KLANG: Seramai 105 wanita wanita warga asing yang diselamatkan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi di sebuah premis di Bandar Baru Klang, di sini, Sabtu lalu, terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan selepas seharian dikerah untuk bekerja.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, semua wanita masing-masing 95 warga Indonesia, Filipina (enam) dan empat warga Kemboja itu dibekalkan tilam dan tidur di kawasan sempit berikutan penghuni yang terlalu ramai.
Semua wanita terbabit ditempatkan di tingkat dua bangunan kedai tiga tingkat untuk tidur selain mempunyai ruang terhad untuk mereka memasak. Selain itu, ia menempatkan pejabat operasi agensi pekerjaan yang menjaga mereka.
Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad yang melawat asrama yang menempatkan wanita terbabit berkata, semua wanita yang diselamatkan ditempatkan untuk sementara waktu di rumah perlindungan di Jalan Bukit Ledang, Damansara bagi memudahkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.
"Kami percaya masih ada wanita yang bekerja dengan agensi terbabit dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti semua mereka," katanya.
Harian Metro semalam melaporkan semua wanita terbabit bukan saja dikurung, malah turut dipaksa makan kertas surat khabar selain tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu oleh syarikat agensi pembantu rumah itu.
Mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun itu diperdaya menjadi pembantu rumah secara bulanan dan harian, namun tidak menerima gaji selepas berkhidmat dengan alasan mereka perlu menyerahkan gaji selama tujuh bulan sebagai bayaran untuk bekerja di Malaysia.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04
Tiada ulasan:
Catat Ulasan