Kosmo Online |
- Injunksi: Madrasah Salihiah tidak diroboh
- Polis buru 5 lelaki serang remaja
- Dua dihadap ke mahkamah tipu RM1.13j
Injunksi: Madrasah Salihiah tidak diroboh Posted: Injunksi: Madrasah Salihiah tidak diroboh14/05/2012 7:24pm ALOR SETAR - Waris pemilik asal tapak Madrasah Salihiah Kanchut di sini berjaya dalam usaha awal mereka menghalang kerajaan negeri Kedah merobohkan madrasah itu bagi tujuan pembinaan pusat beli-belah. Pesuruhjaya Kehakiman, See Mee Chun membuat keputusan itu selepas membenarkan injunksi interim yang difailkan Jamludin Murad, 58, Fadzil Ishak, 61, Fidel Firaidi Mustafa, 49, dan Fidel Firaidid Mustafa, 49. Mee Chun yang membuat keputusan itu dalam kamar turut memerintahkan wang pampasan RM1.43 juta yang dibayar Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) tidak dilupuskan. Pada 6 Mei lalu, plaintif memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini dan mendakwa pindah milik tapak madrasah berkenaan (kepada pihak pemaju) dibuat secara tidak sah di bawah Kanun Tanah Negara dan menuntut tanah tersebut dikembalikan kepada MAIK. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagaimanapun membuat kenyataan bahawa perobohan madrasah itu akan tetap diteruskan kerana warisnya hanya memfailkan injunksi yang mempertikai penjualan tanah wakaf berkenaan. - BERNAMA |
Polis buru 5 lelaki serang remaja Posted: Polis buru 5 lelaki serang remaja14/05/2012 7:20pm GEORGETOWN - Polis sedang mengesan lima lagi suspek berumur lingkungan 20-an kerana dipercayai terlibat dalam insiden serangan bersenjata terhadap seorang remaja lelaki malam tadi. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, motosikal yang dinaiki remaja berusia 17 tahun terbabit dihadang dan ditendang oleh enam lelaki bersenjata pisau dan topi keledar di Jalan Masjid Negeri dekat sini. "Apabila mangsa jatuh, salah seorang lelaki terbabit mengelar tangan kanan remaja itu dengan sebilah pisau. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, kesemua suspek melarikan diri sejurus polis tiba di tempat kejadian kecuali seorang dapat diberkas dan kini direman sehingga Rabu ini. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA |
Dua dihadap ke mahkamah tipu RM1.13j Posted: Dua dihadap ke mahkamah tipu RM1.13j14/05/2012 7:14pm PETALING JAYA - Seorang lelaki dan seorang wanita yang menghadapi dua pertuduhan menipu melibatkan wang berjumlah RM1.13 juta mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Bagi pertuduhan pertama, Ismahadi Ahyali, 52, seorang penasihat kewangan dan Teoh Ai Koon atau dikenali sebagai Kamolnat Kijvanit, 43, perunding cukai, didakwa menipu Heng Gee Hooi, 47, seorang pengarah syarikat Barisan Elite Sdn. Bhd., sehingga mendorong mangsa memindahkan wang sejumlah RM834,210 milik syarikat itu ke dalam akaun milik Ismahadi. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di OCBC Bank, 18, Jalan Tun Perak, Dang Wangi, pada pukul 1.10 tengah hari, 10 Disember 2008. Hakim Haiyatul Akmal Abdul Aziz membenarkan mereka diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Choong Kak Sen manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Khairul Anuar Mohamadiah. Di mahkamah lain, Ismahadi dan Teoh juga mengaku tidak bersalah menipu mangsa sama, melibatkan wang bernilai RM303,576 milik Wawasan Elite Sdn. Bhd., yang dipindahkan ke dalam akaun Ismahadi. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank, Jalan Kuchai Lama, No 30-34 Jalan Awan Hijau, Brickfields, pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Disember 2008. Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan mereka diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan