Isnin, 17 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Peter Butler digantung enam bulan, denda RM4,000

Posted: 17 Sep 2012 05:12 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan untuk menggantung jurulatih Terengganu Peter Butler selama enam bulan mulai esok dan mengenakan denda RM4,000 terhadap jurulatih dari England itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Ahmad Shukri Zakaria berkata Butler dikenakan hukuman itu bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

Beliau berkata pemain terbabit, Mohd Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi, mengaku keluar serta balik ke hotel lewat malam hampir pukul 3 pagi sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar pada 28 Ogos lepas.

"Mesyuarat mengambil keputusan untuk memberi amaran keras kepada kedua-dua pemain itu, dan mengenakan denda sebanyak RM1,000 seorang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hari ini.


Turut hadir Yang DiPertua PBSNT, yang juga Pengurus Pasukan Terengganu Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Yang DiPertua PBSNT Sheikh Tajudin Sheih Yusof.


"Bagi kesalahan kedua (iaitu) bertindak biadap terhadap penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee pula, Butler dikenakan potongan gaji sebanyak 15 peratus daripada gaji pokok untuk sebulan.

"Butler melakukan kesalahan itu di tepi padang di hadapan penonton ketika perlawanan antara Terengganu dan Kedah pada 1 Sept lalu," katanya.

Ahmad Shukri berkata Mohd Sharbinee diberi amaran keras di samping denda RM1,000 kerana bertindak membaling botol ke arah Butler dalam insiden itu.

Beliau juga berkata bagi Forkey Do yang didakwa menyiku dan menendang pemain Kedah semasa bola tidak ada dalam kawalan pada perlawanan sama, jawatankuasa itu memutuskan untuk memotong 10 peratus gaji pemain Liberia tersebut selama sebulan.

Sementara itu, Che Mat berkata buat masa ini, Butler masih lagi jurulatih Terengganu sehingga kontrak beliau tamat November tahun depan.

"Apapun kita akan membuat persediaan awal dari segi pemain dan jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang dijangka lebih sengit tahun depan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Lelaki cedera selepas saluran sampah rumah pangsa Bandar Selesa Jaya meletup

Posted: 17 Sep 2012 04:26 AM PDT

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki cedera apabila saluran sampah di rumah pangsa Bandar Selesa Jaya, di sini meletup, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, A Rahim Arshad, 59, cedera di kaki dan tangan kanan dan terpaksa menerima lebih 10 jahitan akibat tercampak kira-kira lima meter dari tempat kejadian.

A Rahim berkata kejadian berlaku apabila beliau bersama seorang lagi penduduk, Mohd Eddie Mohd Kamal, 37, mengambil keputusan untuk membersihkan saluran sampah berkenaan yang tersumbat selepas tidak tahan dengan bau busuk setelah dua bulan sampah terbabit tidak dibersihkan.

"Kami memulakan operasi membakar daripada tingkat empat dalam pukul 4.30 petang. Kami melakukannya daripada satu tingkat ke satu tingkat sehinggalah selesai dan ia berjalan lancar.


"Namun, entah bagaimana botol air mineral yang berisi separuh minyak petrol yang kami gunakan untuk membakar sampah tersebut terlepas daripada gengaman dan jatuh ke dalam saluran sampah itu. Waktu ia jatuh, tiada api namun hanya sisa-sisa bara," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.


Seminit kemudian, satu letupan besar berlaku menyebabkan dinding saluran tersebut berkecai dan dia tercampak kira-kira lima meter dari tempat kejadian menyebabkan dada dan kakinya dihempap serpihan batu sementara Mohd Eddie tidak mengalami kecederaan.

"Mohd Eddie terus membawa saya ke klinik sebelum membuat rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk ujian X-ray. Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja," katanya sambil menambah beliau kini hanya sukar untuk tidur kerana sakit dada kesan daripada dihempap batu itu.

Sementara itu, Mohd Eddie berkata, dia tidak berniat untuk membahayakan nyawa sesiapa dan hanya ingin membantu penduduk di rumah pangsa empat tingkat itu membersihkan saluran tersebut.

"Saya tidak mahu persekitaran yang tidak sihat itu menjejaskan kesihatan ramai orang. Tidak mustahil suatu hari nanti, ada yang mengadu kesihatan mereka terganggu kerana sampah tersebut," katanya.

Katanya beliau membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah Nusajaya pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamed gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasannya mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng ketika melawat mangsa berkata, pihaknya akan membantu membaiki kerosakan yang berpunca daripada letupan tersebut seperti bumbung yang tercabut.

Beliau berharap penduduk akan lebih bertanggungjawab tidak membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan sekali gus menyusahkan jiran-jiran yang lain. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Tiada ulasan:

Catat Ulasan