan terus bekerja rapat dengan Presiden Aquino bagi melaksanakan rangka perjanjian itu.

"Sebagai menghormati janji kepada Presiden, saya tidak sabar untuk berkunjung ke Manila bagi menyaksikan sendiri majlis menandatangani perjanjian bersejarah ini," katanya.

Sementara itu di Manila, Aquino berkata, pelan perdamaian awal dengan MILF adalah pencapaian terbesar rundingan selepas pemberontakan berterusan lebih sedekad.

Aquino mengumumkan secara langsung melalui televisyen pelan mewujudkan wilayah baru ditadbir puak minoriti Islam selepas rundingan diadakan di Malaysia antara perunding kerajaan dan wakil MILF.

"Rangka kerja perjanjian akan membawa kepada keamanan yang muktamad dan berkekalan untuk Mindanao.

"Ini bermakna tangan yang memegang senapang sebelum ini akan digunakan untuk membajak, menjual hasil, mengurus tempat kerja dan memberi peluang kepada semua," katanya.

Duta Filipina ke Malaysia, J Eduardo Malaya turut mengucapkan terima kasih kepada Najib di atas kerjasama diberikan kerajaan Malaysia selama ini.

Harapan baru buat rakyat Filipina

Beliau turut menganggap perjanjian yang akan dicapai kelak sebagai harapan baru buat rakyat Filipina termasuk bagi umat Islam, Lumad dan Kristian.

"Kami berterima kasih kepada Najib dan wakil fasilitator rundingan damai dan masyarakat antarabangsa yang terus berusaha dengan sabar bersama Aquino dan panel perundingan bagi memastikan memperoleh keamanan dikehendaki," katanya.

Naib Pengerusi MILF bagi Hal Ehwal Politik, Ghazali Jaafar pula dilaporkan AP/AFP berkata, MILF gembira dengan persetujuan itu dan mengucapkan terima kasih kepada presiden atas pencapaian berkenaan.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melahirkan rasa gembira kerana kerajaan Filipina dan MILF akhirnya bersetuju untuk menandatangani rangka kerja perjanjian damai.

"Saya amat gembira kerana akhirnya usaha Malaysia menjadi orang tengah dalam rundingan antara kerajaan Filipina dan MILF menemui jalan penyelesaian dan mereka sanggup berdamai," katanya.

KL, Jakarta kena tolak sentimen ekstremis

Posted: 07 Oct 2012 04:24 PM PDT

Putrajaya: Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya membiarkan sentimen ekstrem menguasai keadaan berikutan wujudnya isu-isu sensasi sehingga menjejaskan hubungan dua hala, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri mahukan hubungan Malaysia dan Indonesia dilihat dalam konteks lebih besar kerana banyak bidang kerjasama yang boleh diterokai untuk mewujudkan kemakmuran bersama.

Katanya, Malaysia dan Indonesia perlu menggunakan sinergi yang wujud untuk meningkatkan hubungan kerjasama ke tahap lebih tinggi, mapan dan komprehensif.

Kerajaan Malaysia dan Indonesia akan terus menangani dan mengatasi sebarang cabaran yang timbul, di samping berusaha memperkukuhkan persefahaman dan hubungan akrab antara rakyat di kedua-dua negara. - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Atasi cabaran

"Di sebalik hubungan kerjasama yang kian meningkat, saya tidak menafikan bahawa kita masih mempunyai pelbagai cabaran dari segi pasang surut hubungan dua hala yang wujud dari semasa ke semasa.

"Dalam konteks ini, Kerajaan Malaysia dan Indonesia akan terus menangani dan mengatasi sebarang cabaran yang timbul, di samping berusaha memperkukuhkan persefahaman dan hubungan akrab antara rakyat di kedua-dua negara," katanya pada Kolokium Hubungan Strategik Dua Hala Malaysia-Indonesia kelima anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi ISIS Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengerusi Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia (CSIS), Dr Rizal Sukma; Ketua Eksekutif ISIS Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid.
Isu sempadan maritim

Muhyiddin berkata, cabaran sedia ada seperti isu perbatasan sempadan maritim dan daratan adalah suatu yang amat kompleks serta memerlukan jangka masa panjang untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata mencari persetujuan bersama dalam isu berkenaan menunjukkan bahawa Malaysia dan Indonesia mampu berunding dan mencari penyelesaian bersama.

Mangsa belasahan

"Malangnya, dalam perkara ini dan isu lain seperti tenaga kerja sering dieksploitasi sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu. Sering kali, Malaysia menjadi "punching bag" atau mangsa belasahan oleh pihak tertentu terutama apabila wujudnya isu sensasi disiarkan di media.

"Isu ini sering digembar-gemburkan tanpa terlebih dulu, sebelum sebarang usul periksa dibuat mengenai fakta sebenar. Malah, isu ini turut dijadikan sumber oleh pihak tertentu untuk memperlekehkan dasar kerajaan dan akibatnya menjejaskan hubungan baik terjalin antara kedua-dua negara," katanya.

Muhyiddin berkata, selain keakraban hubungan dua hala, Malaysia dan Indonesia perlu melihat kepada peranan yang boleh dimainkan dalam memperjuangkan keamanan serta keadilan sejagat.

Ini katanya penting kerana Malaysia dan Indonesia sering dilihat sebagai contoh negara membangun progresif dunia.

"Justeru, pada hemat saya kedua-dua negara perlu memupuk kerjasama strategik berasaskan kepentingan bersama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosiobudaya, politik antarabangsa, teknologi dan pendidikan," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan