Selasa, 16 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


MBSA bongkar laluan rahsia

Posted: 15 Jul 2013 12:15 PM PDT

SHAH ALAM 15 Julai - Sekali pandang premis itu hanya sebuah pusat snuker biasa, namun siasatan lanjut penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sebalik deretan kayu snuker yang disusun menemui sebuah pintu yang membawa ke laluan sebuah bilik menjalankan aktiviti judi dalam talian.

Premis di Subang Perdana berkeluasan tujuh deretan rumah kedai itu merupakan antara enam pusat siber dan pusat snuker yang diserbu anggota penguat kuasa MBSA dalam operasi kira-kira 3 petang ini dan membawa kepada rampasan 95 set komputer bernilai RM50,000.

Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, premis itu diserbu kerana menjalankan operasi tanpa lesen dan mendapat aduan daripada orang ramai yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran.

"Ketika serbuan, tiada pelanggan mahupun pemilik premis berkenaan dan kami mendapati peralatan untuk bermain snuker telah dikosongkan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan itu dibuat mengikut Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MBSA) 2007 yang membawa hukuman kompaun RM1,000 dan tindakan menyita kesemua peralatan di premis pusat siber.

Bagi pusat snuker, serbuan itu dibuat menurut Enakmen Hiburan Negeri Selangor pindaan 2001 yang membawa kepada kompaun maksimum RM25,000, katanya.

Shahrin berkata, kesemua pemilik perniagaan yang didapati melanggar peraturan ditetapkan turut berdepan tindakan disenaraihitamkan daripada memohon sebarang lesen perniagaan MBSA.

Beliau berkata, operasi berkenaan disertai 16 anggota penguat kuasa MBSA dan dibantu lima anggota polis dari Balai Polis Kampung Subang Baru di sini.

Terdahulu, ketika serbuan di sebuah kafe siber berhampiran, pemilik premis berkenaan seakan boleh menghidu operasi yang dijalankan apabila kesemua peralatan termasuk komputer telah dibawa keluar dari premis terbabit dipercayai kurang dari tempoh sejam dan suhu sejuk dari pendingin hawa masih dapat dirasa di dalam premis itu. - BERNAMA

Makmal Fakulti Sains UiTM terbakar

Posted: 15 Jul 2013 12:15 PM PDT

Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan api yang memusnahkan makmal Fakulti Sains di UiTM kampus Shah Alam di Shah Alam, Selangor, semalam.

SHAH ALAM 15 Julai - Empat buah bilik makmal yang terletak di sebuah bangunan setingkat Fakulti Sains musnah dalam kebakaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam di sini hari ini.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.15 petang ketika tiga pelajar bersama seorang pensyarah serta seorang pembantu makmal menjalankan eksperimen dalam salah sebuah bilik makmal.

Bagaimanapun, kesemua mereka sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari api merebak dari sebuah bilik makmal di tengah bangunan tersebut yang terletak di hadapan Kolej Perindu UiTM.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd. Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.26 petang ini sebelum lima jentera bersama 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, asap hitam berkepul-kepul dan api sedang marak membakar bangunan setingkat tersebut.

"Pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd. Khairi, api merebak dengan cepat dipercayai disebabkan tindak balas bahan-bahan kimia yang terdapat dalam makmal berkenaan.

"Kami turut menghantar Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) ke tempat kejadian kerana khuatir terdapat bahan kimia berbahaya dalam makmal tersebut.

"Kami sedang menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami," katanya.

Sementara itu, pihak UiTM dikatakan akan mengadakan sidang akhbar berhubung kejadian tersebut esok.

Halangan dibina penduduk tidak bertanggungjawab dirobohkan

Posted: 15 Jul 2013 12:15 PM PDT

KLANG 15 Julai - Halangan jalan, berbentuk tiang besi yang didirikan oleh seorang penduduk, di Taman Sejati di sini telah dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berkata, halangan itu dipasang oleh penduduk berkenaan di salah sebuah jalan utama sejak setahun lalu sehingga menyusahkan penduduk lain.

Beliau berkata, sikap pentingkan diri sendiri individu berkenaan telah mengakibatkan penduduk terpaksa mencari laluan alternatif berikutan halangan yang didirikan hanya boleh dilalui pejalan kaki.

"Kami telah membawa perkara ini ke dalam mesyuarat dan pihak majlis mengesahkan binaan yang didirikan adalah salah serta dibina secara haram oleh individu berkenaan.

"Jabatan Kejuruteraan telah bekerjasama dengan Jabatan Penguat Kuasa merobohkan struktur berkenaan yang sememangnya menyusahkan orang ramai terutama penduduk yang tinggal di situ," katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Norfiza berkata, perbuatan mendirikan halangan tersebut sebanyak dua fasa itu adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

"Tindakan seperti itu bukan sahaja menghalang lalu lintas malah pada masa sama mengakibatkan risiko kepada komuniti jika berlaku musibah seperti kebakaran dan bencana yang lain.

"Kami akan memantau kawasan itu bagi mengelakkan kejadian sama tidak berulang dan meminta penduduk bertimbang rasa dalam melakukan sesuatu terutama dalam kelompok kejiranan masing-masing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan