Berita Harian: Mutakhir |
Iskandar Malaysia bersedia jadi rantau yang rancak, menarik: Najib Posted: 04 Dec 2012 02:24 AM PST JOHOR BAHRU: Pertumbuhan Iskandar Malaysia sejak pengenalannya enam tahun lalu melepasi jangkaan dan koridor raya itu telah bersedia untuk menjadi rantau yang paling rancak dan menarik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini. Bercakap kepada media di luar acara Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang kelapan di sini, beliau berkata para tetamu yang menghadiri forum itu amat kagum dengan pembangunan rancak Malaysia.
"Dengan tarikan seperti Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Johor Premium Outlet dan Legoland Malaysia, Iskandar Malaysia telah bersedia untuk mencapai matlamatnya," kata Najib yang juga Menteri Kewangan. Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa perkembangan menarik di Iskandar Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini. "Contohnya, lebih ramai rakyat Singapura kini memilih untuk tinggal di Johor dan berulang setiap hari dari sini ke republik itu. "Pelajar juga berulang alik setiap hari dari republik itu untuk menghadiri sekolah di Marlborough College di Nusajaya.
"Ini adalah situasi menang-menang (manfaat bersama), Johor akan mendapat manfaat daripada kebanjiran orang, bakat serta aliran masuk modal. Ia baik untuk masa hadapan Johor," kata beliau. Ditanya sekiranya pertukaran dokumen hari ini untuk enam kerjasama di Iskandar Malaysia dengan jumlah nilai anggaran RM28 bilion bermakna jumlah pelaburan di koridor ekonomi itu telah melebihi RM100 bilion. Najib berkata, satu majlis khas akan diadakan pada 11 Dis untuk beliau mengumumkan angka terbaru untuk jumlah pelaburan kumulatif Iskandar Malaysia. "Angka itu nampak amat menggalakkan tetapi saya simpan dulu pengumuman saya itu. Satu majlis khas akan diadakan pada 11 Disember, eksklusif mengenai Iskandar Malaysia," katanya. Antara perjanjian yang dimeterai hari ini ialah antara Sunway City Sdn Bhd dan Iskandar Asset Sdn Bhd untuk memajukan Sungai Pendas, berdekatan Medini, dengan nilai pembangunan kasar RM12 bilion. Lain-lain memorandum persefahaman ialah antara UEM Land Bhd dan Chinamall Holdings Private Ltd untuk memajukan China Mall, sebuah pusat perdagangan dan pameran di Nusajaya. UEM Land, Iskandar Investment Bhd dan Telekom Malaysia Bhd turut memeterai perjanjian untuk menyediakan infrastruktur komunikasi dan ICT bagi merealisasikan aspirasi Nusajaya yang Pintar dan Terhubung. UEM Land, pemaju induk Nusajaya, turut memeterai perjanjian usaha sama dengan Fastrack Autosport Pte Ltd, yang dikuasai oleh bilionair Singapura, Peter Lim, untuk memajukan Motorsport City bernilai RM3.5 bilion di Gerbang Nusajaya. - BERNAMA
|
Rangka tindakan kebolehpasaran siswazah dilancar Posted: 04 Dec 2012 02:07 AM PST SEPANG: Kerajaan hari ini melancarkan 'Graduate Employability Blueprint 2012-2017' (Rangka Tindakan Kebolehpasaran Siswazah) bagi menangani isu tenaga kerja mahir dan profesional negara. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelan itu menggariskan empat intipati membabitkan sistem pengajian yang berupaya melahirkan modal insan berkualiti; berdaya saing secara global dan memenuhi keperluan negara; dan mampu menyediakan peluang kerjaya impian kepada siswazah.
Mohamed Khaled berkata, pelan itu juga bertujuan mewujudkan sistem pengajian yang dapat bertindak secara berkesan terhadap perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di negara ini. Katanya, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan rangka tindakan itu. Selepas enam tahun pelaksanaan, rangka tindakan itu akan dinilai, katanya. Bagi menyokong kelancaran pelaksanaan rangka tindakan itu, beberapa program kebolehpasaran graduan dan kebolehdapatan kerja dilaksana, antaranya Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE), iaitu program kerjasama antara universiti dan industri, katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamed Khaled berkata diharapkan dengan pelaksanaan pelan itu, segala masalah yang dibangkitkan industri selama ini berhubung tenaga kerja yang dikeluarkan universiti tempatan dapat ditangani. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan