Utusan Online - Utara |
- Felda sedia pinjaman tanpa faedah
- 4,000 penduduk Manong nikmati WiFi
- Atasi segera masalah banjir Langkawi - Shahidan
Felda sedia pinjaman tanpa faedah Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Oleh MOHAMAD HANIPAH TEH GERIK 7 Julai - Peneroka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan tetapi tidak mempunyai modal dipelawa membuat pinjaman tanpa faedah yang disediakan oleh pihak Felda. Pengurus Felda Bersia, Zaini Khamis berkata, pinjaman tersebut bukan sahaja dapat membantu peneroka melibatkan diri dalam bidang perniagaan, malah boleh dimanfaatkan untuk tujuan membaik pulih rumah yang rosak. Menurutnya, peneroka boleh membuat pinjaman tanpa faedah sehingga RM40,000 bagi tujuan menceburi bidang penternakan, pertanian atau membuka premis perniagaan. ''Menariknya, pihak Felda tidak mengenakan sebarang faedah kerana peneroka hanya perlu memenuhi syarat wajib iaitu hasil getah keluaran mereka hendaklah dihantar ke Pusat Mengumpul Getah milik Felda. ''Walaupun ada projek yang dijalankan peneroka atau belia menemui kegagalan, pihak Felda akan membantu sekiranya rekod penghantaran hasil getahnya bersih," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Zaini berkata, kadar bayaran balik pinjaman adalah bergantung kepada umur peneroka dan had usia peminjam adalah antara 15 hingga 40 tahun. Namun, katanya, jika ada peneroka yang sudah melebihi usia ditetapkan, pihak Felda boleh membuat pertimbangan asalkan ada jaminan daripada waris peminjam. Sementara itu seorang peneroka, Ramli Yusuf, 58, dia amat bersyukur kerana pinjaman yang dibuatnya sebelum ini dapat membantu membaiki rumahnya yang rosak. ''Kadar bayaran balik tidak pernah merunsingkan saya kerana tiada sebarang faedah dikenakan dan bayaran bulanan pula sangat berpatutan. ''Sebab itulah apabila ada orang kata Felda selalu aniaya peneroka, saya tidak boleh percaya kerana hakikatnya, Felda selalu bantu kami dan ini adalah salah satu daripadanya," ujar Ramli. |
4,000 penduduk Manong nikmati WiFi Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad (kiri) melancarkan Karnival IT dan Pusat Sumber ICT MyManong sambil diperhatikan Mohamad Kamil Shafie (kanan) dan Mohd. Azli Halit (dua dari kiri) di Manong, Perak, kelmarin. KUALA KANGSAR 7 Julai - Kira-kira 4,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong dekat sini bakal menikmati kemudahan internet tanpa wayar atau WiFi secara percuma menerusi Pusat Sumber ICT My Manong yang dilancarkan semalam. Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad berkata, program tersebut merupakan kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat DUN Manong dengan KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Senggang Manong. Katanya, menerusi program tersebut, penduduk setempat mampu mengakses capaian internet iaitu sejauh 500 meter dari PPK Senggang Manong yang merupakan pusat kepada perkhidmatan itu. ''DUN Manong merupakan daerah pertama di Perak yang menyediakan perkhidmatan seumpama ini di bawah label My Manong. Menerusi program ini, kita bukan sahaja dapat memberi kemudahan internet kepada penduduk setempat malah dalam masa sama menaik taraf infrastruktur tersebut. ''Kita juga harap dapat memberi manfaat kepada penduduk sekali gus mengurangkan jurang siber antara masyarakat bandar dan luar bandar," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pusat Sumber ICT My Manong di PPK Senggang Manong di sini. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamed Kamil Shafie; Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd. Nazaruddin Mohd. Yusof; Pengarah PPK Senggang/Manong, Mohd. Azli Halit dan Pengurus Besar PPK Senggang/Manong, Rosli Lodin. Mengulas lanjut katanya, kewujudan pusat tersebut juga dapat dijadikan tempat himpunan pelbagai golongan masyarakat bagi memperoleh maklumat dan akses kepada sistem penyampaian kerajaan secara dalam talian. |
Atasi segera masalah banjir Langkawi - Shahidan Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT LANGKAWI 7 Julai - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu punca kepada kejadian banjir di daerah ini dikenal pasti bagi membolehkan masalah itu diatasi segera. Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan mengelak perkara sama berulang selain meminimumkan kesan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku. "Kita akan kenal pasti punca banjir ini berlaku dan selepas itu masalah tersebut akan segera diatasi," katanya selepas lawatan kerja meninjau kawasan banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Sungai Kedak di sini hari ini. Yang turut hadir Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad. Dalam tinjauan itu, Shahidan meluangkan masa melawat Pasar Awam Padang Matsirat dan beramah mesra dengan peniaga di situ serta melawat keluarga mangsa di Kampung Sungai Kedak bersama-sama sukarelawan. Sementara itu, salah seorang penduduk, Saad, 56, berkata, keadaan banjir yang berlaku sangat merisaukan kerana kampung Sungai Kedak itu adalah antara kawasan paling teruk dinaiki air. "Kampung ini dinaiki air antara satu hingga dua meter. Bukan sahaja rumah dimasuki air tetapi bendang dan tanaman penduduk juga rosak. "Kami berharap supaya kerajaan segera mengatasi masalah ini dan kejadian yang sama tidak berulang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan