Khamis, 13 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mati lepas dua bulan dibakar

Posted: 12 Sep 2012 12:46 PM PDT

KLANG: Hanya kerana mahu menghalang sekumpulan individu cuba mencuri minyak petrol motosikal milik ibunya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bertarung nyawa dan terlantar di hospital dua bulan selepas dibakar hidup-hidup individu terbabit di Desa Idaman, Taman Sentosa, di sini, 29 Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di Hospital Selayang (HS), di sini, jam 6.30 pagi semalam.


Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, P Yugavinayagar,15, ditemui jiran dalam keadaan terbaring dengan keseluruhan badannya melecur berhampiran motosikal di tempat meletak kenderaan pangsapuri.

Mangsa yang cedera serius di seluruh anggota badan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum dirujuk ke HS untuk rawatan lanjut.


Difahamkan, kecederaan akibat kebakaran yang dialami menyebabkan mangsa koma sepanjang ditempatkan di HS selain kaki kanannya dipotong kerana mengalami jangkitan kuman.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, mangsa dipercayai dibakar individu tidak dikenali gara-gara berang perlakuannya mencuri minyak dari motosikal disedari mangsa.

Katanya, polis masih menyiasat motif dan punca kejadian memandangkan tiada saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian.


"Polis mendapat laporan mengenai kejadian dua hari selepas insiden apabila ibu mangsa membuat laporan polis.

"Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan terperinci terus dijalankan," katanya.


Mohamad berkata, berdasarkan laporan awal mendapati mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman berfungsi selepas mengalami cedera serius akibat dibakar.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan menggunakan api.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13


Tiga pelajar ponteng ragut penumpang wanita

Posted: 12 Sep 2012 12:44 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja ponteng sekolah dikesan meragut penumpang stesen transit aliran ringan (LRT) di sekitar ibu negara sebelum seorang daripadanya diberkas polis, kelmarin, ketika melakukan jenayah itu terhadap seorang pelajar perempuan kolej swasta di Stesen LRT Hang Tuah, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, sekumpulan remaja terbabit yang masih di bawah umur berkeliaran secara berkumpulan dengan memakai pakaian biasa pada waktu persekolahan.


Menurutnya, dalam kes berkenaan mangsa berusia 21 tahun dihampiri tiga remaja terbabit di stesen LRT berkenaan jam 10.30 pagi sebelum ditolak sehingga jatuh.

"Suspek bukan saja meragut telefon pintar milik mangsa, malah turut mencabulnya yang cedera di lutut.


"Bagaimanapun, perlakuan suspek dilihat anggota polis yang meronda sebelum ketiga-tiganya cuba diberkas dan seorang daripada mereka ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.


Mohmad berkata, remaja yang ditahan berusia 15 tahun dan pemeriksaan lanjut menemui telefon pintar milik mangsa dan satu pisau berukuran kira-kira 20 sentimeter dalam poket seluarnya.

"Soal siasat mendapati remaja terbabit mengaku melakukan samun terhadap seorang wanita di Desa Tasik, Mac lalu.


"Remaja terbabit kini direman seminggu dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 354 kanun sama kerana mencabul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13


Tiada ulasan:

Catat Ulasan