Ahad, 16 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ajal dihempap traktor

Posted: 15 Sep 2012 03:28 PM PDT

JITRA: "Arwah berkeras tidak mahu balik kerana ingin habiskan kerja menebas pokok walaupun ketika itu senja. Arwah beritahu adiknya, dia hendak cari duit lebih kerana dalam poketnya hanya ada RM3," kata Abdul Majid Mohd Noh, 62, bapa kepada Nor Azman, 31, yang maut selepas traktor dipandunya terbalik dan menghempap mangsa di Jalan Lahar, Kampung Palas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa yang bekerja sebagai Pembantu Am di Kolej Kejururawatan, Alor Setar terpaksa menanggung derita sejam sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di pinggang.


Abdul Majid yang juga terkenal dengan wayang kulit Seri Asun berkata, arwah pergi ke ladang itu jam 4 petang bersama adiknya, Shazwan Suhaili, 15, kerana mengambil upah membersihkan kawasan ladang.

"Arwah pergi berdua bersama adiknya untuk membersihkan kawasan hutan di situ dan dia memandu traktor. Sejam kemudian, arwah balik ke rumah untuk mengambil barang alat ganti mesin yang tertinggal sebelum pergi semula ke ladang.


"Ketika memandu traktor, arwah dipercayai mengundur beberapa kali untuk meratakan kawasan. Bagaimanapun, ketika mengundur, arwah gagal mengawal traktor itu lalu terjatuh ke parit sedalam satu meter.


"Selepas terjatuh ke parit, arwah cuba naikkan semula traktor, namun ia terus terbalik dan menghempapnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kunluang, Mukim Binjal, di sini, semalam.

Beliau berkata, adiknya yang berada di situ tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana arwah tersepit di tempat duduk traktor.


"Arwah masih bernafas ketika itu tetapi dalam keadaan tidak bermaya kerana kecederaan dialami. Shazwan kemudian meminta bantuan penduduk kampung berhampiran dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mangsa.

"Bagaimanapun, anggota bomba menghadapi kesukaran kerana kenderaan mereka tidak boleh masuk ke hutan berikutan laluan kecil.


"Selepas sejam bertarung nyawa di atas traktor itu, akhirnya anak saya meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di pinggang," katanya.


Abdul Majid berkata, anaknya dikeluarkan dengan menggunakan dua jentera 'backhoe' jam 11 malam sebelum dibawa ke Hospital Jitra (HJ), di sini, untuk bedah siasat.


"Arwah anak ketiga daripada lapan beradik meninggalkan isteri, Azizah Mohd Ali, 31, serta dua anak, Nor Hafifi, 13, dan Arfah, 7. Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kunluang, dekat sini, jam 10 pagi semalam," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan mangsa mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Gagal rompak ATM

Posted: 15 Sep 2012 03:25 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Jalan Peel, Pudu, di sini, rosak akibat cuba dipecah menggunakan alat pengimpal logam oleh sekumpulan perompak, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, perompak terbabit gagal memecahkan mesin itu yang ditempatkan di tingkat bawah pasar raya berkenaan kerana kejadian disedari pengawal premis, jam 7.30 pagi.


"Polis yang tiba selepas dihubungi kemudian menemui peralatan mengimpal dan dua tong gas ditinggalkan perompak, dipercayai lebih daripada seorang.

"Mereka gagal mengambil wang kerana panik selepas ATM tidak dapat dipecahkan sebelum beredar," katanya.


Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Tiada ulasan:

Catat Ulasan