Selasa, 15 Mei 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Buru wanita 7 pagi

Posted: 14 May 2012 12:02 PM PDT

KUALA LUMPUR: Culik, rogol dan samun. Itulah serangan 'tiga serangkai digunakan sekumpulan tiga lelaki yang bukan saja menculik dan menyamun mangsa tetapi juga menjadikan mereka 'tawanan' melampiaskan nafsu.

Difahamkan, kumpulan terbabit yang bergerak dengan kereta Proton Waja hitam itu berlegar-legar seawal jam 7 pagi di sekitar kawasan perumahan sebelum menculik mana-mana wanita yang berjalan sendirian.


Dalam kejadian terbaru di hadapan sebuah rumah di Jalan Sri Hartamas, di sini, kelmarin, seorang wanita berusia 38 tahun menjadi mangsa kumpulan yang bersenjatakan pisau itu apabila diculik, dirogol bergilir-gilir sebelum disamun.

Malah, kejadian rogol itu dirakam kumpulan berkenaan dipercayai sebagai koleksi peribadi mereka.


Mangsa yang dibebaskan selepas diperlakukan seperti binatang oleh kumpulan berkenaan membuat laporan di Balai Polis Travers, di sini.


Menurut sumber, mangsa yang bersendirian dalam perjalanan ke kedai mendakwa tiba-tiba dihampiri dua lelaki tidak dikenali.

"Kedua-dua suspek memegang tangannya sebelum seorang daripada mereka meletakkan pisau di leher wanita berkenaan.


"Mangsa yang cuba melawan diugut dicederakan sebelum diheret masuk ke dalam kereta Proton Waja yang siap menunggu berhampiran kawasan berkenaan," katanya.

Sumber berkata, kepala mangsa ditutup menggunakan kain sebelum dia dirogol seorang daripada suspek di dalam kenderaan itu.


"Penderitaan mangsa tidak berakhir di situ, dia terus dinodai kumpulan berkenaan di rumah kosong. Kali ini, mangsa dirogol bergilir-gilir tiga lelaki terbabit. "Selepas diperlakukan demikian, seorang daripada suspek menyerahkan semula pakaian mangsa," katanya memberitahu barang berharga milik mangsa seperti telefon bimbit dan wang tunai lebih RM100 dirampas kumpulan itu.


Katanya, kumpulan itu membawa mangsa sebelum meninggalkannya di bahu jalan di Jalan Tun Sambanthan, di sini.


Mangsa yang dibantu orang awam menghubungi keluarga sebelum tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.


Katanya, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan namun usaha memburu kumpulan itu giat dijalankan. Kami masih meneruskan siasatan namun tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan sama seperti dengan beberapa kes yang dilaporkan sebelum ini," katanya.


Pada 30 Mac lalu, Harian Metro melaporkan seorang pelajar perempuan diculik sekumpulan tiga lelaki ketika menunggu bas di Jinjang, di sini, sebelum dipukul dan dipaksa melayani nafsu mereka di bilik sebuah hotel di Balakong.


Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa yang berusia 16 tahun mendakwa sepanjang tempoh berkenaan, dia dipaksa berbogel, dipukul dan ditendang serta diarah melakukan onani selain menjilat kaki semua lelaki terbabit malah, setiap aksinya itu dirakamkan kumpulan terbabit, namun mangsa mengakui tidak dirogol.


Manakala, pada 24 Mac lalu akhbar ini melaporkan seorang wanita berusia 37 tahun bukan saja disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau, tetapi turut dirogol bergilir-gilir oleh kumpulan penjenayah terbabit dalam teksi dinaikinya.


Dalam kejadian pada jam 3 petang berhampiran pasar raya di Kepong, di sini, mangsa mendakwa tiga lelaki merogolnya termasuk pemandu teksi.


Lagi satu kes yang dilaporkan pada 22 Februari lalu, seorang remaja diculik dan dirogol bergilir-gilir di sebuah hotel di Pudu.


Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, remaja berusia 17 tahun dan berasal dari Kundang itu dilaporkan diumpan tiga lelaki terbabit bertemu sebelum itu diculik dan dirogol bergilir-gilir.




Fasha berbadan dua

Posted: 14 May 2012 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Nur Fasha Sandha Hassan disahkan mengandung seminggu lebih selepas membuat pemeriksaan di sebuah klinik swasta di Ampang, semalam.

Dia yang diijabkabulkan dengan suaminya Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 36, pada 28 April lalu di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai berita gembira itu kerana semuanya terlalu baru dan masih perlu menjalani satu lagi pemeriksaan minggu depan.


Fasha yang dihubungi semalam menyifatkan berita itu hadiah paling istimewa buat dia dan suami.

"Alhamdulillah semuanya rezeki dan saya sendiri tidak pernah menyangka ia terlalu awal buat kami berdua. Saya sebenarnya tidak tahu sehingga membuat pemeriksaan pagi tadi (semalam) di klinik di Ampang bersama pembantu peribadi dan kemudiannya doktor mengesahkan ujian air kencing positif yang mana saya sah mengandung.


"Suami sendiri terkejut kerana tidak menyangka menerima berita ini. Jika benar apa yang dikhabarkan kepada kami berdua ini, ia adalah rezeki dan doa kami berdua akhirnya terjawab untuk memiliki cahaya mata secepat mungkin.


"Namun saya masih perlu menjalani ujian seterusnya bagi mengesahkan sekali lagi yang saya benar-benar mengandung," katanya.

Fasha yang sebelum ini popular menerusi puluhan filem dan drama termasuk Cicak-Man dan Anak Halal sah menjadi isteri kepada Rizal yang juga seorang usahawan berjaya dalam majlis perkahwinan yang cukup indah dan sederhana di hadapan ahli keluarga dan sahabat rapat.


Pasangan ini baru saja pulang dari berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu pada minggu lalu selama lima hari.

Sementara itu Rizal yang lebih dikenali sebagai Jejai berkata, dia bersyukur dengan berita gembira ini dan mengharapkan semuanya berjalan dengan lancar.


"Siapa gembira apabila dia (Fasha) menghubungi saya dan menyampaikan berita ini. Saya terlalu seronok dan bersyukur kerana diberikan rezeki begitu awal. "Sudah pasti saya akan lebih menjaga Fasha dan inginkan dia berehat dengan cukup bagi menjaga kandungan anak kami bersama. Inilah hadiah paling bermakna buat saya dan isteri," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan