Rabu, 23 Mei 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Perak pajak aset air RM999j lupus hutang

Posted: 23 May 2012 03:03 PM PDT

Nasional

WAN AZIZ (kiri) dan Abdul Puhat bertukar dokumen perjanjian penstrukturan semula bekalan air sambil disaksikan Muhyiddin, Zambry, Ahmad Husni dan Tajol Rosli di Putrajaya, semalam.

WAN AZIZ (kiri) dan Abdul Puhat bertukar dokumen perjanjian penstrukturan semula bekalan air sambil disaksikan Muhyiddin, Zambry, Ahmad Husni dan Tajol Rosli di Putrajaya, semalam.

PAAB dibenar urus penstrukturan semula bekalan

PUTRAJAYA: Hampir semua hutang kerajaan Perak kepada Kerajaan Persekutuan lupus selepas menandatangani perjanjian penstrukturan semula bekalan air dengan membenarkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambil alih aset air bernilai RM999 juta di negeri itu semalam.

Menerusi perjanjian itu, Lembaga Air Perak (LAP) memajak aset bernilai RM999 juta kepada PAAB selama 45 tahun, sekali gus menjimatkan kos baik pulih dan menaik taraf infrastruktur air di Perak yang diunjur memerlukan RM3.5 bilion untuk tempoh 30 tahun akan datang.

LAP antara syarikat kerajaan negeri yang mencatat peningkatan keuntungan dalam pembekalan air sejak 2008, termasuk untung bersih RM104 juta pada 2011, selain modal berbayar RM199 juta. Kita memiliki aset air bernilai RM2.4 bilion termasuk RM640 juta rizab tunai. - Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, perjanjian itu juga memberi jaminan tarif air di negeri itu tidak akan naik.

"LAP antara syarikat kerajaan negeri yang mencatat peningkatan keuntungan dalam pembekalan air sejak 2008, termasuk untung bersih RM104 juta pada 2011, selain modal berbayar RM199 juta. Kita memiliki aset air bernilai RM2.4 bilion termasuk RM640 juta rizab tunai.

"Hutang kepada Kerajaan Persekutuan pula hanya berbaki RM72 juta yang disalurkan bagi pembangunan projek perumahan dan bangunan kerajaan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian itu.

Perjanjian disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim dan Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Perak adalah negeri keenam selepas Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perlis dan Pulau Pinang bersetuju menyertai penstrukturan semula bekalan air.

Perjanjian ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Aziz Wan Abdullah bagi pihak Kerajaan Persekutuan; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan mewakili kerajaan negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman serta Pengurus Besar LAP, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa mewakili syarikat masing-masing.

Dengan termeterainya perjanjian itu, PAAB kini memiliki aset air bernilai RM9.24 bilion dan menetapkan sasaran memuktamadkan perjanjian pembekalan air dengan beberapa negeri lain menjelang akhir 2013 bagi menzahirkan hasrat kerajaan melaksanakan dasar kebangsaan untuk menambah baik industri pembekalan air negara.


Nik Aziz enggan longgar syarat pertemuan UMNO, PAS

Posted: 23 May 2012 02:59 PM PDT

Nasional

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak untuk melonggarkan syarat yang ditetapkannya sebelum ini bagi membolehkan muzakarah diadakan antara UMNO dan PAS.

"Biar dulu (soal longgar syarat), yang penting setuju atau tidak dan lepas itu baru kita buat syarat. Budak kecil nak masuk tadika pun ada syaratnya, mana boleh muzakarah tidak ada syaratnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar Kota Jembal bernilai RM3.2 juta dekat sini, semalam.

Nik Aziz berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau bersedia untuk melonggarkan syarat bermuzakarah yang dikenakan kepada UMNO. Sabtu lalu, Nik Aziz mengenakan dua syarat untuk bermuzakarah dengan UMNO iaitu UMNO perlu menerima rakan pembangkang iaitu DAP dan PKR serta menukar dasar kebangsaan yang diguna pakai ketika ini kepada dasar Islam.

Kelmarin, beliau menambah satu lagi syarat iaitu menggunakan tajuk 'Kenapa UMNO Tolak Islam' untuk muzakarah.

Ditanya kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjelaskan parti itu hanya bersedia mengadakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung salah faham mengenai Islam dan bukan muzakarah dengan UMNO, Nik Aziz berkata, beliau tidak mahu sentuh hal presiden.

"Saya tidak mahu sentuh atau ganggu hal Presiden, yang saya hendak sebut ialah mengenai hal saya. Saya hendak bermuzakarah dengan UMNO, kenapa menolak Islam. Kalau dia (Abdul Hadi) tidak setuju dengan saya, tidak mengapa," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan