Khamis, 13 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis sahkan mayat dibakar di ladang sawit warga asing

Posted: 13 Sep 2012 04:34 AM PDT

NIBONG TEBAL: Polis mengesahkan mayat lelaki yang ditemui terbakar dalam keadaan tanpa kepala, kedua-dua tangan dikerat pada paras siku dan kaki dipotong di bahagian paha di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil, di sini pada 30 Ogos lalu adalah warga asing.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Supt Shafien Mamat berkata, pihaknya baru menerima laporan cap jari mayat berkenaan daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan bahagian rekod jenayah Bukit Aman yang memaklumkan tiada rekod yang sama.

"Kesan cap jari mangsa tidak terdapat dalam rekod JPN dan bahagian jenayah, jadi polis mengesahkan bahawa mangsa adalah warga asing.

"Polis masih menjalankan siasatan kes itu dan kita minta orang ramai dapat memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada kita jika mempunyai maklumat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Dalam kejadian itu, polis menerima laporan orang awam yang menemui mayat masih terbakar pada jam 9.45 pagi dan hasil pemeriksaan polis menemui mayat lelaki berusia lingkungan 30-an tanpa sebarang identiti dan hanya berseluar dalam.


Sementara itu, Shafien berkata pihaknya juga memohon majikan yang gagal mengesan pekerja asing mereka bertugas untuk tempoh lama, tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS.

Katanya mereka yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi beliau di talian 019-3576443 atau mana-mana balai polis berdekatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13


Suami didakwa dera isteri dedah rakaman penuh CCTV

Posted: 13 Sep 2012 03:56 AM PDT

IPOH: Calven Chik Foo Keong, suami yang didakwa mendera isterinya, Amanda Fong Kim Yen, 19, hari ini mendedahkan rakaman penuh kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian, pada 23 Ogos lepas.

Calven Chik, 26, berkata, rakaman video selama 90 minit itu terpaksa didedahkan bagi membersihkan namanya yang tercemar selepas hanya sebahagian daripada rakaman berkenaan dimuat naik ke laman Facebook isterinya.

Jelas beliau, isterinya melakukan provokasi terhadapnya dan segala tindakan yang dilakukan beliau ketika itu, adalah untuk mempertahankan diri.

"Beliau (Amanda Fong) yang mula memukul saya dan saya pegang tangannya dan minta beliau bertenang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Calven Chik mendakwa kejadian itu berpunca daripada Amanda Fong yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya berhubung perbualan beliau dengan seorang pelanggan butik milik mereka melalui laman sosial.


"Saya dikutuk orang ramai dan diancam selepas rakaman CCTV itu tersebar," katanya sambil menafikan dakwaan beliau memukul isterinya yang hamil dua bulan secara berterusan selama kira-kira satu jam.

Mengakui masih menyayangi isterinya, Calven Chik berharap rumah tangga yang dibina sejak Januari lepas dapat diselamatkan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13


Tiada ulasan:

Catat Ulasan