Isnin, 28 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


3 maut, 4 cedera letupan di Pattani

Posted: 28 May 2012 02:52 AM PDT

Mutakhir

BANGKOK: Tiga sukarelawan terbunuh manakala empat lagi cedera dalam serangan bom di tepi jalan di sini, hari ini.

Ketua Polis Kapor, Kolonel Manit Khongwatmai, berkata semua mangsa berada dalam sebuah kereta ketika bom buatan sendiri seberat 20 kilogram yang ditanam di tepi jalan di Kampung Hutang Berangan, Kapor, Pattani, meletup pada jam 12.30 tengah hari.

Ketika kejadian, sukarelawan itu sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan kampung berkenaan. Tiga sukarelawan yang meninggal dunia di tempat kejadian berusia lingkungan 26 dan 37 tahun manakala mangsa yang cedera berusia antara 31 dan 44 tahun kini dirawat di Hospital Pattani.

Lebih 5,000 orang terkorban sejak puak pemisah disyaki meneruskan kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lalu.

- BERNAMA


Lepasan SPM boleh ke IPT berdasarkan pengalaman kerja

Posted: 28 May 2012 02:51 AM PDT

Mutakhir

TEMERLOH: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi berdasarkan pengalaman kerja atau perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peluang berkenaan adalah selaras dengan agenda kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Kerajaan akan mewujudkan satu kaedah kelulusan baharu dengan mengambil kira pengalaman kerjaya serta perniagaan seseorang lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi termasuk di universiti," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 pelajar cemerlang SPM yang mengikuti Program Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, pendekatan baharu itu diharap dapat melahirkan tenaga kerja mahir setanding dengan status negara maju dan seterusnya mampu menjayakan agenda rakyat berpendapatan tinggi.

Katanya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyediakan instrumen mengukur kelayakan atau 'Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Masa Lalu' sebelum memilih calon lepasan SPM mengikuti pengajian tinggi.

"Selain pengalaman kerjaya dan perniagaan, antara kriteria yang turut diambil kira termasuk pengalaman kursus keusahawanan dan kemahiran yang diambil oleh calon dari institusi kemahiran seperti GiatMara," katanya.
Saifuddin berkata, konsep itu sama seperti pembelajaran sepanjang hayat itu sebenarnya sudah lama diamalkan di negara maju.

Beliau berkata, lebih 80 peratus tenaga kerja di negara ini hanya memiliki kelulusan SPM dan ia bukan satu pencapaian yang baik dari segi memenuhi kriteria rakyat negara maju. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan