Isnin, 3 Disember 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rampas 150 jersi Harimau Malaya

Posted: 02 Dec 2012 10:10 AM PST

KUALA LUMPUR: Lima peniaga yang menjual jersi tiruan Harimau Malaya dan Garuda sempena perlawanan dua pasukan itu, diserbu Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di kawasan Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, lebih 150 jersi tiruan dirampas daripada enam gerai yang menjual jersi di kawasan itu.


Jurucakap KPDNKK, berkata jersi berkenaan dijual pada harga RM35 berbanding jersi asli pula berharga RM140.

"Kami hanya dapat merampas barangan daripada enam gerai manakala selebihnya melarikan diri apabila mereka menghidu kehadiran pihak penguatkuasa," katanya.


Beliau berkata, hanya dua pemilik daripada enam gerai yang diserbu diberkas dan mereka dikompaun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



4 serba hitam curi RM45,000

Posted: 02 Dec 2012 09:58 AM PST

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat perompak berpakaian hitam dan bersenjatakan pisau menceroboh sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum mengikat tangan dan kaki pemilik kediaman itu dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM45,000, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, seorang wanita berusia 23 tahun yang tidur tersedar daripada tidur selepas melihat pintu biliknya dibuka sebelum dia mendapati empat lelaki tidak dikenali memakai topeng dan berpakaian serba hitam menceroboh rumahnya.


Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan kehadiran mereka menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek panik dan mengacukan pisau ke leher mangsa sambil mengarahkannya supaya berdiam diri jika tidak mahu dicederakan.

"Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa dengan tali.


"Rakan suspek pula menggeledah bilik lain sebelum mereka membawa adik perempuan mangsa bersama pembantu rumah ke dalam bilik itu dan diikat," katanya.


Sumber berkata, seorang daripada suspek turut berkawal di pintu bilik tidur mangsa sementara yang lain menggeledah mencari barangan berharga.

"Suspek melarikan wang tunai RM5,000, barangan kemas RM30,000, telefon bimbit, kamera dan pelbagai jam tangan berjenama.


"Mangsa bagaimanapun tidak dicederakan dan berjaya membuka ikatan jam 6 pagi. Sebaik berjaya melepaskan diri mangsa menghubungi polis meminta bantuan," katanya.

Menurutnya, polis yang tiba ke tempat kejadian beberapa minit kemudian membuat pemeriksaan dan menjumpai kesan pecah masuk di pintu rumah itu.


Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Tiada ulasan:

Catat Ulasan