Utusan Online - Pahang |
- SIT 2013 perkenal aktiviti selam
- Dunia skuba memang mencabar, menyeronokkan
- Lesen batal jika ulangi kesalahan
SIT 2013 perkenal aktiviti selam Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Oleh AMIR SARIFUDIN Lima peserta bersiap sedia dengan peralatan selam dalam program sit 2013 di pulau tioman. PULAU TIOMAN 7 Julai - Setelah bermula empat tahun lalu, program Start In Tioman (SIT) kini memperlihatkan penyertaan lebih ramai dari seluruh negara. Perkembangan itu memperlihatkan SIT kian dikenali serta diterima ramai terutama mereka yang gemar beriadah, melancong dan melakukan aktiviti skuba. Penganjuran SIT 2013 turut menyelitkan aktiviti gotong-royong serta mengutamakan penjagaan alam sekitar sama ada di daratan mahupun dasar laut. Selain dapat mengenali dan merasai suasana bercuti di Pulau Tioman, SIT juga diterapkan dengan program-program melibatkan penduduk setempat sama ada pengusaha pelancongan, pengusaha resort dan penduduk awam. Penjagaan alam sekitar dalam program SIT dilihat tertumpu kepada tempat-tempat riadah melibatkan kawasan air terjun dan sebagainya. Sesuatu yang menarik dalam SIT 2013 ialah memperkenalkan dunia skuba kepada pengunjung. Seramai 50 peserta mendaftar untuk mengambil lesen menyelam pada SIT 2013. Sejak penganjuran SIT, ramai penyelam berjaya dilahirkan dengan tujuan menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan bukan sahaja di Pahang, malah negeri-negeri lain di seluruh negara. Menjadi harapan pihak pengajur, penglibatan para penyelam baharu, akan menjadikan sektor pelancongan berdaya lebih maju. Sesuatu yang mungkin ramai tidak menyedarinya, program SIT seperti biasa akan memberi kesempatan kepada pengusaha pelancongan setempat untuk menambah pendapatan. Ini melibatkan penyewaan alat-alat selam dan sebagainya. Pengarah Program SIT 2013, Syed Rizalman Syed Abu Bakar ketika melancarkan program tersebut berkata, sambutan tahun ini amat menggalakkan. ''Harapan kita, pada tahun depan lebih ramai akan menyertai program ini kerana ia bukan sahaja untuk bersantai tetapi melibatkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar. ''Ia memupuk tanggungjawab bersama antara pelancong, penyelam dan penduduk setempat,'' katanya. Bertempat di Damai Tioman Resort, Kampung Genting, SIT 2013 turut mendapat kerjasama ramai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab rekreasi dan sebagainya. Antaranya ialah Scuba Gang yang terdiri daripada anak-anak muda berusia di bawah 35 tahun yang mahir menyelam serta membantu melancarkan program berkenaan. Sementara itu, Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Idros Yahya yang menutup rasmi program SIT 2013 berkata, jumlah penyertaan tahun ini ialah 193 orang berbanding tahun lalu hanya 168 orang. Menurutnya, sesuatu yang amat menarik, SIT kini dimasukkan dalam senarai program Tahun Melawat Malaysia 2014. ''Ini satu perkembangan yang amat baik kerana kita bukan sahaja mahu memperkenalkan produk yang terdapat di Pahang, malah menambah pendapatan para pengusaha sektor pelancongan,'' katanya. Sempena program SIT 2013 itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin turut melancarkan Pakej Pelancongan Voluntourism. Pakej itu antara lain melibatkan penjagaan kebersihan pusat pelancongan tanpa menjejaskan minat pelancong terhadap aktiviti yang berkaitan dengan harapan pelancong akan lebih menghargai alam sekitar. |
Dunia skuba memang mencabar, menyeronokkan Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT PULAU TIOMAN 7 Julai - Kalangan peserta yang mengambil lesen menyelam pada program Start In Tioman (SIT) 2013, menganggap dunia skuba sebagai amat mencabar. Bagi mereka, pada mata kasar aktiviti menyelam memang menyeronokkan, namun hakikatnya ia memerlukan keberanian terutama apabila berada di dasar laut. ''Bila kita berada di dasar laut, macam-macam perasaan timbul. Takut, gementar dan pelbagai lagi. ''Tapi berkat tunjuk ajar jurulatih selain disiplin dalam memastikan peralatan diguna selamat, kita akan rasa aktiviti skuba memang menarik dan menyeronokkan,'' kata Ahmad Zakki Jilan, jurugambar Utusan Malaysia Cawangan Kuantan, Pahang. Bagi Masita Mohamad Jalil, seorang kakitangan Nestle Products Sdn. Bhd., banyak perkara yang perlu dipelajari apabila mengambil lesen menyelam. Katanya, setiap peserta bukan sahaja perlu mengetahui fungsi peralatan yang diguna, malah cara-cara menyelamatkan diri jika berlaku sesuatu kecemasan. ''Walaupun berjaya dapatkan lesen menyelam, tapi masih banyak lagi perlu dipelajari,'' katanya. Sementara itu, seorang peserta SIT 2013, Amalina Zahari berkata, dia memang agak rasa gementar apabila berada di dasar laut kerana seolah-olah berada di dunia yang asing. ''Ketika itu terfikir juga macam mana saya nak bernafas. Apa akan jadi jika udara habis dan banyak lagi yang difikirkan. ''Namun, dengan galakkan jurulatih dan rakan-rakan peserta lain, saya gagahkan diri untuk cuba dunia baru ini (skuba). ''Tetapi apabila berada di dasar laut, hati saya bertukar gembira,'' katanya yang merupakan kakitangan Colgate Palmolive Marketing Sdn. Bhd. Rakan sepejabat Amalina, Zaniza Ismail pula berkata, program SIT 2013 memberi peluang kepadanya dan peserta lain mengenali dunia skuba dan pelancongan. ''Banyak khazanah menarik terutama di dasar laut dan hanya boleh didekati apabila kita pergi menyelam. ''Walaupun ada rasa gementar kerana pertama kali cuba menyelam tetapi perasaan itu hilang apabila kita dapat melihat panorama di dasar laut,'' katanya. |
Lesen batal jika ulangi kesalahan Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Oleh Ali Mahmood Shahiruddin Ab. Moin (tiga dari kiri) melihat senarai harga barangan selepas melancarkan Operasi Harga 2013 Peringkat Negeri di Pasar Raub, kelmarin. - UTUSAN/Ali Mahmood RAUB 7 Julai - Kerajaan akan membatalkan lesen perniagaan terhadap mana-mana peniaga yang dikesan melakukan kesalahan menaikkan harga barangan kawalan secara berulang kali. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Mion berkata, tindakan tegas itu perlu bagi mendisiplin sikap para peniaga yang menaikan harga barangan kawalan sesuka hati. "Kerajaan tidak akan bertolak-ansur bagi mereka (peniaga) yang masih melakukan kesalahan yang sama secara berterusan dengan membatalkan lesen perniagaan mereka. "Peniaga yang berdegil jangan mencabar dan menganggap kerajaan lemah untuk mengambil tindakan terhadap mereka," kata Shahiruddin. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Harga 2013 Peringkat Negeri Pahang di sini semalam. Menurut beliau, setakat ini belum ada peniaga di negeri ini yang dikenakan tindakan membatalkan lesen kerana mereka yang dikenakan kompaun tidak lagi mengulangi kesalahan sama. Tambah beliau, sepanjang tahun lalu sehingga Jun, terdapat 31 kes pelbagai kesalahan termasuk menaikkan harga barangan dan tidak meletakan tanda harga barangan melibatkan nilai rampasan RM24,980.34 dan kompaun RM12,850. "Operasi Harga 2013 yang dilancarkan di seluruh negeri Pahang bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan menjelang musim perayaan. "Seramai 109 anggota penguat kuasa telah digerakkan di seluruh negeri bagi mempertingkatkan pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga yang membabitkan pembekal, pengedar, pengimport, pemborong dan peruncit," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan