Utusan Online - Pahang |
- Bekalan ayam Pahang cukup
- Lebih 300 penduduk berbuka puasa bersama Tengku Abdullah
- RapidKuantan ubah laluan sementara
Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT Oleh ALI MAHMOOD RAUB 21 Julai - Bekalan ayam sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepengunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin (gambar) berkata, sebanyak 90,000 kilogram hingga 120,000 kilogram ayam diperlukan di negeri ini setiap hari dan jumlahnya akan meningkat pada bulan Ramadan dan musim perayaan kepada 180,000 hingga 240 kilogram. Menurut beliau, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang telah membuat persediaan awal bagi memastikan pengguna tiada masalah untuk mendapatkan bekalan berkenaan. "Masalah yang berlaku ketika ini adalah disebabkan harga ayam yang dijual di pasar basah, pasar malam dan pasar tani adalah berbeza. "Namun, kebanyakan peniaga masih menjual pada harga tidak melebihi RM9 sekilogram dan bekalan daging itu pula adalah mencukupi. "Terdapat 384 ladang ternakan ayam berdaftar di Pahang dengan pemborong sebanyak 25 orang yang membekal lebih 90,000 kilogram daging itu setiap hari ke seluruh negeri ini," katanya kepada pemberita di sini kelmarin. |
Lebih 300 penduduk berbuka puasa bersama Tengku Abdullah Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah ditemani Tunku Azizah menyampaikan sumbangan Ramadan kepada peserta di Taman Agropolitan Lepar, Pekan, Pahang, baru-baru ini. PEKAN 21 Julai - Lebih 300 penduduk Taman Agropolitan Pekan di Batu 8, Lepar di sini diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini. Dalam majlis tersebut, Tengku Abdullah turut berkenaan menyampaikan sumbangan kepada 100 peserta Agropolitan berkenaan dan 32 penduduk tempatan sebagai persediaan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri. Selain berbuka puasa, Tengku Abdullah turut bersama menunaikan solat sunat tarawih bersama-sama penduduk. Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda baginda iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ishak Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairudin Mahmud. Terdahulu dalam ucapannya, Khairudin berkata, penduduk Taman Agropolitan di sini amat gembira dengan keberangkatan baginda untuk berbuka puasa bersama rakyat. Menurutnya, selain majlis berbuka puasa, Tengku Abdullah tidak melupakan nasib golongan tidak bernasib baik yang diraikan menerusi bantuan Hari Raya Aidilfitri. "Selain itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun," katanya. |
RapidKuantan ubah laluan sementara Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT KUANTAN 21 Julai - Sebanyak enam daripada 12 laluan bas RapidKuantan akan menjalani perubahan sementara berikutan beberapa jalan utama di bandar ini akan bertukar menjadi sehala bagi mengurangkan kesesakan bermula esok. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Zohari Sulaiman berkata, laluan yang terlibat adalah Laluan 200 Hentian Bandar-Teluk Cempedak, Laluan 201 Hentian Bandar-Taman Gelora dan Laluan 302 Hentian Bandar-Indera Mahkota 1. "Selain itu turut telibat adalah Laluan 500 Hentian Bandar-Sungai Lembing, Laluan 301 Hentian Bandar-Bukit Sagu dan Laluan 401 Hentian Bandar-Kampung Ubai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut beliau, jalan-jalan yang terlibat dalam perubahan trafik ini adalah Jalan Penjara, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail, Jalan Beserah, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Besar. "Enam lagi laluan RapidKuantan adalah sama dan tidak berubah. Bagaimanapun kekerapan bas dan tambang untuk kawasan yang terlibat akan tetap sama," katanya. Beliau memberitahu, langkah ini adalah selaras dengan keputusan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk menukar beberapa jalan dua hala ke satu hala untuk tempoh percubaan selama tiga bulan dari 22 Julai hingga 21 Oktober sebagai inisiatif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Katanya, maklumat mengenai perubahan ini boleh didapati di laman web rapidKuantan www.rapidkuantan.com.my atau www.facebook.com/RapidKuantan. "Orang ramai juga boleh menghubungi RapidKuantan di talian 09-5663686 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perubahan ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan