Isnin, 17 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Padah langgar lampu merah

Posted: 16 Sep 2012 11:55 AM PDT

SUNGAI BULOH: Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Jalan Sungai Buloh-Subang, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, T Jeganathan, 22, dan T Kanikanan, 27, adalah penumpang kereta Proton Wira dan mereka maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.


Kejadian jam 3.10 pagi itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari Sungai Buloh yang dinaiki mangsa membelok ke kanan untuk memasuki persimpangan stesen berkenaan sebelum dirempuh sebuah Proton Waja.

Sumber polis trafik berkata, Proton Waja dari Subang itu tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian kiri Proton Wira dinaiki mangsa.


"Akibat rempuhan kuat itu, Proton Waja terbabit berpusing ke arah bertentangan manakala Proton Wira pula terseret beberapa meter," katanya.


Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila sebuah daripada kereta terbabit melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansor mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dalam kejadian berasingan di Kilometer 20 Lebuhraya Karak arah Tol Gombak, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas.

Mangsa, Raja Mohamad Fahmy Izzudin Raja Zulkifli, 21, yang menerima rawatan di Hospital Selayang disahkan meninggal dunia jam 10 pagi, tiga jam selepas kejadian itu.


Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Sunway menunggang dalam keadaan hujan lebat menyebabkan motosikalnya hilang kawalan dan terbabas.


Polis meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03- 6126222/2273.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Lelaki mahu bantu kenalan pengsan dikeroyok

Posted: 16 Sep 2012 11:54 AM PDT

GOMBAK: Niat untuk membantu pemandu sebuah kereta yang disangka rosak di Lebuhraya Karak bertukar episod malang kepada seorang lelaki apabila dia bukan sahaja di maki hamun, malah dibelasah dua lelaki sehingga pengsan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 37 tahun yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur terserempak sebuah kereta yang berhenti di laluan kecemasan memberhentikan kenderaannya untuk menolong selepas dia mengenali seorang daripada mereka.


Menurut sumber, tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa bertanya kenalannya itu mengenai masalah mereka.

"Bagaimanapun, kenalannya itu tidak menyenangi kehadiran mangsa dan memarahi serta menghamburkan kata-kata kesat.


"Terkejut dengan tindakan suspek yang tiba-tiba naik angin dan memaki hamunnya, mangsa mempersoalkan tindakan lelaki itu," katanya.


Sumber berkata, suspek yang berang mangsa masih tidak beredar dan mempersoalkan tindakannya menolak mangsa sebelum berlaku pertengkaran.

"Malah, pertengkaran mereka bertambah ganas apabila kedua-dua suspek memukul mangsa di kepala dengan objek tumpul menyebabkan dia cedera di kepala.


"Tidak cukup dengan itu mereka menyepak perut mangsa dan membelasahnya sehingga pengsan," katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri selepas terlihat kenderaan lain berhenti untuk membantu mangsa yang berlumuran darah di kepala dan tidak sedarkan diri.


"Mangsa dihantar ke Hospital Bentong dan ditahan di wad selama satu hari selepas cedera teruk di kepala.


"Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Selayang," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Tiada ulasan:

Catat Ulasan