Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Kawal kenaikan harga ayam

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 12 Julai - Pengguna di negeri ini berharap kerajaan dapat mengawal kenaikan mendadak harga ayam yang disifatkan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Kenaikan sehingga RM2 sekilogram daripada RM6.50 kepada RM8.50 sekilogram itu dilihat membebankan pengguna khususnya di bulan Ramadan.

Pengguna, Alia Fuad, 45, berkata, dia terkejut kenaikan mendadak harga ayam sehingga RM2 sekilogram namun tidak mempunyai pilihan.

"Rata-rata peniaga ayam di sini menjual dengan harga RM8.50 sekilogram berbanding RM6.50 hingga RM7 sekilogram seminggu sebelum ini," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Melaka Sentral, di sini hari ini.

Menurutnya, kenaikan melampau itu amat membebankan pengguna terutama mereka yang kurang berkemampuan.

"Kerajaan perlu mengawal harga ayam segar supaya tidak membebankan pengguna," katanya.

Seorang lagi pengguna, Azizi Asbah, 35, memberitahu, dia tidak menyangka harga ayam naik mendadak sejak seminggu lalu.

"Pengguna tidak mempunyai pilihan dan harus akur dengan harga tersebut walaupun kenaikannya agak melampau.

"Saya jangka harga ayam segar akan terus meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi jika tidak dikawal," katanya.

Sementara itu, peniaga, Hamzah Osman, 48, berkata, harga ayam naik awal bulan ini disebabkan kenaikan harga daripada penternak sendiri.

"Sebagai peniaga, kami mendapatkan ayam dengan harga tinggi daripada pembekal dan perlu menjualnya kepada pengguna dengan harga sekitar RM8.50 sekilogram.

"Memang banyak rungutan diterima daripada pengguna, namun peniaga juga tidak mempunyai pilihan untuk mengelak kerugian jika dijual pada harga seperti sebelum ini," jelasnya.

Bazar Ramadan Mega Jalan Hang Tuah mula jadi tumpuan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Orang ramai membeli-belah di Bazar Ramadan Mega, Jalan Hang Tuah, Melaka, malam kelmarin.

MELAKA 12 Julai - Suasana malam di Jalan Hang Tuah yang dulunya sepi kini menjadi meriah apabila Bazar Ramadan Mega mula beroperasi malam tadi.

Bazar yang pertama kali diperkenalkan di Jalan Hang Tuah bermula dari Dewan Hang Tuah hingga ke Restoran Subaidah sepanjang satu kilometer itu menjadi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan ini.

Dihiasi lampu warna-warni di sepanjang gerai menjadikan bazar berkenaan antara daya penarik terbaharu pelancong sepanjang Ramadan ini.

Bazar tersebut diwujudkan hasil idea Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.

Sebanyak 254 khemah menjual pelbagai barangan keperluan harian untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri telah mula beroperasi dengan masing-masing menghias gerai untuk menarik minat orang ramai.

Bazar Ramadan Mega yang diperkenalkan ini menggantikan lokasi lamanya di Taman Chempaka dilihat lebih selesa untuk orang ramai berkunjung ke situ.

Antara kemudahan yang disediakan kepada orang ramai ialah 12 tandas awam, surau yang terletak di tempat letak kenderaan berhadapan Restoran Tranquera dan tempat meletak kenderaan di belakang Graha Makmur.

Bazar berkenaan mula dibuka dari pukul 4 petang hingga 2 pagi setiap hari sehingga 8 Ogos.

Bazar Ramadan Mega juga turut menyediakan pelbagai aktiviti hujung minggu seperti ceramah agama, persembahan artis terkenal tanah air, persembahan nasyid dan penampilan Raja Lawak.

Antara barangan keperluan yang dijual di Bazar Ramadan Mega ialah baju kurung, baju kebaya, baju Melayu, songkok, tudung, selendang, kasut, baju T, minyak wangi dan sebagainya. Pelbagai juadah kuih raya daripada tradisional hingga moden turut dijual di sini.

Beberapa peniaga ketika ditemui melahirkan rasa lega dengan lokasi baharu Bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah.

Seorang peniaga, Muhammad Syazwan Abu Bakar, 25, berkata, lokasi baharu itu jauh lebih selesa berbanding di Taman Chempaka.

''Saya lihat bazar ini cukup selesa dan tidak bersesak-sesak kerana ruang pejalan kaki adalah luas dan bazar ini dihias indah dengan lampu warna-warni," katanya.

Bagi Rafeah Yusof, 47, yang menjual pakaian wanita pula berkata, dia yakin lokasi baharu itu dapat menarik orang ramai berkunjung ke situ.

''Lokasinya cukup strategik dengan ruang niaga yang luas dan ruang pejalan kaki juga cukup selesa jauh lebih baik daripada Taman Chempaka," katanya.

Bagi Khairul Effendy Mohd., 31, peniaga pelbagai jenis kasut menyifatkan tindakan membuka bazar di Jalan Hang Tuah merupakan keputusan tepat.

''Lokasi ini jauh lebih baik berbanding Taman Chempaka kerana banyak kemudahan untuk pengunjung seperti surau, tempat letak kenderaan dan laluan selesa," katanya.

MBMB naik taraf 20 persimpangan lampu isyarat

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

MELAKA 12 Julai - Sebanyak 20 persimpangan empat lampu isyarat di Bandar Raya Melaka akan dinaik taraf melibatkan kos sebanyak RM1.2 juta bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di waktu puncak dan hujung minggu serta cuti umum.

Penolong Pengarah Kejuruteraan (Lalu Lintas dan Kerja Awam) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mazlan Mohd. Said berkata, kesemua lampu isyarat yang telah dikenal pasti itu akan mula dinaik taraf menggunakan sensor aliran kontra perkongsian masa mulai tahun hadapan.

Menurutnya, antara persimpangan lampu isyarat yang telah dikenal pasti ialah di Kota Laksamana, Jalan Laksamana, Hotel Ramada Plaza dan Jalan Bunga Raya.

Beliau berkata, sensor aliran kontra itu paling praktikal digunakan untuk mengurangkan masa menunggu dan mempercepatkan kelancaran kenderaan di setiap persimpangan empat lampu isyarat khususnya yang sering berlaku kesesakan.

''MBMB telah mula mengunakan sensor aliran kontra perkongsian masa ini di persimpangan empat lampu isyarat Melaka Sentral, Plaza Wang di Bachang dan terbaharu di Taman Malinja Lebuh AMJ.

''Berdasarkan kajian, masa menunggu dari 295 saat telah dapat dikurangkan kepada 220 saat manakala kelancaran pergerakan kereta pula daripada 48,269 meningkat kepada 60,440 sehari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat persimpangan empat lampu isyarat Taman Malinja Lebuh AMJ dekat sini hari ini.

Persimpangan tersebut akan dinaik taraf menggunakan sensor aliran kontra melibatkan kos sebanyak RM19,710.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehuddin Abd. Rahman.

Mazlan berkata, antara kelebihan sistem baharu itu apabila pergerakan kenderaan berkurangan di satu laluan, lampu isyarat akan secara automatik dari lampu hijau bertukar ke merah.

''Lampu isyarat susur ke kiri atau kanan persimpangan empat akan berfungsi memberi laluan kepada kenderaan lain dan sekali gus mengurangkan kesesakan di lampu isyarat," katanya.

Sementara itu, kata Mazlan, MBMB akan memasang lampu isyarat di simpang empat berdekatan bank OCBC Jalan Merdeka mulai 17 Julai ini.

Menurutnya, pemasangan lampu isyarat tersebut dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat pertembungan kenderaan dari arah Jalan Merdeka ke Hotel Equatorial ke Jalan Melaka Raya.

Ujarnya, kos pemasangan sebanyak RM130,500 itu dijangka siap dalam tempoh empat minggu iaitu pada 7 Ogos ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan