Isnin, 15 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Akan diselesai secepat mungkin

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) diberi penerangan oleh seorang wakil peniaga ketika melawat bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur kelmarin. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR 14 Julai - Isu lapan peniaga bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang mendakwa lokasi tapak mereka diubah pada saat-saat akhir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diselesaikan secepat mungkin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pegawai DBKL bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh terdekat.

"Pembahagian tapak diberikan melalui proses cabutan undi, oleh itu kita akan mengkaji apa sebenarnya yang berlaku ketika DBKL mengagihkan tapak-tapak bazar ini.

"Lapan peniaga tersebut mendakwa tapak baharu yang diberikan kepada mereka tidak strategik dan meminta agar tapak baharu yang lebih strategik diberikan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di sini, semalam.

Sebelum ini kira-kira 20 peniaga IKS di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan DBKL yang berhasrat menjadikan Jalan Bonus 6 tapak bazar Ramadan tambahan.

Menurut mereka, tindakan DBKL itu hanya menjejaskan peniagaan mereka kerana tapak bazar itu benar-benar terletak di hadapan kedai mereka.

Dalam sesi lawatan tersebut, beberapa peniaga turut meminta agar keluasan tapak dikekalkan kepada 20 kaki x 10 kaki berbanding yang diberikan sekarang iaitu 10 kaki x 10 kaki.

Dalam perkembangan sama, Tengku Adnan gembira kerana kebanyakan peniaga di dua bazar berkenaan terdiri daripada rakyat tempatan dan bukannya warga asing seperti yang berlaku sebelum ini.

"Namun, jika didapati terdapat peniaga yang menyewakan tapak kepada warga asing, kita tidak akan teragak-agak menarik balik permit mereka.

"Saya akan datang semula untuk melihat sendiri jika ada di antara mereka yang menyewakan tapak kepada warga asing kerana ini baru Ramadan yang keempat," ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan sempat meleraikan insiden pemandu sebuah kereta yang didakwa bertindak kasar terhadap pengawal keselamatan sebuah gedung perniagaan di kawasan itu.

Pemandu tersebut dikatakan berbuat demikian selepas ditegur pengawal berkenaan yang mendakwa kenderaannya menghalang laluan ke kawasan letak kereta.

UMNO akan pertahan kerusi Wangsa Maju - Shafei

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

KUALA LUMPUR 14 Julai - UMNO tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen Wangsa Maju pada bila-bila masa biarpun tidak berjaya memenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Mohd. Shafei Abdullah berkata, tidak timbul isu perebutan kerusi antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) memandangkan ia telah dipersetujui pucuk pimpinan.

"Kerusi ini memang kita akan pertahankan. Saya sudah banyak kali jatuh bangun dalam arena politik dan tidak pernah menyerah kerana apa yang penting adalah sokongan dan perjuangan semua pihak.

"Kekalahan kita tempoh hari hanyalah kerana tsunami pengundi Cina, sabotaj dan peratusan keluar mengundi yang tidak memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat UMNO Wangsa Maju dan Majlis Berbuka Puasa di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shafei, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Presiden MCA untuk mengambil tindakan terhadap beberapa individu di kawasan itu yang didapati mensabotaj BN.

"Kami menghantarnya pada Mei lalu selepas berakhirnya pilihan raya berdasarkan beberapa bukti yang diperoleh dan masih belum mendapat maklum balas sehingga hari ini.

"Bagi saya kalah atau menang perkara biasa, tetapi dalam peperangan tiba-tiba kita ditembak rakan sendiri itu memang tidak patut berlaku," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, mesyuarat cawangan-cawangan dalam UMNO Wangsa Maju akan bermula pada 15 Julai hingga 31 Ogos ini.

Brickfields perlukan kemudahan tandas awam

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

A. Chandrakumanan bertanya mengenai masalah yang dihadapi peniaga ketika meninjau kawasan sekitar Brickfields baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 14 Julai - Ketiadaan tandas awam di sekitar Brickfields di sini menyukarkan orang ramai terutamanya pelancong asing yang berkunjung ke kawasan tumpuan itu.

Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan berkata, kemudahan tersebut amat penting terutamanya ketika orang ramai membuat persediaan menyambut Deepavali.

"Semua orang mengetahui Brickfields merupakan kawasan tumpuan ramai dan amat menyedihkan apabila kemudahan asas itu tidak disediakan untuk memudahkan pengunjung di sini.

"Malah, pemilik restoran juga tidak mampu untuk menyediakan tandas percuma kepada orang ramai setiap hari," katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau kawasan tersebut di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Little India, G. Gunasegaran dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perniagaan Brickfields (BBC), S. Krishna Kumar.

Tambah Chandrakumanan, permohonan untuk mewujudkan tandas awam tersebut telah diutarakan persatuan peniaga terlibat sebelum ini.

"Saya akan membawa perkara ini ke peringkat atasan termasuk Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya kerana tandas merupakan kemudahan yang amat penting.

"Terdapat beberapa lokasi yang telah dikenal pasti untuk diwujudkan kemudahan tersebut dan Brickfields memerlukan sekurang-kurangnya empat tandas awam," katanya.

Terdahulu, Chandrakumanan mengambil kesempatan melawat kawasan tersebut untuk memantau masalah-masalah yang wujud termasuk sampah, vandalisme dan sistem saliran.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama peniaga-peniaga agar menjaga kebersihan premis masing-masing terutamanya di bahagian belakang kedai.

"Orang ramai juga perlu prihatin dengan tidak membuang puntung rokok di dalam pasu bunga sesuka hati dan tidak merosakkan kemudahan awam lain termasuk menampal iklan-iklan haram di sekitar sini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan