Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Ayam cecah RM8.80 sekilo di Kuantan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Ayam dijual pada harga RM8.80 sekilogram semalam melebihi harga siling RM6.80 di Pasar Peramu, Kuantan.

KUANTAN 12 Julai - Harga ayam di sekitar daerah ini dilaporkan naik sejak seminggu lalu dengan peniaga memberi alasan pembekal menjual kepada mereka pada harga yang lebih tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Pasar Peramu di sini mendapati, ayam basah dijual berharga RM8.80 manakala di Pasar Besar Kuantan dan Pasar Kempadang pula RM8.50 sekilogram.

Peniaga Pasar Peramu, Anawar Hussin, 60, berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain menjual dengan harga tersebut kerana mendapat bekalan daripada pembekal pada harga RM7.60 sekilogram.

"Sebelum ini harga ayam jatuh tetapi selepas pilihan raya lalu harganya naik mendadak," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, dijangka harga ayam turun kembali pertengahan bulan Ramadan dan naik semula menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Peniaga, Aidi Akob, 50, berkata, dua minggu sebelum Ramadan harga ayam sekitar RM6.50 hingga RM7 sekilogram.

"Menjelang Ramadan harga ayam tiba-tiba naik. Saya rasa pembekal naikkan harga kerana menjelang hari raya nanti kerajaan akan membuat kawalan.

"Jadi, sebelum dikawal kerajaan, maka pembekal menaikkan harga untuk mengaut keuntungan," katanya.

Menurutnya, dia tiada pilihan selain terpaksa menjual ayam dengan harga tinggi kerana perlu membayar gaji pekerja dan kos lain.

Sementara itu, suri rumah, Fazeedah Manaf, 38, berkata, harga ayam yang terlalu tinggi akan membebankan orang ramai terutama yang pendapatan sederhana.

"Saya tidak mengharapkan harga ayam di sini menjadi terlalu murah tetapi biarlah dijual mengikut harga berpatutan," katanya.

Sehubungan itu, Fazeedah berharap kerajaan mengambil langkah proaktif membendung masalah kenaikan harga ayam supaya tidak membebankan rakyat terutama umat Islam yang sedang berpuasa dan ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Mohd. Afif Ahmad Bahran, 21, pula, katanya, setiap kali harga ayam baik peniaga akan memberikan alasan memperolehnya dengan harga mahal daripada pembekal.

"Saya harap Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di sini memantau harga barang kawalan terutama menjelang musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan ke beberapa pasar raya sekitar bandar ini mendapati ayam dijual lebih murah iaitu antara RM7.59 hingga RM7.70 sekilogram.

Bekalan barangan keperluan mencukupi

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Shahiruddin Ab. Moin (depan, dua dari kiri) meninjau gerai menjual ayam di pasar Raub, Pahang, kelmarin.

RAUB 12 Julai - Bekalan barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri di bawah skim kawalan harga di negeri ini dijamin mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, semua pemborong dan pembekal di negeri ini diberi kebenaran menyimpan stok barangan lebih 10 peratus daripada hari biasa selama dua minggu sebelum dan selepas musim perayaan.

Katanya, mereka juga diminta menghantar segera bekalan barangan tersebut kepada peniaga di seluruh daerah bagi mengelakkan kehabisan bekalan.

''Tahun ini Pahang menyediakan lebih 4,000 tan metrik minyak masak dan 3,000 tan metrik gula termasuk stok simpanan lain-lain barang untuk keperluan sepanjang bulan puasa dan hari raya.

''Dengan stok simpanan yang cukup itu, kerajaan yakin pengguna akan mendapat bekalan barangan yang mencukupi yang kebiasaannya penduduk negeri ini memerlukan kira-kira 3,800 tan metrik minyak masak dan tepung pada musim perayaan dan puasa," katanya kepada pemberita selepas meninjau peniaga di pasar Raub di sini semalam.

Katanya, sebanyak 109 anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri dengan bantuan anggota Skuad Pemantau Penguna akan turun padang sepanjang tempoh bulan puasa dan hari raya ini bagi memantau harga barang serta kegiatan peniaga.

Jelas beliau, tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan diambil ke atas para peniaga atau pasar raya yang tidak mengikut peraturan atau menjual melebihi harga yang ditetapkan.

''Sejak awal 2012 sehingga akhir bulan lalu, bahagian penguatkuasaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri berjaya mengesan 74 kes kesalahan yang dilakukan para peniaga membabitkan nilai rampasan barang RM24,980.

''Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 kes dengan nilai rampasan RM12,017 adalah pada enam bulan pertama tahun ini," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna berbelanja secara terancang bagi mengelakkan pembaziran.

''Mereka yang merasai ditipu peniaga dengan harga yang tidak munasabah boleh membuat aduan kepada mana-mana cawangan pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di setiap daerah untuk disiasat dan diambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen," ujarnya.

Polis Marin rampas 1,554 karton rokok

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Azmi Ibrahim (dua kiri) memberi taklimat mengenai rampasan 1,554 karton rokok dalam sidang akhbar di pejabat Polis Marin Wilayah Timur, Kuantan, semalam. - utusan/Mahathir Ali

KUANTAN 12 Julai - Polis Marin Wilayah Timur merampas sejumlah 1,554 karton pelbagai jenama rokok tidak sah bernilai kira-kira RM262,600 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Galing di sini semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Timur, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua suspek berusia 19 dan 20 tahun hasil maklumat orang awam tentang aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai menjadikan rumah yang disewa itu sebagai stor haram untuk menyeludup rokok dan kegiatan itu dipercayai untuk bekalan kedai-kedai runcit di bandar ini.

Katanya, sembilan anggota polis diketuai Inspektor Mohd. Armi Alpaka membuat intipan dan mengesan sebuah kereta Proton Persona yang mencurigakan di Jalan Galing.

"Pemandu kereta itu berusia 20 tahun dikesan membawa muatan 80 karton pelbagai jenama rokok tidak sah. Hasil soal siasat dia mengaku membawa rokok tersebut dari rumah sewanya.

"Pihak kami kemudian menyerbu rumah itu dan menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun dan pemeriksaan di rumah itu menjumpai 1,474 karton rokok pelbagai jenama," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Azmi berkata, kedua-dua suspek serta barang rampasan itu diserahkan kepada Kastam untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, rampasan ini adalah kejayaan kes ke-10 bagi Polis Marin Wilayah Timur untuk tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM527,190.

Beliau turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai apa juga kegiatan menyalahi undang-undang yang berlaku di perairan atau di kawasan pesisiran pantai kepada polis atau polis marin untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan