Jumaat, 25 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Gangguan perkhidmatan tren KTMB esok, Ahad

Posted: 25 May 2012 03:14 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan mengalami sedikit kelewatan esok dan Ahad berikutan kerja-kerja penyelenggaraan trek antara Simpang Batu ke Kepong (KM383.460-KM383.590) sepanjang laluan Putra-Segambut.

KTM Bhd dalam kenyataan hari ini, berkata kerja-kerja penyelenggaraan landasan dijadualkan dari 12.01 pagi hingga 10 pagi esok dan tempoh yang sama pada Ahad.

"Usaha akan dilakukan untuk mengurangkan kelewatan dalam perkhidmatan kereta api manakala kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan," kata kenyataan itu. Menurut KTMB kerja penyelenggaraan trek yang dijadualkan adalah penting sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memberikan perkhidmatan kereta api yang selamat dan menepati masa kepada pengguna.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ktmb.com.my atau hubungi pusat panggilan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862," kata kenyataan itu. - BERNAMA


4,000 pekerjaan ditawarkan sempena Himpunan Jutaan Belia

Posted: 25 May 2012 03:12 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Sebanyak 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Karnival Kerjaya, anjuran Kementerian Sumber Manusia, sempena Himpunan Jutaan Belia yang berakhir Ahad ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, sebanyak 35 majikan swasta mengambil bahagian pada karnival itu yang memberi peluang kepada belia sama ada lepasan ijazah, diploma atau sekolah untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan taraf pendidikan masing-masing.

"Mereka boleh menjalani temuduga di sini dengan membawa dokumen-dokumen berkaitan. Malah ada yang terus ditawarkan peluang pekerjaan selepas ditemuduga," katanya selepas merasmikan Pameran Kerjaya di sini, hari ini. Dalam pada itu, Dr Subramaniam menasihatkan golongan belia di kalangan bukan graduan supaya tidak selalu bertukar-tukar kerja dalam tempoh yang singkat kerana ia akan melahirkan persepsi buruk majikan terhadap mereka.

Bagaimanapun, katanya, senario itu jarang berlaku di kalangan graduan kerana mereka amat menghargai pekerjaan yang diperolehi yang bersesuaian dengan taraf pendidikan mereka. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan