Jumaat, 7 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bakar musuh perniagaan

Posted: 06 Sep 2012 03:19 PM PDT

KUALA LUMPUR: Angkara berebut kawasan letak kereta, seorang lelaki bertindak kejam dengan menyimbah petrol dan membakar musuh perniagaannya hidup-hidup di sebuah tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Cheras, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit terbakar seluruh badan dan dia yang masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu berada dalam keadaan kritikal. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek dan mangsa berselisih faham mengenai kawasan tempat letak kereta yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.


Menurutnya, ketika kejadian mangsa berada dalam kabin di tempat letak kereta itu seorang diri sebelum didatangi suspek untuk berunding mengenai hal sama dan akibat tidak mendapat persetujuan daripada mangsa untuk melepaskan tempat letak kereta yang dijaganya itu, suspek naik angin dengannya.

"Suspek bertindak agresif dengan menyimbah petrol ke atas mangsa dan membakarnya hidup-hidup. Lelaki terbabit turut membaling dua botol kaca bersumbu ke dalam kabin di tempat letak kereta itu," katanya.


Susulan itu, katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai yang nampak mangsa dalam keadaan terbakar sebelum pasukan peronda polis dari Balai Polis Cheras bergegas ke tempat kejadian.


Beliau berkata, selepas tiba di lokasi, pihaknya menemui mangsa terbaring dengan kesan melecur seluruh badan dan dikejarkan ke PPUKM untuk rawatan kecemasan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa dibakar dalam kabin berkenaan di tempat letak kereta itu.


"Mangsa mengalami kesan melecur di seluruh badan dan dilaporkan berada di tahap kritikal.

"Kami memburu suspek yang dipercayai musuh perniagaan mangsa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Kongsi minat curi motor

Posted: 06 Sep 2012 03:13 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dua beradik bukan saja berkongsi pekerjaan sama sebagai pengawal keselamatan, malah mereka turut berkongsi minat sama iaitu mencuri motosikal di sekitar Setapak dan Hulu Klang sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, tabiat mencuri kenderaan pasangan adik-beradik itu terbantut kelmarin selepas mereka dicekup di Medan Aneka, Jalan Genting Klang bersama sebuah motosikal yang baru dicuri pada 29 Ogos lalu di Wangsa Maju.


Sumber polis berkata, anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) mengesan motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam yang digunakan dua beradik itu di Jalan Genting Klang namun mereka melarikan diri ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, intipan berterusan ke atas kedua-dua suspek itu berjaya menemui mereka semula jam 8.35 malam dan ketika hendak menahan mereka, adik-beradik itu menyedari kehadiran polis sebelum menaiki motosikal untuk beredar.


"Anggota U3K bersama dua anggota tentera dari Cawangan Siasatan Jenayah yang cuba menahan mereka dirempuh sebelum seorang daripada mereka diheret lebih 500 meter.


"Namun hasil kekuatan pihak berkuasa, kedua-dua suspek itu ditahan selepas bergelut dan soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku mencuri motosikal berkenaan di Jalan AU 1A/1B, Wangsa Maju milik seorang pelajar pada 29 Ogos lalu," katanya semalam.

Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 26 tahun yang dipercayai adik-beradik itu berasal dari Batu 8, Hulu Klang.


"Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sebelum diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Tiada ulasan:

Catat Ulasan