Berita Harian: Nasional |
Posted: 02 Dec 2012 03:15 PM PST Amanat Presiden parti perlu disampaikan kepada akar umbi Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir kelmarin memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa parti itu tidak hanya memperjuangkan nasib bangsa Melayu, malah untuk seluruh warga Malaysia. UMNO juga dilihat membawa satu perubahan besar pada perhimpunan kali ini apabila menonjolkan parti itu sebagai pejuang Islam sebenarnya, sekali gus menangkis pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang. "Presiden parti menunjukkan UMNO juga memperjuangkan Islam, cuma berbeza dengan PAS pendekatan UMNO lebih bersederhana, misalnya parti itu tidak mendoakan keburukan serta kejatuhan lawannya. "Bagi saya perhimpunan kali ini secara keseluruhannya memberi penekanan kepada persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan tiba pada bila-bila masa. "UMNO sudah mencipta momentum sangat baik untuk berdepan pilihan raya, cuma bagaimana untuk memastikan semangat itu dapat dipertahankan sehingga tiba pilihan raya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Najib menutup tirai perhimpunan kelmarin dengan suntikan semangat kepada ahli UMNO supaya bersatu bagi memenangi PRU-13 dan meminta rakyat menolak pakatan PAS-PKR-DAP. Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugam Pandian, pula berkata, beliau yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum. Beliau berkata, perkara utama yang harus diberi tumpuan oleh UMNO dan BN kini adalah untuk memastikan masalah dalaman parti dapat diatasi sebaik mungkin serta berupaya menampilkan calon diterima rakyat. "Seperti mana disuarakan pucuk pimpinan parti itu kini adalah sedikit kebimbangan terhadap segelintir ahli parti yang mungkin mensabotaj parti, terutama dalam pemilihan soal calon bertanding. "UMNO sudah menjadi satu institusi dan sewajarnya mereka dilihat bukan saja memperjuangkan nasib orang Melayu malah seluruh rakyat Malaysia. Malah laungan hidup UMNO, hidup barisan, hidup Malaysia," katanya. |
Najib mahu rakyat terus beri mandat Posted: 02 Dec 2012 03:11 PM PST Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat memberikan mandat pemerintahan lima tahun lagi kepada Barisan Nasional (BN) demi masa depan negara. Perdana Menteri berkata, ini adalah kerana kerajaan BN mempunyai pelbagai pengalaman mentadbir negara sejak 55 tahun lalu berbanding pakatan pembangkang yang dilihat tidak mempunyai asas persefahaman menguruskan hala tuju negara dengan baik. Makna satu undi "Masa depan tidak boleh diperjudikan. Satu undi untuk pembangkang adalah satu undi untuk masa depan yang tidak menentu. "Tetapi, satu undi buat BN adalah untuk masa depan yang lebih baik, selamat dan makmur," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Turut hadir Presiden PPP, Datuk M Kayveas, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Najib berkata, semua 13 komponen BN perlu sifar masalah, sama ada dalaman atau sesama mereka untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Perdana Menteri berkata, sekiranya tiada masalah besar dalam parti atau tiada pergolakan sesama parti komponen, BN tiada halangan untuk menang besar dalam pilihan raya. "Jika dulu kita letak songkok pun atau rakyat nampak saja simbol dacing (BN) mereka pasti memangkahnya dan kita boleh menang, namun kini semuanya sudah berubah kerana rakyat mahukan perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan," katanya. Seramai 4,047 perwakilan dan pemerhati menghadiri perhimpunan sehari itu. Mimpi ngeri PRU 2008 Najib berkata, BN tidak lagi mahu mengalami mimpi ngeri Pilihan Raya Umum 2008 dan sudah bermuhasabah serta beriltizam bangkit daripada peristiwa yang cukup kelam itu. Katanya, prestasi lemah dalam pilihan raya itu bukan kerana pembangkang kuat, sebaliknya rakyat memberi mesej kepada BN supaya berubah sebagai parti yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian negara. Sehubungan itu, katanya, sebagai pemimpin dan Pengerusi BN beliau turun padang untuk mendengar dan merasai sendiri denyut nadi rakyat yang berubah mengikut perkembangan semasa. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan