Isnin, 8 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Bangunan pasar basah uzur

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Oleh NURUL HUSNA HAMDAN
utusanN9@utusan.com.my

Dua peniaga di pasar basah menunjukkan keadaan siling bangunan itu yang usang dan rosak sehingga mengganggu perniagaan mereka, dekat Pasar Tani Kuala Klawang, Negeri Sembilan, semalam.

JELEBU 7 Julai - Peniaga di pasar basah dekat Pasar Tani Kuala Klawang di sini melahirkan rasa bimbang terhadap struktur bangunan yang uzur terutama siling yang mula reput.

Menurut peniaga di situ, lebih menyedihkan apabila bumbung di pasar berkenaan terpaksa ditutup dengan kanvas bagi mengelakkan dibasahi hujan selepas ia mengalami kerosakan sejak sekian lama.

Kata peniaga, Norlida Mohamed Salleh, 51, perkara itu sentiasa membimbangkan peniaga serta pengunjung yang berurusan di pasar tani itu.

''Apabila hujan lantai akan menjadi licin kerana air memasuki celah bumbung yang rosak. Ini akan membahayakan keselamatan pengunjung dan peniaga.

''Ada kalanya serpihan siling jatuh ke lantai. Keadaan di sini sebenarnya sudah terlalu bahaya kepada peniaga dan kami berharap sesuatu dapat dilakukan segera," katanya di sini hari ini.

Norlida juga mendakwa lampu di sepanjang pasar menjual barangan segar itu juga tidak berfungsi.

''Banyak lampu yang sudah pecah dan tidak diselenggara dengan baik. Sampai bila kami akan berhadapan kesukaran ini," katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Ismail Mad Jaya, 27, memberitahu, kanvas terpaksa diletakkan atas bumbung pasar basah itu dan ia adalah inisiatif yang dilakukan oleh peniaga bagi menjamin keselamatan pelanggan ketika datang pada waktu hujan.

''Malangnya kanvas yang diletakkan itu tidak mampu menampung air hujan terutama apabila lebat.

''Tandas juga sudah terlalu uzur, rosak dan tidak terurus dengan baik. Sudah berbulan-bulan tandas itu tidak berfungsi dan kami amat berharap pihak yang berkaitan dapat melihat keadaan ini kerana peniaga di sini sudah lama sengsara," katanya.

Tegasnya, di pasar itu merupakan tempat peniaga mencari rezeki dan menjadi kunjungan orang ramai.

''Semestinya, kawasan ini diberikan pembelaan sewajarnya dan apa jua kerosakan dibaiki segera," ujarnya.

Ulang Tahun Ke-5 Melaka Bandar Raya Warisan Dunia meriah

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Zurina Kassim sambil diiringi pembesar negeri melambai tangan ke arah orang ramai yang menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Melaka Bandar Raya Warisan Dunia di Banda Hilir, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 7 Julai - Kesenian dan warisan merupakan satu manifestasi tinggi terhadap khazanah negara agar dapat terus dijadikan sebagai tatapan generasi akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, dalam mendekatkan diri kepada sejarah perjuangan bangsa, apa yang penting adalah menepati konsep 1Malaysia, 1Budaya dan 1Warisan seiring dengan pembangunan dan kemajuan negara.

"Penghargaan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia adalah satu penghargaan terhadap usaha berterusan kerajaan negeri dalam mengekal dan memulihara bangunan serta warisan sejarah bangsa dan negara.

"Suasana kehidupan di negeri ini dahulu dan kini yang harmoni dan saling membantu antara pelbagai kaum adalah contoh terbaik mewujudkan keamanan sejagat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Kelima Pengisytiharan Melaka Sebagai Bandar Raya Warisan Dunia di Muzium Kesultanan Melayu Melaka, Banda Hilir di sini kelmarin.

Seramai kira-kira 1,000 pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara hadir menyaksikan pelancaran yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Yang turut hadir, isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Zurina Kassim.

Dalam majlis itu, kehebatan srikandi dan pahlawannya yang membantu membangunkan Melaka suatu ketika dahulu ditampilkan menerusi lakonan mantap pembesar-pembesar negeri termasuk Mohd. Khalil.

Persembahan yang turut dijayakan oleh pelakon Wan Maimunah (mak inang) dan Datuk Zulkifli Zain (sultan) itu turut mengimbau nostalgia kegemilangan Melaka pada zaman Sultan Mansur Shah yang mempunyai hubungan erat dengan kuasa-kuasa besar dunia termasuk dari China.

Turut diselitkan adalah adegan perkahwinan antara Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po di samping pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian serta nyanyian.

Sepanjang persembahan, aksi Mohd. Khalil yang memegang watak Bendahara mencuit hati para pengunjung terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong dalam serta luar negara.

Assad, Hoi Long juara PDIT 2013

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Assad Attamimi dan Hoi Long selepas mengekalkan kejuaraan masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Triathlon Antarabangsa Port Dickson 2013 di Port Dickson, semalam.

TELOK KEMANG 7 Julai - Assad Attamimi dari Australia dan peserta Macau, Hoi Long mengekalkan kejuaraan masing-masing bagi kategori lelaki serta wanita kejohanan Triathlon Antarabangsa Port Dickson (PDIT) 2013 di Port Dickson, dekat sini hari ini.

Attamimi, 27, memenangi kategori lelaki 30 hingga 39 tahun dengan catatan masa dua jam 10 minit selepas berjaya mendahului peserta lain dalam acara renang, berbasikal serta larian.

Hoi Long, 29, cemerlang mempertahankan kejuaraan wanita dengan kepantasan dua jam tujuh minit bagi kategori wanita 16 hingga 29 tahun.

Attamimi memberitahu, beliau tidak sangka dapat mengekalkan kejuaraan bagi kategori yang disertainya.

"Dengan kejuaraan kali kedua ini membuatkan saya lebih bersemangat bagi mencatatkan masa lebih pantas pada acara akan datang. Tidak dinafikan penganjuran kali ini agak sengit kerana melibatkan lebih ramai penyertaan," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Yang turut hadir semasa program tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan dan Kepenggunaan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar.

Attamimi berkata, acara itu secara tidak langsung menguji tahap staminanya.

"Saya dapat menguji tahap kemampuan fizikal dan mental dalam mengharungi acara ini. Program ini semakin mendapat sambutan dan seharusnya dikekalkan yang mana secara tidak langsung dapat menarik pengunjung luar ke Malaysia," katanya.

Sementara itu Hoi Long memberitahu, dia cuba menyertai PDIT setiap kali ia dianjurkan.

"Program ini seharusnya dikekalkan kerana semakin menambat hati para peserta. Ia diatur dengan baik dan berjalan dengan lancar.

"Keselamatan juga ditekankan yang menunjukkan imej program ini memenuhi segala aspek," jelasnya melalui isyarat tangan kerana bisu.

Lebih 2,000 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam PDIT edisi ke-12 itu.

Selain Australia dan Macau, peserta luar negara yang turut memeriahkan kejohanan tahunan itu adalah dari Singapura, Indonesia, Jepun, United Kingdom, Hong Kong, China dan Jerman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan