Jumaat, 19 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Bazar Ampangan jadi tumpuan

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Walaupun ringkas tetapi peniaga menggunakan strategi masing-masing bagi menarik perhatian pembeli di Bazar Ramadan Ampangan.

SEREMBAN 17 Julai - Bagi masyarakat Islam di bandar ini, sudah pasti Bazar Ramadan di Ampangan di sini begitu sinonim dengan mereka.

Sebut apa sahaja, semua jenis minuman dan makanan untuk berbuka puasa ada dijual.

Malah kelengkapan rumah sempena Aidilfitri tidak lama lagi turut dijual.

Boleh dikatakan hampir setiap hari apabila tibanya bulan Ramadan, kawasan ini bagaikan mengambil tempat pusat membeli belah terkemuka di bandar ini dengan dipenuhi ribuan orang ramai yang mengunjungi lokasi berkenaan saban hari.

Tidak hairanlah, Bazar Ramadan Ampangan yang kini mencecah puluhan tahun bagaikan satu entiti penting bagi masyarakat setempat serta penduduk di negeri ini sebagai 'lokasi wajib pergi' apabila tibanya Ramadan.

Kemuncak kesibukan bazar ini kian terasa apabila tibanya malam raya berikutan ramai peniaga menawarkan harga rendah sebelum menutup bazar mereka.

Bagi pengunjung, Rushidah Idris, 54, biarpun kali pertama dia menjejakkan kaki di sini, suasananya cukup meriah dan setanding dengan bazar Ramadan tempat lain.

Malah apa yang menarik katanya, ratusan jenis juadah boleh didapati mengikut cita rasa dan selera masing-masing dengan harga yang berpatutan dan enak.

''Lokasinya pun strategik. Walaupun ini kali pertama saya sampai ke sini, gerai-gerai jualan pun agak banyak, jadi memudahkan saya untuk membuat pilihan membeli juadah di sini.

''Dari segi harganya pun agak berpatutan dan mereka yang hampir dengan Lembah Klang boleh menjadikan lokasi ini sebagai destinasi kedua selepas ibu kota Kuala Lumpur," katanya dari USJ ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Noramira Shamsudin, 19, pula memberitahu, boleh dikatakan kedatangan bulan Ramadan bagaikan hilang serinya jika Bazar Ramadan Ampangan tidak beroperasi apatah lagi menjadi lokasi utama penduduk sekitar membeli belah.

Ini kerana katanya, bazar itu bukan hanya menawarkan hidangan dan juadah berbuka puasa tetapi turut menawarkan pakaian berkualiti tinggi bagi menyambut kedatangan Aidilfitri.

''Kawasan ini boleh dikatakan tempat pusat sehenti. Jika mahu hidangan atau juadah berbuka puasa atau membeli keperluan barangan Hari Raya Aidilfitri, semuanya di bawah satu bumbung yang sama.

''Lagipun kawasan ini sudah sinonim bukan setakat penduduk setempat sahaja, tetapi penduduk di negeri ini turut mengunjungi kawasan ini," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Tarmizi Abdul Karim, 27, dari Kelantan pula melihat lokasi itu wajar dikekalkan kerana berupaya menjadi daya penarik dan tumpuan orang ramai mahupun pelancong sepanjang Ramadan ini.

''Bazar ini sepatutnya dinaik taraf agar memudahkan orang ramai datang ke sini sebab bazar ini sudah berjalan puluhan tahun. Sudah tiba masanya untuk berubah.

''Saya yakin pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai perancangan tersendiri untuk menjadikan Bazar Ramadan Ampangan antara yang terkemuka di negeri ini," katanya.

Bazar tumpuan ramai jadi ikon Seremban

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Pelbagai juadah berbuka puasa sentiasa menjadi pilihan orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

SEREMBAN 17 Julai - Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menganggap bazar Ramadan di Ampangan dekat sini bukan sahaja sebagai ikon terpenting kepada penduduk sekitar, malah menjadi tumpuan orang ramai di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, biarpun lokasi ini sudah mencecah puluhan tahun, namun sambutan orang ramai untuk datang ke sini cukup menggalakkan dengan jumlah kehadiran mencecah sekitar 2,000 hingga 3,000 pada satu-satu masa.

Malah kata beliau, jumlah kehadiran pengunjung boleh mencecah sehingga 10,000 pada 10 hari terakhir Ramadan yang mana orang ramai mengambil peluang untuk berbelanja di saat akhir bagi menyambut Aidilfitri dan berbuka puasa.

''Biarpun kita kini sedang menjalankan projek Pusat Penjaja Ampangan yang baharu, namun apa yang kita lihat langsung tidak memberikan sebarang impak negatif terhadap jumlah kedatangan pengunjung, bahkan terus meningkat.

''Buat sementara waktu, kita telah mengalihkan sebahagian bazar ini berhampiran dengan Pasar Ampangan yang kita fikir lokasi sesuai buat sementara sebelum projek pembinaan siap dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bahkan kata beliau, setiap tahun, ratusan peniaga pastinya akan membuka gerai di sini kerana mereka melihat potensi Bazar Ramadan Ampangan cukup menggalakkan kerana sentiasa dipenuhi pengunjung.

Malah katanya, lokasi yang strategik dilihat antara faktor utama yang menyebabkan orang ramai menjadikan Bazar Ramadan Ampangan sebagai destinasi sesuai untuk mencari hidangan mahupun kelengkapan menjelang Aidilfitri.

''Berdasarkan sambutan yang menggalakkan di sini, kita melihat bazar ini perlu dikekalkan kerana sudah begitu sebati dengan masyarakat setempat. Apabila orang bercakap mengenai Ramadan di Seremban, pastinya Ampangan menjadi pilihan.

''Sudah pastinya kita akan kekalkan lokasi bazar ini di tempat sedia ada dan pastinya dengan adanya bazar seperti ini, bukan sahaja memudahkan orang ramai tetapi melonjakkan ekonomi para peniaga di kawasan sekitar," katanya.

Bayar zakat ikut saluran betul

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron dan Badrul Sham Saad (dua dari kiri), Mohamed Zaini Amran (tiga dari kiri) Yaakub Md. Amin (tiga dari kanan) dan Muhd. Ramadhan Fitri Ellias (kanan) bersama replika zakat selepas majlis penyerahan Zakat Agensi Korporat di Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad

MELAKA 17 Julai - Kerajaan negeri mengingatkan orang ramai di negeri ini yang ingin membuat pembayaran zakat supaya melakukannya menggunakan saluran betul dan diiktiraf.

Pengerusi Pusat Zakat Melaka (PZM), Datuk Idris Haron menyangkal bahawa pembayar zakat boleh membuat pembayaran kepada institusi lain walaupun matlamat mereka jelas membantu kumpulan asnaf.

Menurutnya, hanya PZM sahaja satu-satunya pusat zakat yang diiktiraf bagi orang ramai menunaikan tanggungjawab membayar zakat di negeri ini.

"Saya ingin menjelaskan bahawa tidak ada institusi lain yang diiktiraf untuk menerima bayaran zakat di negeri ini kecuali PZM.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua pembayar zakat supaya membayar di PZM dan yakinlah bahawa setiap sen yang dibayar akan digunakan secara tepat kepada mereka yang layak," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat agensi korporat berjumlah RM1.59 juta di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sebanyak tiga syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan masing-masing adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM892,005.26, Maybank Islamic Berhad (RM500,000) dan Selia Senggara Selatan Sdn. Bhd. (RM200,000).

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi PZM, Datuk Yaakub Md. Amin, Pengurus Besar PZM, Ismail Hasim dan Ketua Pengurusan Syariah Maybank Islamic Bhd., Muhd. Ramadhan Fitri Ellias.

Pengurus Besar TNB Melaka, Badrul Sham Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif Selia Group, Mohamed Zaini Amran.

Menurut Idris, kerajaan negeri memberikan jaminan dari segi sistem pentadbiran dan pengurusan bahawa PZM diiktiraf badan penilaian tempatan dan luar negara kerana mempunyai sistem kerja yang telus.

"Kerajaan negeri berpuas hati dengan pencapaian PZM yang kini berada pada tahap 48 peratus untuk mencapai sasaran RM46.77 kutipan zakat merangkumi zakat harta, zakat pendapatan dan zakat fitrah pada penghujung tahun ini," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan