Jumaat, 26 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Polis Pahang diberi ingatan

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 26 Julai - Polis diingatkan supaya memberikan perhatian secara menyeluruh terhadap semua kegiatan jenayah yang berlaku dengan tidak hanya tertumpu kepada kes-kes berprofil tinggi seperti bunuh sahaja.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, nasihat tersebut dinyatakan dalam mesyuarat keselamatan yang dipengerusikan baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat itu, saya telah nasihatkan polis umpamanya jika ada orang melaporkan kes seperti kecurian kereta, ada polis menegur orang itu seperti mengapa tidak kunci kereta dan ini tidak sepatutnya berlaku.

"Sepatutnya sebagai pasukan keselamatan, kita perlu ambil apa jua kes jenayah yang berlaku dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada kes-kes berprofil tinggi sahaja. Ini penting demi keadilan semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pusat Data - Kepentingan Pengurusan dan Keselamatan Untuk Sektor Awam di sini baru-baru ini.

Muhammad Safian juga mengingatkan pihak polis supaya tidak terlalu menekankan kepada soal indeks seperti berlaku penurunan indeks jenayah di negeri ini.

"Saya sebenarnya tidak berminat bercerita soal indeks ini, kita duduk bercakap indeks turun tetapi jenayah berlaku juga. Apa yang orang hendak lihat bukan indeks tetapi penyelesaian," katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal dengan kejadian pecah masuk ke atas rumah negeri di Taman Gelora di sini baru-baru ini.

"Ini kali kedua rumah negeri ini dipecah masuk dan daripada laporan, pencuri masuk melalui atap,'' katanya.

Pantau tanah secara menyeluruh elak diceroboh

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

KUANTAN 26 Julai - Pemantauan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi menghalang mereka yang tidak bertanggungjawab daripada terus menceroboh dan meneroka tanah haram di seluruh negeri ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap berkata, menceroboh dan mengusahakan tanah sewenang-wenangnya adalah satu kesalahan besar dan boleh menjejaskan perancangan pembangunan kerajaan.

"Dalam aspek ini, pemantauan perlu dilakukan bukan sahaja di kawasan seperti di kawasan tanah lembap atau Ramsar di Tasik Bera malah perlu melibatkan kawasan perlombongan seperti bijih dan pertanian.

"Kegiatan ini begitu licik, jika di kawasan Ramsar seluas 400 hektar itu pun mereka boleh menceroboh maka tidak mustahil berlaku di kawasan-kawasan lain di seluruh negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kawasan tanah lembap yang terdapat di sekeliling Tasik Bera diancam kepupusan selepas diceroboh secara sewenang-wenang nya untuk menjalankan aktiviti pertanian seperti ladang kelapa sawit tanpa sebarang kawalan dan penguatkuasaan.

Kelmarin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kerajaan negeri akan mempertahankan kawasan yang diisytiharkan di peringkat antarabangsa sebagai kawasan tanah lembap pada 1994 itu serta tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang terlibat.

Abd. Wahid berkata, kerajaan negeri perlu bertindak tegas bagi menangani kegiatan pencerobohan dan penerokaan tanah secara haram yang kini semakin berleluasa.

"Perkasa menyokong pendirian kerajaan negeri untuk tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang menceroboh kawasan Ramsar di Tasik Bera.

"Cuma apa yang kita harapkan bukan hanya pencerobohan di kawasan ini sahaja yang perlu diberi perhatian, malah kawasan-kawasan lain seperti perlombongan dan pertanian juga perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri akan memperhebatkan penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan pencerobohan dan penerokaan tanah dapat dibendung manakala pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan dibawa ke muka pengadilan.

30 orang kurang upaya terima bantuan Aidilfitri sumbangan MPK

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Zulkifli Yaacob (kiri) sempat beramah mesra dengan ahli Bakbiis yang menerima sumbangan MPK di Pusat Transformasi Bandar di Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 26 Julai - Seramai 30 penerima orang kurang upaya (OKU) daripada Badan Kebajikan Bagi Insan Istimewa (Bakbiis) menerima sumbangan bantuan Aidilfitri disampaikan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Sumbangan menerusi program Kami Prihatin MPK itu disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob dalam satu majlis di bilik mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Majlis MPK, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap.

Pada majlis berkenaan, MPK turut menyampaikan sumbangan tujuh kerusi roda dan dua tongkat kepada ahli Bakbiis yang memerlukan.

Zulkifli berkata, majlis pemberian sumbangan itu adalah kesinambungan daripada program Ziarah Ramadan anjuran Bahagian Pembasmian Kemiskinan, Jabatan Perancangan Pembangunan MPK.

Pada program berkenaan katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengedar sumbangan keperluan harian iaitu bakul makanan untuk berbuka puasa kepada 200 orang isi rumah miskin di daerah ini.

"Pada tahun ini, pihak MPK memilih kampung-kampung di sekitar kawasan Gambang, Paya Bungor dan Sungai Lembing," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan.

Menurutnya, perbelanjaan untuk bantuan kepada 30 penerima daripada Bakbiis itu disumbangkan oleh badan-badan korporat, syarikat swasta dan individu yang prihatin dengan nasib mereka yang memerlukan.

"Majlis ini diadakan sebagai tanggungjawab sosial MPK tanpa meminggirkan kebajikan mana-mana golongan di kawasan pentadbiran dan operasi MPK," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan