Khamis, 24 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pendatang ugut terjun bumbung

Posted: 23 May 2012 02:59 PM PDT

KLANG: Seorang lelaki warga Indonesia mengugut untuk terjun dari bumbung rumah jirannya bagi mengelak ditahan ketika pemeriksaan Jabatan Imigresen Selangor di Sungai Udang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, pihak imigresen terpaksa menghubungi pasukan bomba dan penyelamat bagi memasang tilam angin untuk mengelak lelaki berusia 42 tahun itu cedera selepas cubaan memujuknya, gagal. Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, lelaki terbabit lembut hati selepas berjaya dipujuk isterinya, dua jam kemudian. Katanya, sebelum kejadian pihak imigresen membuat pemeriksaan ke atas rumah lelaki terbabit dan sejurus menyedari pihak berkuasa itu membuat pemeriksaan di rumahnya, dia bangun dan melompat ke atas atap rumah jirannya mengelak dirinya daripada dicekup.


Othman berkata, sebaik saja pihak imigresen naik ke atas bumbung lelaki itu mengugut pegawai imigresen supaya tidak mendekatinya.

"Sebaik mendengar ugutan itu, pihak imigresen cuba menenangkannya dan memintanya supaya menyerahkan diri, tetapi lelaki itu enggan bekerjasama.


"Selepas hampir dua jam, pihak imigresen berjaya memujuk lelaki terbabit dengan bantuan isterinya sebelum dia menyerah diri," katanya.


Dalam operasi itu, Othman berkata, seramai 22 orang warga asing yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki, 10 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan kerana pelbagai kesalahan imigresen.

Semua yang ditahan berusia satu hingga 52 tahun dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, untuk siasatan lanjut. Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Tunggu dua jam ambil anak

Posted: 23 May 2012 02:57 PM PDT

PETALING JAYA: Niat murni pengurusan sebuah sekolah antarabangsa di sini mengetatkan kawalan keselamatan demi melindungi pelajar daripada menjadi mangsa jenayah terutama penculikan bertukar sebaliknya apabila ibu bapa terpaksa menunggu dua jam untuk mengambil anak mereka.

Kawalan ketat di sekolah berkenaan bermula sejak penculikan Nayati Shamelin Moodliar, 12, penuntut sekolah antarabangsa di Bukit Kiara pada 28 April lalu.


Pihak pengurusan sekolah berkenaan mengambil langkah drastik dengan membuka satu pintu untuk mengambil dan menurunkan pelajar.

Malah, setiap ibu bapa dan penjaga yang mahu mengambil anak mereka perlu beratur untuk masuk ke sekolah dan tidak boleh lagi berjalan sebaliknya perlu menggunakan kenderaan masing-masing yang disertakan pengenalan berbentuk pelekat.


Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Lee, 42, berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah pengurusan sekolah yang didakwa tidak berbincang mahupun mendapatkan pandangan ibu bapa sebelum melaksanakan sistem keselamatan baru. "Kami diberitahu pengurusan menukar sistem baru ini menerusi e-mel lebih dua minggu lalu dan tiga hari kemudian mereka menukar semua laluan masuk untuk mengambil pelajar, malah kami tidak lagi dibenar mengambil secara 'walk in'.


"Setiap ibu bapa atau penjaga perlu masuk sekolah menggunakan kenderaan dan hanya satu pintu masuk dibuka, malah kami menunggu lebih lama daripada sepatutnya.

"Sebagai bantahan, satu memorandum ditandatangani 150 ibu bapa sudah dihantar minggu lalu, tetapi pihak sekolah langsung tidak mengambil tindakan. Kami mahukan dialog bagi membincangkan perkara ini," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan