Utusan Online - Kota |
- Enam kedai kotor diarah tutup
- Segelintir peniaga masih degil
- Ikhlas lapor SPRM isu seleweng bazar Ramadan
Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI (Kiri) Seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menyatakan sesuatu kepada pembantu dapur sebuah premis perniagaan makanan semasa Ops Dapur di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM KUALA LUMPUR 24 Julai - Memasuki dapur sebuah restoran India yang beroperasi di Jalan Ipoh di sini boleh membuatkan hilang selera makan. Apa tidaknya, keadaannya sungguh kotor dan lantainya yang berlendir serta pecah di sana-sini. Stor makanan pula turut terisi dengan najis tikus manakala di dalam peti sejuk didapati ketulan daging yang masih berdarah, tidak dibersihkan. Pengalaman memualkan itu dirasai wartawan yang mengikuti Ops Dapur oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Hospital Kuala Lumpur di sekitar Jalan Ipoh, hari ini. Menerusi operasi itu juga didapati restoran berkenaan menggunakan lima tenaga kerja asing yang tidak mendapatkan suntikan antitifoid. Dengan keadaannya yang kotor dan ditambah masalah lain, restoran itu diarah tutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan dan pembaikan dilaksanakan sebelum dibenarkan beroperasi semula. Nasib yang sama diterima pemilik sebuah restoran dim sum apabila diarahkan tutup selama 14 hari juga. Lantai restoran itu berlendir, bahagian belakangnya yang dijadikan kawasan mencuci pinggan mangkuk sangat kotor. Di situ juga dijadikan tempat mengukus kuih pau, iaitu betul-betul di atas longkang. Pekerjanya pula tidak mematuhi etika berpakaian pekerja restoran - hanya memakai seluar pendek, tidak memakai apron dan sarung tangan plastik. Yang menjijikkan lagi pihak wartawan ialah apabila terlihat pekerjanya yang sedang memasak telah mengelap tangan dengan sehelai kain, yang sebelumnya dijadikan kain lap kaki. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Balachandran Satiamurti yang mengetuai operasi itu berkata, setakat tengah hari, sebanyak 29 premis menjual makanan diperiksa dan enam daripadanya diarah tutup kerana melakukan pelbagai kesalahan. "Antara kesalahan yang mereka lakukan ialah membiarkan ruang dapur kotor terutama di bahagian lantai dan dapur memasak, tong sampah yang tidak ditutup, peti ais yang kotor dan tidak disenggara sehinggalah terdapat kehadiran tikus dan lipas serta tandas yang kotor," katanya. "Kami kesal kerana masih terdapat pemilik-pemilik restoran yang melakukan kesalahan dan tidak mempunyai kesedaran mengenai soal kebersihan, walaupun selepas operasi dibuat minggu lalu di Jalan Semarak," tambah beliau. Sehubungan itu beliau mengalu-alukan masyarakat memberikan maklumat kepada pihaknya mengenai kedai makan yang kotor agar tindakan segera boleh diambil, yang menurutnya sedia dilaksanakan dalam tempoh 24 jam. "Tanpa mengira standard yang cuba dipamerkan oleh premis, sekali pun restoran makanan segera mahupun restoran yang kelihatan cantik di hadapan tetapi apabila ke belakang terutama ruang dapur, penyediaan makanan dan tandas, keadaannya sangat teruk dan kotor, sila segera membuat aduan. "Mungkin ini sahaja cara yang efektif untuk mengajar operator makanan yang degil dalam menitikberatkan soal kebersihan," katanya. Laporan boleh dikemukakan kepada Jabatan Kesihatan menerusi talian 03-2694 0701 atau SMS kepada DBKL di talian 158 888. |
Segelintir peniaga masih degil Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Rosli Ahmad (dua dari kiri) sempat beramah mesra dengan peniaga ketika mengetuai Ops Harga di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur kelmarin. - UTUSAN/ZAINI HUSIN KUALA LUMPUR 24 Julai - Sebanyak 18 kes direkodkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Lumpur membabitkan premis perniagaan yang tidak mempamerkan tanda harga. Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, jumlah itu dicatat selepas pemeriksaan ke atas 10,747 premis perniagaan termasuk bazar Ramadan sekitar ibu negara yang dilakukan dalam Ops Harga sejak 6 Julai lalu. Menurutnya, kesalahan tidak mempamerkan tanda harga barangan yang dijual itu dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. "Kompaun maksimum yang boleh dikenakan terhadap peniaga yang tidak pamer tanda harga adalah sebanyak RM25,000 manakala denda maksimum pula sehingga RM50,000," katanya kepada pemberita di sini malam tadi. Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Bazar Ramadan 2013 di Bazar Ramadan Desa Pandan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah PPDNKK Kuala Lumpur, Rosli Ahmad. Tambah Abu Samah, kebanyakan peniaga bazar Ramadan memberi alasan sukar untuk menentukan harga bagi makanan yang dijual mengikut timbang atau sukatan. "Antaranya adalah barangan basah termasuk lauk pauk berkuah yang dijual dan pemantauan membabitkan kuih-muih, kami mendapati mereka mematuhi arahan mempamerkan tanda harga itu," ujarnya. Dalam pada itu, Abu Samah memberitahu, pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan di Bazar Ramadan Desa Pandan itu mendapati peniaga memberi kerjasama dengan meletakkan tanda harga. "Kami sebenarnya sudah memaklumkan secara lisan kepada mereka terlebih dahulu sebelum melakukan operasi, namun kami mendapati masih ada segelintir peniaga yang tetap degil dengan arahan itu," ujarnya. Operasi dan pemantauan tersebut turut disertai kakitangan Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja Kecil DBKL dan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL serta 10 ahli Skuad Pengguna Kuala Lumpur. |
Ikhlas lapor SPRM isu seleweng bazar Ramadan Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT KUALA LUMPUR 24 Julai - Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta suruhanjaya itu menyiasat sekiranya wujud penyelewengan berhubung pengundian tapak bazar Ramadan di Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini. Mereka mendakwa laporan dibuat kerana terdapat dua buah syarikat tekstil terkemuka memperoleh hampir 20 tapak yang sekali gus menimbulkan persoalan tentang cara pembahagian tapak berkenaan. Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, meskipun pada Ramadan kali ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil perubahan drastik melakukan undian untuk menentukan tapak bazar kepada peniaga yang memohon, namun syarikat tekstil itu dengan mudah memperolehi tapak. Perkara itu menimbulkan kecurigaan dan rasa tidak puas hati pihak kami dan peniaga kerana pengundian tersebut dipercayai tidak telus. Saya juga mendapat maklumat, mereka ada menjual nama orang penting untuk memperoleh tapak ini. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana peniaga adalah rakyat Malaysia yang berhak mendapat kesamarataan dalam setiap perkara," katanya ketika ditemui di Pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini hari ini. Mengulas lanjut, beliau juga percaya terdapat orang dalam yang menguruskan pemberian tapak kepada dua syarikat berkenaan. Apabila semua pihak terpaksa melalui proses pengundian tetapi dua pihak lain mendapat tapak secara senang, kami rasa ada orang dalam yang bertanggungjawab melakukan ini. Walaupun syarikat ini menggunakan tapak itu untuk kegunaan barangan sendiri dan tidak menyewakan kepada pihak ketiga, kami percaya terdapat unsur rasuah di situ," dakwanya. Tambah beliau, pihaknya mempunyai bukti serta saksi tentang perkara tersebut dan mahu SPRM melakukan siasatan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab. Jaminan yang diberikan SPRM adalah untuk menyiasat perkara ini kerana mereka telah mendapat maklumat awal terhadap isu tersebut. Tetapi saya tetap berharap SPRM tidak meminggirkan isu ini kerana isu ini membabitkan rakyat jelata. Jika pegawai kerajaan yang melakukan perbuatan sebegitu tidak diambil tindakan, pasti ramai rakyat yang kecewa kerana kami telah mengundi dan memilih kerajaan yang tepat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan