Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Tepuk dada, tanya hati

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang pengemis kurang upaya tekun membaiki kereta permainan turut menarik pengunjung bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tepuk dada, tanya hati. Terpulang kepada diri masing-masing sama ada bersedia untuk menghulur wang atau sebaliknya."

Itulah yang diluahkan seorang pengunjung bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Kemudian kelihatan dia menghulurkan RM10 kepada seorang pengemis warga emas di situ.

Jika diikutkan hati, dia tidak sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu hanya untuk lelaki yang tidak diketahui statusnya.

Lelaki berusia awal 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Zaid itu mengakui apa yang dilakukan demi keberkatan Ramadan dan atas dasar simpati.

Dia yang enggan dirakamkan gambarnya itu mendakwa kegiatan pengemis itu seolah-olah tidak dipedulikan pihak berkuasa dan mereka semakin bebas meminta sedekah di mana saja.

"Pihak berkuasa sentiasa memantau bazar Ramadan tetapi kehadiran pengemis seolah-olah kurang tidak diendahkan.

"Walaupun ditegur atau dihalau mereka tetap kembali berlegar di kawasan sama," katanya.

Pastinya situasi itu bukan sahaja berlaku kepada Zaid tetapi juga pengunjung yang membeli belah di kawasan itu.

Wartawan Utusan Malaysia yang turut ke kawasan itu turut berhadapan situasi sama.

Terbit perasaan simpati penulis sebaik sahaja melihat seorang pengemis wanita menadah tangan dengan hanya berbekal kotak sebagai alas tempat duduk.

Melihat orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan penulis cuba mendekatinya.

Dia memberitahu, sejak awal Ramadan lalu pendapatan diperoleh antara RM50 hingga RM70 sehari.

Menurutnya, dia terpaksa mengemis kerana telah ditinggalkan suami dan menanggung anak yang ramai.

Apabila ditanya mengapa tidak mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dia memberitahu sukar untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan dia bukan warga tempatan.

Sepanjang tinjauan lebih dua jam di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India didapati lebih 20 pengemis dilihat di setiap sudut kawasan tumpuan itu.

Difahamkan, itulah realiti setiap tahun menjelang atau sepanjang bulan Ramadan apabila sekelompok pengemis jalanan membanjiri di kawasan-kawasan tumpuan di ibu negara.

Golongan ini menyasarkan bazar Ramadan sebagai lubuk rezeki dengan pendapatan lebih lumayan berbanding hari biasa.

Bagi menjaga imej ibu negara daripada terus dicemari dengan kegiatan golongan itu, pihak berkuasa terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Penduduk tanggung derita

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Chiew Lian Keng (kanan) dan beberapa penduduk Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur menunjukkan lokasi pembuangan sampah dan sisa binaan di bahu jalan berhampiran taman berkenaan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tindakan kontraktor pembinaan yang sesuka hati membuang sisa dan sampah binaan di bahu jalan berhampiran pusingan U di Taman Len Sen, di sini mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Pengerusi Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Chiew Lian Keng berkata, sisa binaan yang dibuang turut menyebabkan laluan ke Rumah Pam Taman Len Sen tertutup akibat daripada longgokan sisa binaan yang terlalu banyak.

"Jika berlaku masalah tekanan air rendah, sudah pasti pihak Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (PUAS) mengalami kesukaran untuk masuk ke rumah pam tersebut.

"Masalah ini berlaku disebabkan sikap pemandu lori yang mengambil jalan mudah dengan membuang sisa binaan di kawasan yang dekat dengan projek pembinaan," katanya, yang melawat kawasan itu baru-baru ini.

Ketika ini, laluan ke rumah pam itu tertutup oleh sisa jalan bitumen dan tanah merah.

Mengulas lanjut, Lian Keng berkata, biarpun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengangkut sisa binaan itu ke tempat lain namun tidak lama kemudian perkara tersebut berulang.

"Pihak DBKL telah membersihkan kawasan ini dua bulan lalu, namun sejurus ia dibersihkan pihak tidak bertanggungjawab itu kembali membuang sampah di sini.

"Saya minta agar DBKL memasang kamera litar tertutup (CCTV) supaya pihak tersebut dapat ditangkap dan dikenakan denda yang berat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Len Sen, Saw King Ching berkata, melalui pemerhatian yang dibuat, hampir 20 buah lori yang membuang sampah binaan di kawasan itu sejak dua bulan lalu.

"Aktiviti haram tersebut bermula selepas pukul 12 malam ketika laluan tersebut tidak banyak dilalui kenderaan.

"Saya meminta orang ramai yang melihat perkara itu berlaku membuat laporan kepada kami agar pihak berkenaan dapat dikenal pasti," ujarnya.

Kemudahan kaunter zakat pandu lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Sebahagian warga Putrajaya beratur untuk membayar zakat melalui kaunter pandu lalu yang diperkenalkan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 17 Julai - Penduduk dan penjawat awam di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini berpeluang membayar zakat fitrah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan lebih mudah dan cepat melalui konsep pandu lalu yang diperkenalkan oleh masjid tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Masjid Tuanku Mizan Zainal, Hamdan Muhamad berkata, inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun lepas itu adalah kaedah baharu untuk memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah.

Beliau berkata, kaunter zakat pandu lalu itu juga diadakan bersempena dengan Festival Ramadan Putrajaya anjuran Perbadanan putrajaya (PPj), yang mana Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi lokasi utama festival berkenaan.

"Pihak pengurusan masjid menyediakan satu kaunter bayaran zakat pandu lalu di laluan masuk ke masjid, bagaimanapun kami kebiasaannya akan menambah satu lagi kaunter pada hari-hari terakhir Ramadan ekoran permintaan mengalakkan.

"Perkhidmatan yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 6 petang kini mendapat sambutan menggalakkan dan pada tahun lalu sahaja seramai 42, 558 pembayar zakat fitrah menggunakan perkhidmatan ini dengan kutipan sebanyak RM297,906," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Hamdan, selain kaunter zakat pandu lalu, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga pada tahun ini turut memperkenalkan kaunter bubur lambuk pandu lalu bagi menyenangkan orang ramai mendapatkan juadah yang sinonim dengan bulan Ramadan itu.

Katanya, pengurusan masjid menyediakan 800 bungkusan bubur lambuk untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai setiap hari bermula pukul 4 petang.

"Setakat ini sambutan amat menggalakkan, pada hari bekerja bubur lambuk habis diedarkan dalam tempoh 20 minit sahaja, kaedah ini juga satu pendekatan untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid dan kami juga mahu menjenamakan bubur lambuk ini seperti mana bubur lambuk Kampung Baru," katanya.

Selain itu katanya, Festival Ramadan Putrajaya yang dianjurkan PPj bukan sahaja menyediakan pelbagai program menarik tetapi turut menawarkan juadah berbuka puasa untuk 1,500 jemaah setiap hari di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Program lain yang diadakan ialah solat tarawih bersama Imam Samy Ahmed Abd. Rahman El-Feky dari Mesir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta tadarus al-Quran dari awal Ramadan hingga 26 Julai ini.

"Turut diadakan ialah jualan Kiblat Walk sepanjang bulan Ramadan, jualan makanan untuk berbuka puasa dan perayaan Aidilfitri serta pameran," katanya.

Festival yang julung-julung kali diadakan di Putrajaya itu menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan dan juga hiburan bercirikan Islam seperti persembahan artis dan muzik tradisional bagi memeriahkan suasana Ramadan di Putrajaya.

Aktiviti sampingan yang turut diadakan ialah pertandingan kuiz untuk pelajar sekolah dan ceramah motivasi pekerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan