Rabu, 16 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pokok mempelam "penyelamat" warga emas, cicit daripada dirempuh lori

Posted: 16 May 2012 04:37 AM PDT

HULU TERENGGANU: Sebatang pokok mempelam berusia lebih 50 tahun sekali lagi menjadi "penyelamat" kepada penghuni sebuah rumah di sini, apabila "menahan" rempuhan lori tangki yang terbabas daripada melanggar rumah itu hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi di Km 15 Jalan Gaung-Teris berhampiran Kampung Tengkawang itu, hanya Minah Che Idris, 60, dan cicitnya Nor Auni Azamudi, sembilan bulan berada di dalam rumah tersebut.

"Mula-mula makcik dengar bunyi brek yang kuat dan makcik terus ambil cicit yang tidur di ruang tamu sebelum dengar dentuman yang kuat di luar rumah," katanya ketika ditemui pemberita, di kediamannya.

Minah berkata beliau kemudian berlari keluar rumah dan ternampak sebuah lori "melekat" pada batang pokok mempelam tersebut serta limpahan minyak di kawasan rumahnya.


"Ini bukan kali pertama. Sebelum ini trak tentera, lori balak dan banyak jenis kenderaan pernah terbabas di sini dan melanggar batang pokok mempelam itu, tapi semuanya tidak melibatkan kemalangan maut.


"Saya harap pihak kerajaan buat sesuatu pada jalan di kawasan ini sebab kerap sangat berlaku kemalangan. Kadang-kala dalam sebulan tiga hingga empat kali (kemalangan)," katanya yang tinggal di rumah itu sejak lebih 40 tahun lalu.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu ASP Mohd Rosli Mohd Amir ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya lori tangki yang membawa muatan minyak sawit itu datang dari Gua Musang, Kelantan menuju ke pelabuhan Kuantan, Pahang.

Pemandu lori yang berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan namun kelindannya yang berusia 23 tahun mengalami luka ringan, katanya. - BERNAMA




Pekerja ladang warga Indonesia mati ditetak rakan

Posted: 16 May 2012 03:44 AM PDT

BELURAN: Seorang pekerja ladang warga Indonesia mati ditetak oleh rakan sekerjanya dalam satu pergaduhan di Ladang Kelapa Sawit Laukin IOI di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, DSP V. Sivanathan berkata, mangsa dikenali sebagai Indra yang ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan, di tepi jalan ladang itu oleh pekerja ladang kira-kira pukul 9 malam.

Katanya laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh penolong pengurus ladang berkenaan kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan menjumpai mayat mangsa dengan kesan tetakan di bahagian belakang badan, bahu, pipi dan leher.


Sivanathan berkata, siasatan di tempat kejadian menemui kesan pergelutan tetapi tidak menemui senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu.


Beliau berkata, polis sedang memburu rakan sekerja mangsa yang berusia lingkungan 20-an yang melarikan diri selepas kejadian itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan