Isnin, 15 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Keselamatan penduduk terancam

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Herman Wahid menunjukkan kerosakan jalan raya di Kampung Bukit Datuk B, Tanjung Minyak, Melaka, semalam.

MELAKA 14 Julai - Kira-kira 30 keluarga di Kampung Bukit Datuk B, Tanjung Minyak di sini terpaksa berhadapan dengan bahaya kemalangan disebabkan masalah jalan mendap yang berlaku sejak hampir setahun lalu.

Kerosakan jalan sepanjang hampir 20 meter itu tidak pernah dibaiki dan menjadi lebih serius dari semasa ke semasa malah turut pernah mengakibatkan kemalangan kecil kepada penggunanya.

Seorang penduduk setempat, Herman Wahid, 42, memberitahu, kerosakan jalan itu berlaku sejak mula diturap kira-kira hampir setahun lalu.

"Apa yang membimbangkan ialah, jalan ini merupakan jalan utama yang digunakan penduduk kampung setiap hari dan disebabkan tiada penyeliaan, kerosakannya semakin teruk dan membahayakan keselamatan pengguna.

"Malah jalan ini turut digunakan oleh orang ramai sebagai jalan pintas untuk ke Pulau Gadong dari Tanjung Minyak disebabkan jaraknya yang lebih dekat," katanya ketika ditemui di kampung tersebut hari ini.

Menurutnya yang telah menetap di kampung tersebut sejak lebih 10 tahun lalu, masalah yang berlanjutan itu merisaukan penduduk malah jalan tersebut menjadi sangat sibuk pada waktu petang.

"Penduduk telah beberapa kali mengadukan perkara ini kepada pihak berkenaan namun sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil.

"Sebagai penduduk, saya amat berharap jalan ini dapat dibaikpulih kerana keadaannya membimbangkan para pengguna dan berisiko menyebabkan kemalangan serius," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hassan Harun, 65, memberitahu, keadaan jalan berkenaan sememangnya membahayakan para pengguna terutama bagi mereka yang melaluinya kali pertama.

"Keadaan jalan mendap dan curam bersebelahan parit itu lebih membimbangkan terutamanya jika dilalui pada waktu malam.

"Oleh itu, saya amat berharap perkara ini dapat diselesaikan segera lebih-lebih lagi akan digunakan ramai orang terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Seorang lagi penduduk, Izah Mamat, 42, berkata, dia bimbang dengan keselamatan anak-anak terutamanya ketika mereka pulang dari sekolah disebabkan tiada pilihan untuk melalui jalan lain.

"Kerosakan jalan ini semakin serius dan jika dibiarkan, pasti akan mengundang bahaya yang lebih besar.

"Saya berharap pihak berkenaan yang sebelum ini berjanji menyelesaikan masalah ini tampil menyelesaikannya kerana perkara ini melibatkan keselamatan penduduk serta pengguna," tegasnya.

Kerajaan digesa tangani kenaikan harga ayam

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

RAZALI Kasim (kanan) menjual ayam siap proses kepada seorang pelanggan di Pasar Port Dickson, Telok Kemang, Negeri Sembilan, semalam.

TELOK KEMANG 14 Julai - Peniaga dan pengguna di sekitar daerah ini menggesa kerajaan agar menangani segera isu kenaikan mendadak harga ayam dengan lebih serius dan efisien.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Port Dickson mendapati rata-rata peniaga dan pembeli mahu kerajaan yang berperanan sebagai orang tengah menyelesaikan isu kenaikan harga barangan berkenaan setiap tahun dengan tegas dan adil.

Menurut seorang peniaga, Razali Kasim, 32, berkata, harga yang ditetapkan oleh pembekal agak tinggi membuatkan peniaga terpaksa menjualnya harga lebih mahal.

''Sebelum ini, harga ayam yang dijual lingkungan RM7 tetapi kini telah mencecah RM8.60 sekilogram, yang mana kadar itu agak membebankan bagi golongan berpendapatan rendah.

''Secara tidak langsung kenaikan ini turut menjejaskan pendapatan kami kerana pelanggan semakin berkurangan," kata Razali yang telah meniaga ayam hampir lapan tahun.

Jelasnya, pembekal seperti biasa akan menyatakan bahawa kos pemprosesan dan dedak ayam meningkat.

''Jika dakwaan pembekal tersebut benar kerajaan seharusnya mencari inisiatif agar isu kenaikan harga ayam tidak berulang.

''Jabatan Pertanian amnya perlu mengorak langkah dalam mengadakan skim pemantauan mahupun ladang ayam agar dapat menstabilkan harga ayam di seluruh Malaysia," tegasnya.

Sementara itu, bagi pengguna, Razali Ismail, 72, memberitahu, tindakan tidak membeli ayam terpaksa dilakukan sementara waktu, susulan kenaikan harga barang keperluan itu sejak dua minggu lepas.

''Peniaga tidak harus dipersalahkan kerana mereka terpaksa menaikkan harga memandangkan mereka turut memperolehnya dengan harga yang mahal.

''Jabatan yang terlibat seharusnya peka dan bertindak dengan serius agar perkara ini tidak berulang dan bukan hanya pada musim perayaan ini sahaja tetapi secara berterusan bagi menjamin kebajikan rakyat," katanya.

Tambah penguna, R. Nagaran, 40, pula, kenaikan harga ayam akan menyebabkan restoran turut menaikkan harga makanan mereka.

''Dengan ini kita tidak boleh mempersalahkan mereka dan kerajaan sebagai pihak berwajib harus dirujuk bagi memantau harga barangan kawalan ini," jelasnya.

Tuanku Muhriz berkenan berbuka puasa di kediaman MB

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir mengaminkan bacaan doa berbuka puasa dalam majlis santapan berbuka puasa di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di Seremban, semalam. - UTUSAN/FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN 14 Julai - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menghadiri majlis santapan berbuka puasa yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini malam tadi.

Berangkat sama ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta diiringi dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tengku Ali Redhauddin dan Tengku Zain Al'Abidin.

Kehadiran keluarga diraja itu disambut Mohamad dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Yang turut sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek; Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan Persekutuan.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Awaluddin Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan serta Mufti Kerajaan negeri, Mohd. Yusof Ahmad.

Selepas majlis berbuka puasa, Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani serta tetamu mengerjakan solat Maghrib yang diimamkan Pakar Rujuk al-Quran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Sheikh Dr. Solah Mohd. Zaki Al-Qadiri.

Majlis kemudiannya diikuti dengan tahlil dan solat Isyak dan disudahi tarawih di surau kediaman Menteri Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan