Selasa, 9 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Elak demonstrasi jalanan - MB

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

adnan yaakob

KUANTAN 9 Julai - Budaya demonstrasi jalanan jika terus diamalkan oleh parti-parti politik di negara ini dibimbangi akan menyebabkan pergaduhan antara penyokong masing-masing dan seterusnya menyebabkan pertumpahan darah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara sedemikian tidak mustahil akan berlaku melalui perbuatan provokasi yang dilakukan oleh penyokong parti politik yang terlibat.

"Jika dahulu sewaktu di sekolah kita selalu diingatkan oleh guru soal perpaduan kaum yang perlu kita jaga kerana bimbang akan berlaku pergaduhan kerana apabila berlaku tercetuslah peristiwa seperti tragedi 13 Mei 1969.

"Apa yang hendak saya sebut adalah jika budaya demonstrasi jalanan diteruskan, tidak mustahil akan berlaku sekali lagi pertumpahan darah, bukan antara kaum tetapi antara penyokong parti politik.

"Perkara ini (demonstrasi jalanan) jika berlaku dalam keadaan terlampau besar adalah sukar untuk dikawal, jadi perkara sebegini perlu kita sama-sama elakkan," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang sini hari ini.

Sementara itu Adnan berkata, semua pihak khususnya pemimpin politik seharusnya menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan hati terbuka dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

"Soal dapat dua pertiga atau tidak, tidak timbul kerana dalam dunia moden sekarang apabila semua orang terpelajar, anak muda didedahkan dengan kemudahan teknologi maka tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang boleh begitu mudah untuk mendapat kuasa dua pertiga dalam Parlimen," katanya.

Beliau berkata, semua pihak terutama pemimpin politik juga tidak seharusnya mempertikai kebebasan pilihan raya di negara ini.

Menurutnya, apa yang telah ditetapkan dan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya diterima dengan baik.

"Kalau kita hanya tahu mempertikai kebebasan pilihan raya, kenapa masih masuk bertanding dan kalau benar-benar SPR tidak telus mana mungkin Barisan Nasional (BN) kalah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya.

Kegiatan gondol hutan dipandang serius

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

KUANTAN 9 Julai - Kerajaan negeri memandang serius kegiatan menarah bukit dan menggondol hutan secara haram dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani perkara berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun berkata, di negeri ini kegiatan tersebut tidak seburuk seperti mana yang berlaku di negeri-negeri lain yang dikuasai parti pembangkang.

"Dalam hal ini, kita mahu wakil rakyat baik daripada Barisan Nasional (BN) mahu pun pembangkang sentiasa bekerjasama dan membantu menangani isu menarah bukit dan menggondol hutan di kawasan tanah tinggi.

"Di Cameron Highlands misalnya, secara relatifnya lebih baik berbanding perkara yang sama berlaku di negeri pembangkang," katanya menjawab soalan Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang sini hari ini.

Adnan berkata, beliau juga kerap membuat pemantauan udara bagi meninjau situasi di sekitar Cameron Highlands dan mendapati aktiviti menarah bukit berleluasa kerana ada pihak yang langsung tidak beretika.

"Kita sebenarnya dari semasa ke semasa mengambil tindakan penguatkuasaan menerusi akta yang diperuntukkan seperti Akta Perhutanan Negara 1984 dan Akta Pemuliharaan Tanah 1960.

"Masalah yang kita hadapi ialah kurang kakitangan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan peralatan," katanya.

Beliau berkata, lokasi yang jauh ke pedalaman dan kedudukan geografi juga antara faktor menghalang agensi penguat kuasa mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

RM1.199b dividen dibayar kepada peserta Felcra

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

KUANTAN 9 Julai - Bermula dari 1997 hingga 2012, kira-kira RM1.199 bilion dividen telah dibayar kepada peserta Felcra di negeri ini berdasarkan kepada luas pegangan tanah mereka yang dimajukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, tiada ladang yang tidak pernah menghasilkan dividen kepada peserta.

"Felcra Berhad Pahang telah membangunkan ladang seluas 56,033 hektar melibatkan 338 buah projek dengan tanaman getah dan sawit.

"Secara purata pembayaran dividen daripada pendapatan projek pada 2012 adalah sebanyak RM110 sebulan," katanya menjawab soalan Datuk Lau Lee (BN-Damak) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang sini hari ini.

Shafik Fauzan berkata, terdapat lapan projek dengan keluasan tanah 1,552 hektar yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih belum dibangunkan oleh Felcra Berhad Wilayah Pahang.

Beliau berkata, antara sebabnya adalah isu pencerobohan oleh masyarakat setempat dan Orang Asli yang masih dalam tindakan oleh pihak pentadbir tanah daerah berkaitan.

"Selain itu, perkara itu juga disebabkan tiada kelulusan laporan daripada agensi terlibat seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Alam sekitar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan