Ahad, 16 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Najib ajak rakyat laungkan rasa bangga dan cinta kepada negara

Posted: 16 Sep 2012 03:14 AM PDT

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengajak seluruh rakyat melaungkan perasaan bangga dan cinta kepada tanah air yang disifatkannya begitu sejahtera dan aman, sempena sambutan Hari Malaysia ke-49 hari ini.

"Dirgahayu Malaysia, Selamat Hari Malaysia dan Salam 1Malaysia," katanya di dalam entri terbaru blog peribadinya, 1Malaysia.

Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia tahun ini amat istimewa kerana buat kali pertama, hari yang bermakna dan bersejarah itu akan diraikan secara besar-besaran di Sarawak.
Berlangsung di tapak lama Lapangan Terbang Bintulu malam ini, sambutan Hari Malaysia kali ini dijadual dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Majlis itu juga dihadiri Najib, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet. - BERNAMA

Bekas tentera lemas selepas terjatuh dalam laut ketika memancing

Posted: 16 Sep 2012 02:57 AM PDT

ALOR SETAR: Seorang bekas anggota tentera ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika memancing bersama dua rakannya berdekatan Pulau Bunting, Yan, pagi tadi.

Mayat Muhamad Zaharudin Osman, 28, berjaya dibawa keluar oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Penyelamat pada jam 12.40 tengah hari, kira-kira 13 batu nautika dari tempat beliau dilaporkan terjatuh dari bot di perairan Yan, awal pagi ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kota Setar, Mohd Ridzwan Nut Jamudin berkata, polis marin yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan memaklumkan terjumpa mayat terapung di kawasan itu.
Sebelum itu, katanya, pihaknya melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa selepas menerima laporan daripada rakan mangsa pada jam 10 pagi tadi.

Menurutnya mangsa, yang bekerja sebagai peniaga ikan di Yan, bersama dua rakannya keluar memancing di perairan Yan pada jam 3 petang Khamis lalu.

Mohd Ridzwan berkata, gerakan mencari dan menyelamat itu turut disertai oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, nelayan tempatan dan sebuah bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Mayat bekas tentera itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan