Utusan Online - Kota |
Posted: 10 Jul 2013 11:51 AM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI Ramli Ibrahim menunjukkan nombor petak bazar di Lorong Bonus 6, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang dibatalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas mendapat bantahan daripada 12 peniaga tudung di lorong berkenaan. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR KUALA LUMPUR 10 Julai - Seramai 20 pengusaha dan peniaga dari industri kecil sederhana (IKS) menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka meneruskan perniagaan di tapak lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sebelum ini timbul kekecohan selepas peniaga terlibat diarahkan berpindah ke tapak baharu di Lorong Bonus 5 yang didakwa kurang strategik. Seorang peniaga IKS, Mohd. Shahrul Othman, 31 berkata, peniaga sangat berterima kasih kepada pihak DBKL kerana mengembalikan semula tapak perniagaan lama mereka di jalan utama. Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan keprihatinan pihak berkuasa tempatan itu terhadap masalah peniaga. "Kami bukan hendak mengambil kesempatan atau sengaja mahu menimbulkan isu, tetapi amat berharap agar peniaga seperti kami juga diberi ruang di lokasi utama seperti peniaga pakaian, tudung dan barang-barang hiasan lain," katanya. Mohd. Sharul berkata, permintaan produk makanan kering terutamanya biskut raya, rendang dan serunding amat tinggi menjelang perayaan, namun jika tapak niaga jauh tersorok tentu memberi kesulitan kepada pengunjung. Turut berkongsi perasaan peniaga rendang dan serunding, Mahmud Siron, 49. Dia melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu yang dianggap sebagai bukti keprihatinan DBKL terhadap peniaga Bumiputera. Katanya, produk IKS yang dijual oleh para pengusaha di Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman itu merupakan hasil produk yang berkualiti dan asli. "Kita menjual serunding dan rendang ini yang dibawa khas dari pengusaha terkenal di Kampung Laut, Kelantan manakala kuih Batang Buruk ini misalnya, berasal dari Muar yang seratus peratus menggunakan bahan utama dan asli iaitu kacang hijau bukannya kacang kuda seperti yang dijual di tempat lain. "Jadi sayanglah jika kita ada produk yang baik dan bermutu tinggi tetapi tidak dapat dibeli oleh orang ramai hanya kerana dijual di lokasi tersorok," katanya. Utusan Malaysia dalam laporan semalam mendedahkan para peniaga IKS yang tidak berpuas hati dengan tindakan DBKL menempatkan mereka di lokasi baharu di Lorong Bonus 5 yang didakwa tersorok dan kurang dikunjungi pelanggan. Bagi 12 peniaga tudung di Lorong Bonus 6, di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pastinya Ramadan kali ini memberi seribu rahmat berganda kepada mereka. Ini kerana permintaan mereka agar pihak berkuasa tempatan itu membatalkan cadangan membuka petak bazar baharu di buka di hadapan gerai mereka termakmul. Ramli Ibrahim, 58, berkata keputusan itu amat dinantikan kerana ia lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan. "Kami tidak berniat untuk menyekat rezeki peniaga lain, tetapi soal keselesaan dan keselamatan orang ramai juga perlu diambil kira," katanya. |
Posted: 10 Jul 2013 11:51 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Peniaga bazar Ramadan yang didapati menjual makanan tercemar bakal berhadapan tindakan disenarai hitam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR 10 Julai - Peniaga bazar Ramadan yang mengabaikan aspek kebersihan termasuk menjual makanan tercemar bakal berhadapan dengan tindakan disenarai hitam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, tindakan itu merupakan langkah terakhir sekiranya peniaga didapati masih ingkar melanggar peraturan yang ditetapkan. Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan pada setiap minggu pertama Ramadan mendapati masih ada peniaga yang kurang peka terhadap aspek kebersihan termasuklah dari segi penyediaan makanan mahupun kebersihan gerai mereka. "Berdasarkan kepada keputusan sampel makanan yang diambil secara rawak daripada peniaga untuk dianalisis kebanyakan didapati mengandungi bakteria yang tinggi. "Oleh kerana makanan dibiarkan terlalu lama ia boleh menyebabkan berlakunya cirit-birit atau muntah,," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Operasi Persampelan Makanan Bazar Ramadan 2013 Wilayah Persekutuan di Bazar Ramadan Sri Permaisuri, Cheras dekat sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Hayati Abdullah dan Pengarah Jabatan Pemudah cara Perniagaan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Rolan Abd. Rahman. Menurut Mhd. Amin, pemeriksaan tersebut diadakan bertujuan memastikan kualiti makanan yang disediakan itu berada di peringkat terbaik daripada segi kebersihan termasuk para peniaga. "DBKL telah mengambil langkah proaktif pada tahun ini dengan menekankan keperluan suntikan pelalian 'taifod' yang wajib diambil oleh para peniaga di samping kursus asas pengendalian makanan. "Kita mahu orang ramai yang membeli juadah di bazar Ramadan memilih makanan yang terjamin dari segi kebersihan. " Kita tidak mahu mereka beli makanan dan balik ke rumah kemudian, sakit perut," ujarnya. Katanya, sepanjang Januari hingga 8 Julai lalu, seramai 4574 peniaga dan pembantu peniaga bagi gerai bazar Ramadan telah diberikan suntikan tersebut dan sebanyak 1250 peniaga atau pembantu telah diberikan kursus. "Pada tahun lalu melalui operasi yang sama, sebanyak 970 sampel telah diambil dari 12 tapak dan didapati sebanyak 407 sampel mengalami pencemaran. "Kebanyakan jenis makanan yang sering mengalami pencemaran adalah makanan daripada jenis bersantan, manis, lauk pauk dan minuman," katanya. Beliau menambah, sebanyak 62 kompaun, 82 notis amaran kepada peniaga dan 18 surat amaran kepada persatuan telah dikeluarkan. Dianggarkan sejumlah 940 sampel makanan akan diambil dari 28 tapak bazar Ramadan melibatkan 14 tapak diselia oleh DBKL manakala selebihnya oleh persatuan sehingga 30 Julai ini. |
Masalah sampah di Amazing Heights selesai Posted: 10 Jul 2013 11:51 AM PDT Rumah sampah berhampiran pangsapuri Amazing Heights, Jalan Sungai Udang, Klang yang sebelum ini dipenuhi longgokan sampah kini lebih bersih selepas kerja-kerja pembersihan dilaksanakan pihak bertanggungjawab. KLANG 10 Julai - Kebimbangan penghuni pangsapuri Amazing Heights, Jalan Sungai Udang dekat sini berhubung masalah sampah yang tidak dikutip sehingga mengundang bau busuk dan mencemarkan persekitaran berakhir. Ini berikutan kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan pihak bertanggungjawab. Keadaan rumah sampah di situ jauh lebih bersih dan tiada lagi sisa domestik dan timbunan perabot terpakai yang dilonggokkan sehingga membentuk bukit sebelum ini. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati, pihak kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang giat melaksanakan kerja- kerja pembersihan. Semua sampah pukal dan perabot terpakai telah dibersih dan dialihkan ke dalam sebuah tong sampah besar oleh pihak berkenaan. Pada Isnin lalu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan berhubung kebimbangan penduduk di pangsapuri tersebut mengenai sampah pukal yang tidak dibersih dan dipungut. Sementara itu, penduduk yang ditemui melahirkan rasa lega dengan tindakan yang diambil pihak bertanggungjawab. Seorang penduduk, Ismail Bahasudin yang berusia dalam lingkungan 40-an itu berharap keadaan sama tidak akan berulang lagi di masa akan datang. "Sebelum ini keadaannya lebih teruk saya lihat dengan sampah dan perabot itu bertimbun sehingga membentuk sebuah bukit. Saya berharap kita sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan pangsapuri ini," katanya. Penduduk, Fauzi Rosli, 40, menyifatkan, semua penduduk dan pihak berwajib perlu bersama-sama bertanggungjawab menangani isu ini dan tidak boleh menyalahkan sesiapa. "Kain rentang telah diletakkan di situ supaya kita sama-sama menjaga kebersihan. Buang sampah ke dalam tong yang disediakan dan pastikan ia tidak berulang lagi kerana akan menyusahkan semua pihak," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Amazing Heights, Mahat Salleh, berkata, masalah sampah di sebuah lagi tempat pembuangan sampah di situ akan diselesaikan pada Isnin hadapan. "Ia berikutan tong besar yang kita sewa melalui MPK agak terhad kerana pelbagai aktiviti seperti gotong-royong berlangsung pada hujung minggu ini. Pihak MPK akan membekalkan tong itu minggu hadapan kepada pihak kami," katanya. Beliau turut tidak menafikan keadaan tersebut mungkin akan berulang jika mentaliti segelintir penduduk mengenai kebersihan belum dapat diubah. "Saya telah meletakkan keratan akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan tempoh hari di papan notis. Respons yang diterima daripada penduduk amat baik dan mereka 'baru tersedar' mengenai isu tersebut. "Di samping itu, saya turut kecewa kerana ada segelintir pemilik rumah yang tidak prihatin kerana gagal membayar wang penyenggaraan. "Yang membayar hanya 47 peratus sahaja. Sehubungan itu, saya meminta supaya semua penduduk di sini mematuhi peraturan dan memberikan kerjasama demi keselesaan pangsapuri ini," tegasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan