Ahad, 21 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Voluntourism@Central Market bangkit semangat kesukarelawan

Posted: 20 Jul 2013 11:14 AM PDT

Kumpulan Suci dari Kuala Lumpur mempersembahkan irama qasidah pada program Voluntourism@Central Market, KL dan Qasidah - Irama dan Lagu di Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 20 Julai - Orlaith Inc. Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Wilayah Persekutuan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program Voluntourism@Central Market dan Qasidah-Irama serta Lagu di Pasar Seni hari ini bagi menimbulkan semangat kesukarelaan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Suziyana Natasya Abdullah, program itu diadakan bagi mengumpul seramai mungkin sukarelawan untuk bersama-sama membantu membersihkan sesuatu kawasan, sekali gus menjayakan inisiatif 1Malaysia Green 1Malaysia Clean di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Katanya, selain itu program tersebut juga mengetengahkan seni irama qasidah yang dilihat mampu membantu menangani masalah sosial dalam kalangan remaja di negara ini.

"Qasidah ini dialunkan dengan lirik yang menyatakan kecintaan terhadap Allah serta Rasul dan seterusnya diharapkan dapat menimbulkan kesedaran kepada mereka yang menghayatinya.

"Selain itu, program ini juga merupakan platform untuk memupuk semangat kesukarelaan, khususnya dalam membantu meningkatkan kebersihan, seterusnya menaikkan imej sektor pelancongan serta kebudayaan negara ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program Voluntourism@Central Market yang dianjurkan itu berjaya menarik lebih 300 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan pekerjaan.

Malah, restoran terkemuka D'Tandoor juga sudi menjadi penaja makanan bagi berbuka puasa serta menyediakan kira-kira 1,000 pek makanan bagi diedarkan kepada orang ramai yang berada di sekitar Pasar Seni.

Mengulas lanjut, Suziyana memberitahu, pemilihan Pasar Seni sebagai lokasi program kerana di situ merupakan tempat tumpuan pelancong dan seterusnya dapat mendedahkan keindahan irama qasidah kepada mereka.

"Kami juga ingin melihat program ini dapat menyuntik minat masyarakat serta pelancong mempelajari irama qasidah agar budaya seni negara itu tidak hilang dek kemajuan zaman.

"Malah, dengan memuji Allah SWT melalui qasidah itu juga sebenarnya satu ibadah," ujarnya.

52 masjid, surau terima sumbangan PM

Posted: 20 Jul 2013 11:14 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 20 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyalurkan sumbangan sempena Ramadan kepada tujuh masjid dan 45 surau bagi kawasan Parlimen Shah Alam.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin (gambar) kepada pengerusi dan wakil ahli jawatankuasa masjid dan surau terlibat.

Menurut Ahmad Nawawi, pihaknya berharap menerusi sumbangan tersebut, masjid dan surau dapat mengadakan program keagamaan yang akan memeriahkan lagi sambutan Ramadan tahun ini.

"Hari ini kita menyampaikan sumbangan kepada wakil surau dan masjid, yang mana masing-masing menerima RM300 bagi setiap surau dan RM500 bagi setiap masjid.

"Sebanyak 21 surau dan empat masjid dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan 24 surau dan tiga surau dari DUN Kota Anggerik menerima sumbangan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di bangunan UMNO bahagian di sini hari ini.

Ahmad Nawawi berkata, sumbangan tersebut membuktikan sikap prihatin Perdana Menteri kepada penduduk Selangor amnya dan umat Islam di bandaraya ini khususnya.

"Walaupun Selangor ditadbir oleh kerajaan pembangkang, kebajikan rakyat negeri ini tidak pernah sama sekali diabaikan oleh kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional (BN) terutama sempena sambutan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," katanya.

Selain sumbangan wang tunai, setiap wakil surau dan masjid menerima kurma, kain pelikat, kain ihram dan air zam zam.

PAUiTM bawa 46 anak yatim, miskin beli-belah

Posted: 20 Jul 2013 11:14 AM PDT

KLANG 20 Julai - Seramai 46 orang anak yatim dan miskin dari Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang, di sini bertuah apabila dibawa membeli-belah kelengkapan serta pakaian sempena hari raya oleh Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) hari ini.

Kesemua anak yatim dan miskin tersebut dibawa ke pusat beli-belah Jusco di Bukit Raja, di sini dan masing-masing diiringi lebih 40 sukarelawan yang terdiri daripada bekas pelajar universiti itu.

Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan berkata, aktiviti kebajikan tersebut merupakan antara aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan itu di bawah program Pelajaran Rumah Anak Yatim (P.R.A.Y) yang dilaksanakan Biro Pembangunan Alumni PAUiTM.

"Menerusi aktiviti kebajikan seperti ini, diharapkan golongan anak-anak yatim dan miskin ini dapat bersama-sama menikmati kemeriahan suasana hari raya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden PAUiTM, Datin Seri Azlina Ahmad.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Zaini turut menyatakan ia selaras dengan matlamat PAUiTM untuk mengubah nasib anak yatim dan miskin yang bukan hanya dari segi menjaga keperluan hidup mereka semata-mata tetapi turut melibatkan soal pelajaran mereka pada masa depan.

"Justeru, untuk mencapai matlamat berkenaan, PAUiTM adalah satu platform yang dapat membantu golongan tidak bernasib baik ini meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik. Pada masa yang sama, usaha ini dapat mendekatkan diri anak-anak yatim dan miskin ini kepada UiTM.

"Mereka akan mengenali UiTM dan diharapkan akan meneruskan kecemerlangan di universiti ini kelak," ujarnya yang turut menyatakan PAUiTM memperuntukkan RM350 bagi setiap anak yatim untuk program membeli-belah itu.

Program meraikan anak-anak yatim tersebut yang berumur antara enam dan 17 tahun itu turut dimeriahkan lagi dengan majlis berbuka puasa yang diadakan di Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang selain mengadakan solat sunat tarawih.

Dalam majlis itu juga, PAUiTM turut menyumbangkan peralatan komputer termasuk penyambungan kemudahan internet kepada rumah anak-anak yatim dan miskin berkenaan.

Selain itu, persatuan tersebut turut menyediakan langganan pembelajaran dan penilaian kendiri secara atas talian (online) termasuk khidmat bimbingan khusus kepada anak-anak yatim dan miskin di rumah kebajikan itu yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jumlah keseluruhan sumbangan bantuan pembelajaran yang disalurkan oleh PAUiTM itu dianggarkan berjumlah RM15,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan