Isnin, 8 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Mahkamah rekod pengakuan 7 rakyat Somalia 18 Oktober ini

Posted: 08 Oct 2012 03:29 AM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah akan merekod pengakuan bersalah tujuh rakyat Somalia, yang didakwa atas pertuduhan pilihan melepaskan tembakan terhadap komando Malaysia di Teluk Aden tahun lepas, pada 18 Oktober ini.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tuduhan pilihan terhadap mereka ialah mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Senjata Api yang memperuntukkan hukuman lebih ringan iaitu penjara sehingga 14 tahun.
Pertuduhan itu ditawarkan kepada mereka selepas representasi pembelaan, yang dibuat pada Mei lepas bagi membatalkan pertuduhan asal, ditolak Jabatan Peguam Negara.

Peguam Imran Hadzlie Abd Hamid memberitahu media pihak pendakwaan dalam surat bertarikh 20 September lalu, menawarkan rundingan bagi pengakuan bersalah terhadap semua tertuduh berhubung pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Senjata Api.

"Pertuduhan alternatif itu ditawarkan kepada semua tertuduh dengan syarat mereka perlu mengaku salah terhadap pertuduhan terbabit," katanya.

Pada prosiding hari ini, Hakim Kamardin Hashim menetapkan 18 Oktober untuk merekod pengakuan tertuduh selepas pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yusaimi Amir Abd Karim, memohon tarikh baharu.
Yusaimi Amir berkata, pada tarikh itu, pendakwaan akan mengemukakan pertuduhan pilihan dan mahkamah akan merekod pengakuan mereka.

Semua tertuduh kini ditahan di Penjara Kajang. Pada 20 Januari 2011, komando Tentera Laut Diraja Malaysia menghulurkan bantuan kepada MT Bunga Laurel apabila kapal itu diserang lanun Somalia bersenjatakan rifel AK-47 dan pistol dalam operasi menyelamat diberi nama 'Fajar' yang dijalankan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). - BERNAMA

Pemohon BR1M disemak menerusi pemeriksaan antara agensi

Posted: 08 Oct 2012 03:26 AM PDT

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan akan membuat pemeriksaan dan semakan dengan agensi berkaitan bagi memastikan pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 adalah yang benar-benar layak menerima bantuan di bawah skim itu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bagi pemohon baru, mereka perlu mengisi borang pendaftaran permohonan yang disediakan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pejabat daerah serta pejabat pembangunan persekutuan.

"Kementerian akan melakukan semakan dengan agensi berkaitan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, LHDN dan sebagainya," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, pendaftaran bermula 1 November ini, dan hanya dua kategori pemohon perlu mengisi borang iaitu orang bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan kurang RM2,000 (kecuali pelajar institusi pengajian tinggi) dan mereka yang tercicir daripada senarai BR1M yang lalu.

Bagi penerima BR1M yang lalu, mereka tidak perlu lagi memohon kerana akan layak secara automatik menerima BR1M 2.0 yang dijangka diagih awal tahun depan, katanya.

"Namun kami tetap buat pemeriksaan, mungkin ada yang perlu pengubahsuaian, mungkin ada kes-kes penerima BR1M tahun ini yang dah meninggal dunia. Kalau ketua keluarga dah meninggal, isteri masih boleh ambil (BR1M 2.0)," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2013 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan BR1M 2.0 sebagai susulan kepada BR1M tahun ini, dan turut dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, yang melayakkan mereka menerima bantuan RM250.
BR1M tahun ini menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.2 juta isi rumah membabitkan peruntukan kira-kira RM2.2 bilion, manakala BR1M 2.0 membabitkan peruntukan RM3 bilion dengan tambahan penerima kira-kira 2.7 juta individu bujang.

Husni berkata, bagi pelajar institusi pengajian tinggi, mereka akan menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 berbanding RM200 pada pemberian tahun ini.

Bagi yang tercicir daripada senarai BR1M tahun ini, beliau memberi contoh mereka mungkin terdiri daripada kumpulan yang lambat menghantar borang, atau mungkin maklumat mengenai BR1M tidak sampai kepada mereka, atau mungkin baru tergolong dalam kategori warga emas (60 tahun) sebatang kara.

Ahmad Husni berkata, selain borang yang disediakan di pejabat berkenaan, permohonan juga boleh dibuat dalam talian. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan