Harian Metro: Mutakhir |
Pemilik restoran tekad lawan penyamun berpistol dengan kayu Posted: 15 May 2012 05:04 AM PDT PETALING JAYA: Pemilik restoran tekad untuk melawan dua penyamun, yang salah seorang daripada mereka bersenjatakan pistol, ketika menceroboh rumah teres dua tingkatnya di Taman Sea Park di sini hari ini. Pemilik restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Tan, 50, berkata beliau terdengar bunyi bising di tingkat bawah pada kira-kira 6.30 pagi apabila ibu Tan yang berusia 70 tahun, menjerit akibat rantai lehernya diragut penyamun berkenaan ketika ibunya menjemur kain.
Ekoran jeritan itu, Tan mencapai sebatang kayu di dalam bilik tidur utamanya dan turun ke bawah, manakala isteri, adik dan tiga orang anak Tan masih nyenyak tidur. Dua penjenayah itu dipercayai terkejut melihat kehadirannya apabila beliau keluar rumah dengan berkayu menyebabkan penjenayah yang bersenjatakan pistol itu melepaskan dua das tembakan rawak di mana pelurunya terkena lantai luar rumah dan dinding.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis menjalankan siasatan mengikut 392 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan. - BERNAMA ![]() |
Mangsa penculikan di Filipina selamat kembali ke pangkuan keluarga Posted: 15 May 2012 05:01 AM PDT KUALA LUMPUR: Mohd Nazarrudin Saidin, rakyat Malaysia yang diculik selama 378 hari oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika menguruskan perniagaan cicak tongkek di Pulau Sulu, selatan Filipina Mei tahun lepas, selamat kembali ke pangkuan keluarganya hari ini. Ketibaan Mohd Nazarrudin, 39, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dekat sini pagi ini disambut anggota keluarganya. Mohd Nazaruddin diiringi beberapa wakil Kelab Putera 1Malaysia yang membawanya pulang ke ibu negara dari Sandakan, Sabah.
Mohd Nazarrudin yang berasal dari Sungai Buluh, Selangor, dilapor diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata pada 8 Mei tahun lepas ketika beliau berada di pulau berkenaan bagi menguruskan perniagaannya mencari sejenis cicak tongkek yang dikatakan mempunyai nilai tinggi di pasaran gelap dan didakwa mampu mengubati penyakit HIV. Beliau dilapor berjaya meloloskan diri Sabtu lepas dan atas bantuan penduduk kampung pulau berkenaan yang menyediakan bot, beliau tiba di perairan Malaysia berhampiran Sandakan, Sabah pada Ahad lepas
Mohd Nazarrudin turut menasihati golongan muda supaya tidak mengikut jejak langkahnya yang tidak berfikir panjang kerana terlalu ingin mengejar kekayaan tanpa memikirkan keselamatan diri sehingga menjadi mangsa penculikan. Ayah Nazarrudin, Saidin Aziz, 64, dan ibunya, Siti Hamdah Ahmad, 59, bersyukur Nazarrudin selamat pulang dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah banyak membantu misi rundingan serta seluruh rakyat Malaysia yang telah mendoakan keselamatan anak mereka. Mohd Nazarrudin yang menetap di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan dikurniakan enam orang anak iaitu Amir Hazazi, 16, Nur Amira, 15, Nur Atiqah, 13, Nabil Haikal, 12, Adib Irfan, 8, dan Nur Athirah, 5. Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya diberi kepercayaan untuk berunding dengan kumpulan itu dan selama tujuh bulan rundingan dijalankan bagi menuntut pembebasan Mohd Nazarrudin. "Kami meminta bantuan sekumpulan penduduk kampung di pulau itu yang mempunyai hubungan rapat dengan penculik terbabit bagi mengadakan perbincangan, dan akhirnya Mohd Nazarrudin dapat diselamatkan tanpa membabitkan wang tebusan," katanya. Abdul Azeez berkata pihaknya juga akan membantu mencari pekerjaan yang sesuai dengan Mohd Nazarrudin bagi menampung keluarganya. - BERNAMA ![]() |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan