Berita Harian: Nasional |
RAPID pusat minyak, gas terbesar Asia: PM Posted: 13 May 2012 03:58 PM PDT Nasional KOTA TINGGI: Pelancaran Projek Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang dekat sini, semalam dengan nilai pelaburan RM120 bilion, akan menjadikan negara sebagai pusat minyak dan gas serta petrokimia terbesar di Asia dan antara yang terbesar di dunia.Projek berskala besar dalam tempoh lima hingga enam tahun yang menjadi sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) itu dikenal pasti sebagai projek berimpak tinggi yang mampu membawa perubahan besar kepada taraf sosioekonomi rakyat, terutama di Johor. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata RAPID mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 300,000 tong sehari penapisan minyak mentah untuk menghasilkan produk petroleum seperti petrol, bahan bakar jet dan diesel. Katanya, projek itu juga mampu mengeluarkan sembilan juta tan produk petroleum dan 4.5 juta tan petrokimia setahun yang boleh mengeluarkan pelbagai bahan kimia berkaitan, selain mempunyai kilang bagi menerima gas asli cecair (LNG)."PETRONAS juga menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan syarikat kimia antarabangsa Jerman, iaitu BASF SE yang merangkumi pelan untuk membangun, membina dan menyelia kawal kemudahan pengeluaran bertaraf dunia untuk bahan kimia khusus serta kilang bahan kimia asas yang bakal dibangunkan dalam kompleks RAPID," katanya ketika berucap pada majlis itu. Pelancaran disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. Turut berangkat lima putera baginda termasuk Tunku Mahkota, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS merangkap Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hilirannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin. Najib juga mengumumkan sebuah syarikat petrokimia dari Taiwan bersetuju melabur RM30 bilion hingga RM36 bilion untuk membangunkan sebuah lagi kompleks bersepadu minyak dan petrokimia berhampiran RAPID.
"Jika kedua-dua projek itu dilaksanakan, wilayah Johor Selatan berupaya memproses minyak sebanyak 450,000 tong sehari dan perekah nafta sebanyak 3.8 juta tan setahun," katanya dan menambah PETRONAS berupaya mencapai matlamat itu dalam tempoh lima tahun dan dijangka mula beroperasi akhir 2016. Beliau berkata, pembangunan projek itu mengambil kira kepentingan alam sekitar mengikut piawaian antarabangsa dan penduduk tidak perlu risau kesan negatif terhadap alam sekitar kerana PETRONAS sentiasa mengutamakan aspek penjagaan alam sekitar dalam setiap projeknya. Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen |
Posted: 13 May 2012 03:57 PM PDT Nasional KUALA LUMPUR: Lebih 250,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 yang diadakan selama tiga hari, berakhir semalam.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata daripada jumlah itu, 70 peratus pengunjung adalah golongan muda sekali gus membuktikan golongan terbabit semakin menerima parti berkenaan. "Sasaran yang kita tentukan khususnya bagi menarik golongan muda sudah tercapai. Ini membuktikan hasrat parti bagi memastikan mereka mendalami perjuangan UMNO berjaya," katanya pada sidang media pada hari terakhir sambutan itu, semalam. Tengku Adnan berkata, karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan berfaedah itu juga menjadikan kefahaman golongan muda mengenai perjuangan UMNO semakin jelas, sekali gus membetulkan tanggapan yang salah terhadap parti itu.Beliau berkata, dengan sambutan memberangsangkan itu, UMNO akan meneruskan pelbagai aktiviti mendekati golongan itu supaya persepsi buruk terhadap parti dapat dihapuskan. "Dakwaan mengata golongan muda tidak menyukai UMNO adalah tidak benar. Ini hanyalah cubaan pembangkang sebagai usaha menjauhkan golongan itu mendekati UMNO," katanya. Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya yakin golongan muda kini semakin berani mendekati dan menerima perjuangan Barisan Nasional (BN) berikutan aktiviti yang dirancang menepati kehendak mereka. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan