KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan kurang minat di kalangan pelabur di tengah-tengah spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan awal tahun depan, kata peniaga.
Semasa ditutup, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.48 mata kepada 1,607.35 selepas dibuka pada 1,608.31.
Pengukur pasaran bergerak dalam jajaran kecil antara 1,606.38 dan 1,610.46 sepanjang hari.
"Mereka (pelabur) berhati-hati dan menangguhkan belian baru selepas ketidaktentuan mengenai pilihan raya umum," kata jurucakap Mercury Securities kepada Bernama.
Dalam ketiadaan pemangkin baharu daripada pasaran dalam negara, beliau berkata prestasi pasaran di peringkat serantau terjejas dengan perkembangan yang kabur berhubung isu fiskal AS.
"Presiden Barack Obama juga tidak memberikan komitmen penuh mengenai isu ini," katanya.
Bagaimanapun, sokongan belian sebahagiannya disokong oleh data pembuatan China yang lebih baik daripada dijangka yang memberi petunjuk pertumbuhan positif ekonomi terbesar Asia itu.
Saham rugi mengatasi untung pada 394 berbanding 278 manakala 316 kaunetr tidak berubah, 650 tidak didagangkan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 728.743 juta saham, bernilai RM1.275 bilion, daripada pada Jumaat pada 1.18 bilion saham bernilai RM2.21 bilion.
Indeks Kewangan menambah 7.12 mata kepada 14,962.18, Indeks Perusahaan menokok 6.07 mata kepada 2,662.71 dan Indeks Perladangan meningkat 17.85 mata kepada 7,925.29.
Indeks FBM Ace susut 2.81 mata kepada 4,171.34, Indeks FBM Emas turun 15.101 mata kepada 10,964.38, FBMT100 berkurangan 13.98 mata kepada 10,815.25 manakala Indeks FBM Mid 70 melonjak 28.89 mata kepada 12,083.0.
Antara saham aktif, Tiger Synergy turun 6.5 sen kepada 35 sen, Patimas Computers susut setengah sen kepada dua sen manakala Nextnation Communication naik setengah sen kepada 12 sen.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank turun tiga sen kepada RM9.02, CIMB menambah satu sen kepada RM7.48, Sime Darby susut satu sen kepada RM8.96 manakala Axiata berkurangan dua sen kepada RM5.90.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 592.779 juta unit bernilai RM1.259 bilion daripada 911.78 juta saham bernilai RM2.18 bilion.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 91.108 juta saham bernilai RM12.908 juta berbanding 203.3 juta saham bernilai RM24.85 juta.
Waran susut kepada 44.340 unit bernilai RM2.584 juta daripada 72.5 juta unit bernilai RM3.74 juta sebelumnya.
Barangan pengguna menguasai 48.93 juta saham di Pasaran Utama, barangan perusahaan 173.48 juta, pembinaan 16.27 juta, dagangan dan perkhidmatan 220.73 juta, teknologi 30.82 juta, infrastruktur 10.20 juta, kewangan 32.93 juta, hotel 422,200, hartanah 37.53 juta, perladangan 13.81 juta, perlombongan 79,100, REIT 7.55 juta dan tertutup/dana 31,000. - BERNAMA
12