Isnin, 8 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Bina 20,514 rumah mampu milik

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

KUANTAN 8 Julai - Kerajaan negeri kini sedang membangunkan sebanyak 20,514 unit rumah mampu milik melalui kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan pemaju swasta lain.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, buat permulaan, projek pembinaan itu sedang giat dijalankan di daerah Kuantan, Temerloh dan Rompin.

Katanya, semua projek ini membabitkan pembinaan di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT); Skim Rumah Mampu Milik; Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR).

"Projek ini akan diperluaskan ke daerah lain secara berperingkat-peringkat kerana menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai rakyat negeri ini, terutamanya golongan belia memiliki rumah sendiri," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff (BN-Bebar) yang ingin tahu jumlah rumah yang dibina kerajaan negeri untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Wan Rosdy berkata, selain PPRT dan PAKR, kerajaan negeri dibantu kerajaan Persekutuan turut menyediakan projek perumahan melalui pembinaan Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu.

"Antara kawasan terlibat seperti di Kampung Baru Salong, Chini; Kampung Padang Rumbia, Bebar; Bukit Kenau, Pulau Manis dan Kampung Pulau Serai dan Kuala Pahang, Peramu Jaya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, selain membina projek perumahan baru, kerajaan negeri juga turut menyediakan bantuan baik pulih kediaman asal penduduk yang rosak akibat bencana.

Katanya, bantuan itu diberikan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Kerajaan negeri setuju turun kadar sewa medan selera UTC

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

KUANTAN 8 Julai - Kerajaan negeri bersetuju menurunkan kadar sewa peniaga di medan selera Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini selepas meneliti memorandum yang dihantar oleh mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kadar sewa baharu itu akan diumumkan kemudian kerana kerajaan negeri perlu berbincang dengan pihak pengurusan UTC dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

"Masalah ini sudah diambil maklum oleh kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin juga sudah bertemu dengan peniaga di situ.

"Kita ambil maklum rungutan mereka dan telah bersetuju untuk turunkan kadar sewa. Cuma kadarnya akan dimaklumkan kemudian," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) yang bertanya adakah kerajaan akan menurunkan kadar sewa peniaga medan selera UTC ekoran terdapat rungutan daripada mereka.

Menjawab soalan asal Chong Siang yang ingin tahu kos sebenar pembinaan UTC, Adnan berkata, kos keseluruhan pembinaan UTC ialah RM37.43 juta dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Pusat.

"Objektif utama pembinaan UTC adalah untuk memudahkan rakyat, bagi menyenangkan mereka melakukan pelbagai urusan dengan agensi kerajaan di dalam satu bangunan,'' ujarnya.

Beliau berkata, kewujudan UTC ini bagaimanapun tidak membatalkan perancangan asal kerajaan negeri untuk membina pusat pentadbiran baru di Indera Mahkota atau Kota Sri Ahmad Shah (Kota SAS).

Pos Pantos perintis tanam kelapa mataq, durian

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Ahmad Ishak (kanan) menyampaikan benih kelapa mataq kepada salah seorang penduduk Orang Asli dalam majlis penyerahan anak benih kelapa mataq dan durian jenis musang king di Pos Pantos, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 8 Julai - Masyarakat Orang Asli di Pos Pantos di sini bakal menerima pendapatan lebih baik apabila kawasan itu melaksanakan Projek Pembangunan Kawasan (PPK) yang menjadi pusat pengeluaran kelapa mataq dan durian jenis musang king.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, kedua-dua hasil pertanian itu mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

"Selain itu, FAMA juga turut menggalakkan penduduk di sini menanam pokok cempedak, durian serta beberapa tanaman kontan seperti serai, halia, lengkuas dan cekur," katanya selepas majlis penyerahan anak benih kelapa mataq dan durian jenis musang king kepada masyarakat Orang Asli terbabit di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Kanan Komunikasi Korporat FAMA, Noor Azian Mustapha dan Pengarah FAMA negeri, Ibrahim Mahmud.

Pada majlis tersebut, sebanyak 400 anak benih kedua-dua tanaman itu diserahkan kepada 200 peserta dan merupakan projek perintis anjuran FAMA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

PPK Pos Pantos mempunyai 173 Orang Asli beragama Islam terdiri daripada tujuh kampung berdekatan iaitu Kampung Serau, Kampung Nyentil, Kampung Sual, Kampung Harum, Kampung Perangkap, Kampung Ranai dan Kampung Pantos.

Ahmad berkata, FAMA dari semasa ke semasa akan melaksanakan program turun padang bagi membantu masyarakat luar bandar memasarkan hasil pertanian mereka dan memberi pendidikan tentang penjagaan tanaman.

"Kemudahan jalan raya yang sempurna seperti di Pos Pantos dapat membantu penduduknya memasarkan hasil pertanian dengan bantuan FAMA sebagai ejen pemasarannya," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan