Jumaat, 26 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Naik terlalu tinggi - Lam Thye

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

MULAI 1 Ogos depan, DBKL akan mengenakan kadar caj baharu, termasuk caj tunda dan penahanan terhadap kenderaan yang diletak di tempat tidak dibenarkan.

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kadar kenaikan caj pengapitan, pengalihan dan penahanan terhadap kenderaan yang ditunda oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana melakukan kesalahan lalu lintas terlalu tinggi dan wajar dikaji semula.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat, kadar baharu tersebut akan membebankan golongan yang berpendapatan rendah memandangkan salah satu caj tersebut naik hampir 90 peratus.

"Caj yang dikenakan sekarang pun lebih RM200 dan saya melihat caj penahanan kenderaan di depot DBKL terlalu tinggi, malah caj-caj lain juga menunjukkan peningkatan.

"Memang benar DBKL harus bertindak tegas dalam tindakan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas tetapi kajian semula perlu dilakukan sebelum melaksanakannya 1 Ogos ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kadar caj baharu yang dikenakan terhadap kereta adalah RM50 bagi pengapitan, RM100 bagi pengalihan dan RM100 lagi untuk penahanan selama sehari.

Bagi motosikal termasuk roda tiga, ketiga-tiga caj tersebut adalah RM20 (pengapitan), RM30 (pengalihan) dan RM50 (penahanan), manakala bagi bas dan lori yang berat tanpa muatan tidak lebih daripada 3,000 kilogram dikenakan RM100 (pengapitan), RM300 (pengalihan) dan RM200 (penahanan).

Sementara itu, lori tangki, treler dan jenis kenderaan lain yang berat tanpa muatan lebih daripada 3,000 kilogram dikenakan caj pengapitan sebanyak RM150, pengalihan sebanyak RM400 dan penahanan RM300.

Tambah Lam Thye, langkah menambah bilangan petak meletak kenderaan juga kurang bersesuaian untuk dilaksanakan kerana perkara itu akan menggalakkan limpahan kenderaan masuk ke ibu kota.

"Kita sedia maklum kesesakan yang melanda ibu negara terutama pada waktu puncak, jadi langkah itu mungkin kurang tepat.

"Sebaliknya, saya menyarankan orang ramai menggunakan sebaik mungkin pengangkutan awam untuk mengelak masalah-masalah tersebut," ujarnya.

Orang ramai tak setuju caj tunda dinaikkan

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kenaikan bayaran denda ke atas kenderaan yang ditunda oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berkuat kuasa awal bulan depan mendapat reaksi kurang senang daripada orang ramai.

Warga kota yang ditemui Utusan Malaysia hari ini menyifatkan tindakan tersebut terlalu drastik dan tidak setimpal dengan kemudahan yang disediakan.

Aman Shah, 61, berkata, DBKL perlu menyediakan petak letak kenderaan yang mencukupi di sekitar ibu kota bagi mengelak pengguna menghalang lalu lintas atau kenderaan lain.

"Bagi saya kenaikan tersebut tidak wajar kerana prasarana yang disediakan tidak mencapai standard terutamanya ruang meletak kenderaan. Menaikkan caj bukan cara yang betul untuk mendidik pengguna," kata peniaga itu.

DBKL menerusi kenyataan akhbarnya kelmarin memaklumkan akan menguatkuasakan mulai 1 Ogos ini caj baharu terhadap tindakan pengapitan kereta menjadi RM50, caj pengalihan RM100 dan caj penahanan sebanyak RM100 sehari, berbanding RM5 sebelum ini.

Caj penguatkuasaan ke atas kenderaan lain termasuk motosikal roda tiga turut dinaikkan.

Caj baharu tersebut diperkenalkan bagi menyedarkan orang ramai agar lebih berdisiplin apabila meletakkan kenderaan serta tidak menghalang laluan.

Sementara itu, seorang lagi warga kota, Onnie Osman, 32, berkata, masalah kekurangan petak letak kereta bertambah teruk menjelang musim perayaan apabila banyak petak digunakan untuk mendirikan khemah perniagaan.

"Masa itu memang orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan di mana sahaja kerana untuk mendapatkan petak letak kereta agak sukar," ujarnya.

Pemandu teksi, Ahmad Riduan, 45, pula berkata, DBKL perlu mengkaji semula cadangan tersebut kerana ia akan membebankan orang ramai berikutan kadar kenaikan yang terlalu tinggi.

"Mengenakan caj yang tinggi sememangnya dapat membantu penguatkuasaan kerana orang ramai tidak berani melakukan kesalahan, tetapi dalam situasi kecemasan orang akan letak (kenderaan) di mana sahaja tanpa memikirkan kesannya.

"Banyak cara lain yang boleh diguna pakai untuk mengurangkan kesalahan lalu lintas di ibu kota antaranya menempatkan penguat kuasa dan menyediakan kemudahan lain dengan mencukupi," katanya.

8 pekerja asing ditahan dalam Ops Jaja

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
kota@utusangroup.com.my

PEGAWAI dan anggota penguat kuasa imigresen bertanya sesuatu kepada tiga warga asing yang ditahan semasa Ops Jaja di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur malam tadi.

KUALA LUMPUR 25 Julai - Sebanyak lapan warga asing ditahan ketika Ops Jaja yang dijalankan penguat kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit malam tadi.

Kesemua warga asing itu ditahan kerana berniaga atau menjadi pekerja di sekitar bazar Ramadan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, Ops Jaja itu dilakukan sepanjang bulan Ramadan kerana pihaknya menerima aduan daripada orang ramai terhadap kebanjiran pekerja warga asing di situ.

Katanya, walaupun peniaga di situ telah diberi amaran agar tidak menggunakan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah namun kebanyakan mereka masih berdegil.

"Keadaan itu memaksa kami melakukan serbuan hampir setiap malam kerana aduan yang diterima daripada orang ramai meningkat.

"Ketika ditahan kebanyakan daripada warga asing ini memberi pelbagai alasan, termasuk tidak mengaku bekerja di situ, menyamar sebagai pelanggan malah ada yang mengaku sebagai warga tempatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam serbuan itu, imigresen telah memeriksa hampir 80 buah khemah bazar serta 100 warga asing.

Mereka yang ditahan adalah tiga warga Indonesia, dua Bangladesh serta tiga Pakistan berusia antara 29 hingga 43 tahun.

Tambah James Musa, dalam Ops Jaja kali ini, kesemua penguat kuasa telah memakai uniform celoreng penguat kuasa yang baharu dan berada di satu lokasi statik bagi memantau keadaan.

"Kami menjalankan rondaan dan pemeriksaan mengejut di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit. Penggunaan uniform baharu ini dianggap sebagai mekanisme pencegahan terbaik pihak imigresen," katanya.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) atas kesalahan memiliki pas atau permit tamat tempoh atau tinggal lebih dari masa yang ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan