Isnin, 14 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis tahan 21 peserta demonstrasi, 120 diminta serah diri sehingga esok

Posted: 14 May 2012 03:19 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu 120 peserta, perhimpunan yang bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lalu, yang disiarkan wajah mereka dalam media, untuk menyerah diri sehingga esok.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata sehingga semalam, 21 peserta terbabit ditahan dengan sebahagiannya menyerah diri kepada polis dan ada yang ditahan di rumah mereka.

Beliau berkata, secara keseluruhan polis sudah menyiarkan 141 gambar wajah demonstran yang dipercayai terbabit dalam rusuhan di Dataran Merdeka itu. "Kita akan mengesan dan menangkap mereka yang belum menyerah diri. Kita tidak perlukan waran tangkap kerana ia kesalahan lazim ditangkap dan merusuh merupakan kesalahan lazim," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada 28 April lalu, segelintir daripada peserta perhimpunan itu bertindak merempuh penghadang untuk memasuki Dataran Merdeka sekali gus melanggar perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei.

Berikutan itu, polis menyiarkan gambar peserta berkenaan melalui media dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata polis akan membuat tangkapan dari rumah ke rumah terhadap peserta perhimpunan, yang enggan menyerah diri, mulai Rabu ini selepas tempoh seminggu diberikan untuk mereka.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak membenarkan perhimpunan itu dijalankan di Dataran Merdeka dan memberikan tempat lain sebagai pilihan kerana dataran hanya sesuai untuk acara rasmi peringkat nasional. - BERNAMA


Pesara didakwa tipu 2 peniaga RM53,450

Posted: 14 May 2012 02:47 AM PDT

Mutakhir

KLANG: Seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan menipu dua peniaga RM53,450 bagi mendapatkan projek yang tidak wujud di sebuah syarikat penyelenggaraan kapal terbang.

Azmir Shakri Ab Hamid, 59, dari Petaling Jaya, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.

Tertuduh didakwa menipu Zubir Azarai, 49, dengan memperdaya bahawa dia boleh mendapatkan projek membuat 'step aircraft' di Syarikat Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd untuk Zubir dengan kadar bayaran tertentu dan dengan itu mendorong Zubir menyerahkan RM30,560 dengan cara memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank milik tertuduh. Azmir Shakri didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa cawangan CIMB Bank di sini antara 8 September 2011 dan 23 Februari 2012.

Tertuduh juga didakwa menipu M Sahroni Basirin @ Ibrahim, 46, dengan memperdaya bahawa dia boleh mendapatkan projek membuat 'hanger cabinet' di Syarikat Sepang Aircraft Engineering untuk M Sahroni dengan kadar bayaran tertentu dan dengan itu mendorong M Sahroni membayar RM22,890 dengan cara memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 Oktober 2011 dan 21 Februari 2012 juga di beberapa cawangan CIMB Bank di sini.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Azmir Shakri didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Majistret Ho membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan