Selasa, 22 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Harapan Malaysia ke separuh akhir tipis

Posted: 22 May 2012 04:01 AM PDT

WUHAN: Malaysia berhadapan laluan sukar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Thomas setelah tewas 2-3 kepada Denmark di peringkat saingan kumpulan di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di sini, hari ini.

Ekoran kekalahan itu, Malaysia berkemungkinan diundi bertemu juara bertahan China pada peringkat suku akhir esok.

Kecederaan luar jangkaan perseorangan pertama Datuk Lee Chong Wei dan strategi jurulatih beregu Tan Kim Her yang tidak menjadi, dilihat sebagai penyebab kepada kekalahan pasukan negara itu kepada Denmark.

Chong Wei yang diharapkan untuk meraih mata pertama, terpaksa menarik diri daripada kejohanan apabila beliau mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan ketika menentang pemain Denmark Peter Hoeg Gade.


Beliau yang meninggalkan venue perlawanan dengan berkerusi roda kini menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di sini dengan ditemani jurulatih Tey Siew Bock.


Percaturan jurulatih Tan untuk memecahkan beregu utama Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tidak menjadi apabila gandingan baru Tan/Hoon Thien How dan Koo/Goh Wei Shem gagal menyumbang sebarang mata.

Meskipun berjaya membawa permainan ke set penentuan, Tan dan Hoon gagal menyaingi aksi bertenaga beregu Denmark Carsten Mogensen/Mathias Boe apabila tewas 21-17, 21-23, 21-11.

Koo dan Goh juga mempamerkan aksi mengecewakan apabila kecundang 21-18, 21-15 di tangan beregu Jonas Rasmussen/Joachim Fischer Nielsen 21-18, 21-15.

Koo yang ditemui selepas perlawanan mengakui kurang serasi dengan pasangan beregunya itu.

"Dari segi mental, kami menyokong satu sama lain tetapi secara taktik, kami tidak. Tak cukup persefahaman antara kami kerana ini pertama kali kami bermain dalam kejohanan," katanya kepada wartawan Malaysia yang berada di sini untuk membuat liputan kejohanan badminton berprestij itu.

Jurulatih Tan berkata beregu pertama bermain dengan baik namun tidak mampu mengekalkan persembahan mereka hingga ke akhir perlawanan dan mengakui gandingan beregu kedua itu masih baru.

"Itu adalah sebahagian daripada taktik pasukan. Kalah atau menang itu adalah adat permainan.

"Kalau kita ikut gandingan asal pun belum tentu menang. Sekarang kita perlu lihat ke depan untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Dua mata Malaysia disumbangkan menerusi perseorangan kedua Liew Daren dan perseorangan ketiga Muhammad Hafiz Hashim.

Daren, pemain ranking ke-33 dunia, melakukan kejutan apabila menewaskan perseorangan ke-13 dunia Jan O Jorgensen 21-15, 21-13, manakala Muhammad Hafiz terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Hans-Kristian Vittinghus 17-21, 21-17, 21-19.

Undian untuk suku akhir akan dijalankan di sini lewat malam ini selepas semua perlawanan peringkat kumpulan tamat.


Piala Thomas: Chong Wei cedera, tarik diri daripada kejohanan

Posted: 22 May 2012 01:50 AM PDT

WUHAN: Perseorangan nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada kejohanan Piala Thomas setelah cedera di buku lali kanan ketika beraksi pada perlawanan peringkat kumpulan C di sini, hari ini.

Chong Wei yang sedang mendahului 2-0 dalam set pertama menentang perseorangan Denmark Peter Hoeg Gade, terseliuh ketika cuba menyambut pukulan lawannya di bahagian belakang gelanggang.

Chong Wei menerima rawatan awal di gelanggang daripada pasukan perubatan sebelum memutuskan untuk menarik diri.

Beliau kemudian dibawa keluar dari Pusat Sukan Gimnasium Wuhan menggunakan kerusi roda sebelum dilihat meninggalkan perkarangan venue perlawanan dengan ambulans.


Jurulatih kebangsaan Rashid Sidek berkata buat masa ini beliau tidak mengetahui sejauh mana keadaan kecederaan pemain itu dan Chong Wei mungkin perlu menjalani 'x-ray' di pusat perubatan di sini.


"Kita terpaksa rehatkan dia sebab kena fikirkan persediaan Olimpik. Masih ada tiga bulan untuk Olimpik, jadi harap dia akan sembuh secepat mungkin," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan kejohanan Piala Thomas itu.

Beliau turut mempertahan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain nombor satu dunia itu pada kejohanan kali ini, meskipun ada pihak yang mencadangkan supaya pemain itu dikecualikan bagi mengelak kecederaan.

"Kecederaan begini terjadi tanpa kawalan kita sebab pemain kadang-kala tidak dapat mengawal pergerakan mereka.

"Lagipun kejohanan ini adalah sebahagian daripada persediaan Chong Wei untuk Olimpik," katanya.

Sementara itu, Gade yang ditemui selepas perlawanan, berkata beliau memahami serta bersimpati dengan kecederaan yang dialami Chong Wei.

"Saya tahu apa yang bermain di fikiran beliau sekarang, dengan Olimpik semakin hampir. Saya harap dia cepat sembuh dan bersedia untuk Olimpik," katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan