Khamis, 11 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Letak tanda harga makanan

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Shahiruddin Ab. Moin (dua kanan) menunjukkan tanda harga bagi seekor ikan terubuk ketika melakukan tinjauan di bazar Ramadan Mahkota Square di Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 11 Julai - Semua bazar Ramadan di negeri ini diminta meletakkan tanda harga pada setiap makanan dan minuman bagi mengelakkan kekeliruan pengguna ketika membeli juadah berbuka puasa.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, peniaga sepatutnya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan demi mencari keuntungan segera.

Menurut beliau, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri akan membuat pemantauan di semua bazar Ramadan di negeri ini bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Pemantauan itu dibuat untuk mengesan peniaga yang tidak meletakkan tanda harga serta memastikan aspek kebersihan perlu diutamakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di bazar Ramadan Mahkota Square di sini semalam.

Beliau bersama pegawai dan kakitangan PPDNKK negeri meninjau ke bazar tersebut selama satu jam sambil mengedarkan risalah berkaitan dengan kebersihan.

Shahiruddin berkata, beliau berpuas hati dengan peniaga di bazar tersebut yang meletakkan tanda harga bagi memudahkan pengguna membeli makanan di situ.

"Boleh dikatakan semua peniaga mengikut peraturan. Bukan sahaja di bazar Ramadan tetapi juga kedai-kedai runcit dan pasar basah dengan meletakkan tanda harga bagi setiap barangan mereka.

"Saya berharap mereka meneruskan langkah ini demi kebaikan pengguna dan juga golongan itu sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika mendapati terdapat peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati sepanjang bulan Ramadan ini.

"Kalau melihat harga yang diletakkan itu tinggi berbanding hari lain, mereka perlu segera lapor kepada PPDNKK negeri supaya tindakan segera boleh diambil ke atas peniaga berkenaan," tegasnya.

Laporan pembangunan lima tahun Jengka

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

MARAN 11 Julai - Kerajaan sedang menyiapkan satu laporan pembangunan bersepadu khusus bagi kawasan Jengka untuk tempoh lima tahun akan datang membabitkan pembinaan rumah rakyat, pembukaan tanah pertanian, pembinaan kawasan perniagaan dan bekalan air.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, pembinaan projek-projek tersebut perlu dilakukan dengan terancang berikutan pertumbuhan penduduk terlalu pantas.

Katanya, perancangan teliti juga perlu dilakukan supaya pembangunan yang akan dilaksanakan nanti bertepatan dengan keperluan penduduk selain daripada mengelak pembaziran.

''Kerajaan telah membelanjakan hampir RM300 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan Jengka dalam tempoh lima tahun ini.

''Sebanyak RM71 juta daripada peruntukan tersebut dibelanjakan bagi projek menaik taraf bekalan air di kawasan tanah rancangan Felda untuk memastikan lebih 40,000 keluarga peneroka mendapat bekalan air bersih yang mencukupi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak RM60 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf dan melebarkan jalan sejauh 60 kilometer dari Bandar Tun Abdul Razak, Jengka ke Kampung Awah manakala RM14 juta bagi membina perhentian bas baru di Bandar Tun Abdul Razak dan RM20 juta kos membina stadium mini.

Peruntukan selebihnya pula kata beliau, bagi melaksanakan projek prasarana membabitkan pembinaan dewan, gelanggang sukan, masjid, surau dan lain-lain.

Ismail memberitahu, kira-kira 90 peratus projek pembangunan sudahpun dilaksanakan kerajaan di pusat bandar Jengka.

Sukan untuk Felda

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA KRAU 11 Julai - Pengurusan Felda komited menyediakan kemudahan sukan terbaik untuk warga peneroka dan generasi kedua di setiap tanah rancangan di negeri ini.

Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Sapie Embong (gambar) berkata, penyediaan kemudahan itu dapat membantu memupuk minat bersukan yang tinggi melalui pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi untuk penduduk Felda.

Beliau berkata, sebagai contoh Felda menyediakan gelanggang futsal terbuka di setiap rancangan dan pelbagai kemudahan sukan terbaik untuk kegunaan penduduk di situ yang memberi nilai tambah aktiviti sihat di perkampungan Felda.

Katanya, kewujudan gelanggang futsal itu memberi peluang kepada generasi baharu aktif dalam aktiviti sihat yang membantu membentuk sahsiah remaja positif, berpersonaliti, produktif dan sentiasa bersyukur.

''Sumbangan institusi pendidikan yang menganjurkan aktiviti sukan seperti sukan tahunan, pertandingan sukan dan olahraga sangat dihargai,'' katanya ketika berucap merasmikan kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 dekat sini semalam.

Sapie mengakui, Felda sangat komited melahirkan seberapa ramai generasi Felda yang hebat dalam aktiviti sukan berprestasi tinggi dan sukan lasak.

Tambah beliau, kejayaan membentuk pasukan bola sepak Felda United yang menyertai Liga Malaysia merupakan kebanggaan selain terbaharu, kejayaan anak Felda menawan puncak Gunung Everest.

Beliau menambah, komitmen Felda terhadap usaha memajukan sukan semakin menyerlah selepas membina Kompleks Sukan Komuniti (KSK) Semai Bakti.

Katanya, Kompleks Sukan Komuniti dikenali sebagai Gelanggang Sukan Komuniti itu dibina bertujuan memberi kemudahan dan galakan kepada warga peneroka bergiat dalam bidang sukan.

''Selain itu, GSK mampu menjadi tempat untuk masyarakat rancangan dan sekitar melaksanakan aktiviti sukan dan riadah secara teratur dan sempurna,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan